9 lukisan karya Dr Fitri Fareez jadi tumpuan di London
Sembilan lukisan hasil karya Pensyarah Perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Dr Fitri Fareez Ramli mencipta sejarah apabila terpilih untuk dipamerkan pada majlis Salam Dari Malaysia di London, United Kingdom (UK) baru-baru ini.
Fitri Fareez yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Oxford, UK telah mengetengahkan lukisan absktrak dari Koleksi Suratan yang membawa maksud takdir atau tulisan.
Menurut Fitri Fareez, beberapa lukisan dalam Koleksi Suratan mempunyai tajuk tertentu sebagai memudahkan peminat lukisan memahami maksud yang ingin disampaikan.
“Saya menggunakan Bahasa Melayu sebagai judul bagi setiap lukisan.
“Antara nama-nama lukisan tersebut adalah Akar, Awan, Bulatan, Dunia, Hijau, Padang Rumput, Petala, Seri dan Terjalin,” ujarnya yang merupakan pelajar tajaan Yayasan Khazanah.
Berkongsi mengenai minatnya dalam dunia lukisan, Fitri Fareez berkata, hobi tersebut berputik ketika berada di bangku sekolah lagi.
“Saya suka melukis kerana ia memberi ketenangan dan kepuasan kepada diri.
“Minat tersebut diteruskan sehingga saya meningkat dewasa dengan penghasilan pelbagai genre tema,” ujarnya yang menggunakan bermacam-macam bahan termasuk watercolour, acrylics dan pensel warna untuk menyiapkan sesebuah lukisan.
Dalam pada itu, Fitri Fareez berkata, kesibukan dengan kerja hakiki dan komitmen sedia ada telah membataskan dirinya untuk menghasilkan lukisan seperti dahulu.
Bagaimanapun, semenjak menyambung pengajian PhD di University of Oxford, Fitri Fareez mula menyusun masanya sebaik mungkin untuk kembali melukis seperti sebelum ini.
“Walaupun saya sedang menjalankan kajian PhD berkenaan penggunaan ubat ebselen dan lithium bagi penyakit kemurungan, insya-ALLAH saya akan terus melukis seiring dengan bidang akademik yang saya ceburi (berkaitan kesihatan mental) ini,” tuturnya.