29 kakitangan Agrobank tamat pengajian AUACP
Seramai 29 kakitangan Agrobank menerima sijil graduasi kumpulan keempat selepas menamatkan pengajian dalam bidang sijil profesional Program Pensijilan Pertanian Agrobank-UPM (AUACP).
Menurut kenyataan media Agrobank, program bertujuan mengukuhkan keupayaan dan kefahaman kakitangan bank dalam melaksanakan tugas harian membabitkan aktiviti pemprosesan penilaian permohonan pembiayaan perniagaan, selain memahami perkembangan sektor pertanian semasa.
Ia juga berobjektif melahirkan lebih ramai pakar tenaga kerja kredit (dalam pembiayaan pertanian) di Agrobank.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, program itu memberi manfaat kepada hampir 150 kakitangan Agrobank.
Katanya, mereka bukan sahaja menimba ilmu bidang pertanian, malah memahami secara langsung mengenai aktiviti pertanian lebih menyeluruh.
"Hasil program ini, Agrobank melahirkan kakitangan lebih efisien dalam melaksanakan tugasan harian mereka.
"Program bermula sejak 2017 mendapat sokongan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diberi kepercayaan penuh melaksanakan program ini.
"Kami percaya dengan pengalaman mereka dalam bidang pertanian dan kepakaran pihak UPM, ia memberi manfaat kepada Agrobank," katanya.
Terdahulu, sijil graduasi kepada barisan penerima disampaikan Ahmad Badli dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Profesor Dr Arifin Abdu; Dekan Fakulti Pertanian, UPM, Profesor Dr Loh Teck Chwen; Pengarah Program Agrobank-UPM (AU-ACP), Profesor Dr Anjas Asmara @ Ab Hadi Samsudin dan Ketua Sumber Manusia Agrobank, Azlin Ali.
Turut hadir Timbalan Dekan, Ketua-ketua Jabatan, Pentadbir Fakulti Pertanian dan Pensyarah serta wakil ibu pejabat Agrobank dan ahli keluarga para graduan.
Agrobank dalam kenyataan yang sama berkata, program AUACP berlangsung tujuh bulan membabitkan 10 modul berkaitan pertanian melalui pembelajaran secara bersemuka dan juga secara maya.
Para peserta dikehendaki menghadiri kuliah empat hari setiap bulan bermula Mac hingga September tahun ini.
Mereka juga berpeluang merasai sendiri pengalaman praktikal dan berladang selain menghubungkan pembelajaran bilik darjah dengan pengalaman sebenar berkaitan amalan perniagaan pertanian.
Di akhir kursus, peserta dinilai pakar bidang program sekali gus dianugerahkan sijil tahap pencapaian.