Aznil dilantik Profesor Adjung UM berkuat kuasa 9 Oktober 2023
Alumni Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) 1984, Datuk Aznil Nawawi dilantik sebagai Profesor Adjung bagi fakulti tersebut berkuat kuasa 9 Oktober 2023.
Menurut kenyataan rasmi UM, Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil dipilih kerana beliau merupakan antara pendokong industri pengucapan awam negara.
Aznil yang merupakan anak jati Kuala Lumpur dan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (kini Fakulti Perniagaan dan Ekonomi) turut dipilih berkolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan murid-murid sekolah berketrampilan kelas pertama, selaras dengan aspirasi program Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21).
“Dengan kepercayaan itu juga, Kementerian Ekonomi juga memilih Aznil sebagai Mentor Pengucapan Awam untuk sebuah program khusus pembangunan usahawan.
“Dengan pelantikan ini, sudah pasti ia akan memperkasakan kemahiran pengucapan awam dalam kalangan warga kampus khususnya mahasiswa dari pelbagai cabang bidang pengkhususan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, UM menaruh harapan agar pelantikan Aznil dapat membantu universiti mencapai pelbagai hasrat antaranya berjaya melahirkan graduan yang lebih berani, bijak berkomunikasi, berkarisma dan versatile dalam mendepani cabaran dunia masa hadapan yang semakin sukar diramalkan.