
25 tahun beroperasi, UniKL RCMP terus berkembang!
Menjadi satu-satunya institusi bertaraf Diraja di Perak merupakan cabaran besar buat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP) untuk mengekalkan kecemerlangan sebagai pusat pengajian tinggi perubatan unggul di negeri ini.
Selama 25 tahun beroperasi, UniKL RCMP terus diberikan kepercayaan melahirkan tenaga pakar dalam bidang perubatan, kejururawatan dan farmasi.
Bermula sebagai sebuah kolej perubatan kecil pada tahun 1999, UniKL RCMP telah berkembang menjadi institusi pendidikan tinggi terkemuka dalam bidang kesihatan dan perubatan dengan lebih 3,600 pelajar kini mengikuti 17 program pengajian daripada peringkat asasi sehingga doktor falsafah.
Ketua Pegawai Eksekutif UniKL RCMP, Hisshamuddin Omar berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.
"Sepanjang 12 tahun saya berada di sini, banyak perubahan yang dapat kita lihat terutama dari segi pertambahan pelajar. Dari hanya 28 pelajar pada 1999, kami kini mempunyai lebih 3,600 pelajar.

"Sasaran kami dalam tempoh tiga tahun akan datang adalah untuk mencapai 5,000 pelajar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hisshamuddin berkata, pengiktirafan status Diraja diberikan atas sumbangan besar institusi itu dalam bidang pendidikan perubatan dan kesihatan serta sokongan padu daripada almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Menurutnya, institusi tersebut juga berbangga dengan pencapaian akademik termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap pensyarahnya.
"Salah seorang pensyarah kami telah disenaraikan sebagai saintis terbaik dunia selama tiga tahun berturut-turut.
"Ini adalah bukti komitmen kami dalam menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan UniKL RCMP turut mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan iaitu sekitar 97 peratus.
Katanya, graduan program perubatan, kejururawatan, farmasi dan bidang kesihatan lain sangat diminati oleh pasaran kerja dengan ramai di antara mereka menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian.
"Program perubatan kami mencapai 100 peratus kebolehpasaran kerana graduan terus menyertai sistem latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Begitu juga dengan program kejururawatan dan farmasi yang permintaannya sangat tinggi,” jelas Hisshamuddin.

Sementara itu, bagi menampung pertambahan pelajar, UniKL RCMP sedang merancang pembangunan infrastruktur baharu termasuk mengambil alih sebuah premis yang sebelum ini merupakan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Greentown di sini.
Beliau berkata, selain itu, UniKL RCMP juga akan memperkenalkan program baharu seperti Sarjana Muda Psikologi bagi memenuhi permintaan tinggi dalam bidang kesihatan mental.
"Kami juga sedang merancang untuk membina hospital pengajaran sendiri bagi menyokong latihan klinikal pelajar.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menjadi hab pendidikan kesihatan yang unggul di Malaysia," tambahnya.
Berkongsi mengenai kejayaan institusi itu bertahan, Hisshamuddin berkata, UniKL RCMP menekankan konsep barakah dalam operasinya.

Katanya, ia termasuk membayar zakat dan memberikan bantuan kepada pelajar melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
"Kami percaya bahawa kejayaan yang kami capai adalah hasil daripada keberkatan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan keagamaan," kata Hisshamuddin.
Dengan pencapaian dan perancangan yang mantap, UniKL RCMP terus berusaha untuk menjadi institusi pendidikan kesihatan yang unggul di Malaysia dan di peringkat global sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang kesihatan dan perubatan.