Industri pelancongan merujuk kepada sektor ekonomi yang berkaitan dengan perjalanan dan penginapan pelancong untuk tujuan rekreasi, perniagaan atau lain-lain. Gambar kecil: Nurul Aqilah.
Industri pelancongan merujuk kepada sektor ekonomi yang berkaitan dengan perjalanan dan penginapan pelancong untuk tujuan rekreasi, perniagaan atau lain-lain. Gambar kecil: Nurul Aqilah.

Industri pelancongan memacu ekonomi negara

NURUL AQILAH AB RAZAK DAN JAHARUDIN PADLI
04 Feb 2024 06:23pm
A
A
A

Malaysia semakin dikenali sebagai lokasi pelancongan pilihan warga tempatan dan warga asing terutamanya dari benua Asia Tenggara dan Eropah.

Kedudukan geografi negara yang terletak di garisan khatulistiwa telah menyebabkan cuaca panas dan lembap di mana ia menjadi antara factor menarik pelancong asing berkunjung ke Malaysia.

Industri pelancongan merujuk kepada sektor ekonomi yang berkaitan dengan perjalanan dan penginapan pelancong untuk tujuan rekreasi, perniagaan atau lain-lain.

Ia merangkumi pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang dibekalkan untuk memenuhi keperluan pelancong seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan sebagainya.

Pelancongan di Malaysia adalah salah satu sektor ekonomi penting menyumbang kepada pendapatan negara.

Malaysia menerima lebih RM80 billion setahun daripada perbelanjaan pelancong.

Justeru, industri ini dapat menjana pendapatan negara dan membantu dalam meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Industri pelancongan merupakan penyumbang utama kepada KDNK Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan industri pelancongan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara, antaranya perbelanjaan pelancong asing di Malaysia.

Menurut kajian, purata perbelanjaan setiap pelancong asing di Malaysia sekitar RM3,000 sehingga RM4,000 setiap lawatan.

Ini termasuk perbelanjaan penginapan hotel, membeli-belah, makan minum, aktiviti rekreasi, pengangkutan dan lain-lain keperluan sepanjang tempoh lawatan.

Hampir RM82 bilion telah dibelanjakan pelancong asing di Malaysia pada tahun 2018.

Perbelanjaan yang tinggi ini menyumbang terus kepada pendapatan negara.

Peluang pekerjaan

Seterusnya, industri pelancongan menjana peluang pekerjaan yang besar untuk rakyat Malaysia.

Lebih 500,000 rakyat bekerja dalam pelbagai sektor yang berkaitan pelancongan seperti perhotelan, pengangkutan udara dan darat, agensi pelancongan, penyediaan makanan dan minuman, pengurusan taman tema serta lain-lain. Pendapatan golongan ini menyumbang kepada penggunaan isi rumah dan perbelanjaan dalam ekonomi tempatan.

Ekoran pandemik Covid-19 yang telah melanda dalam negara menyebabkan sektor pelancongan jatuh dan perniagaan tidak dapat diteruskan kerana terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun begitu peralihan kepada pasca-pandemik menyebabkan keperluan tenaga kerja dalam industri ini meningkat.

Oleh itu, peluang pekerjaan dalam industri perkhidmatan telah meningkat terutamanya dalam industri perhotelan, pengangkutan, restoran dan kedai cenderamata.

Di samping itu, cukai kerajaan yang dikenakan ke atas sektor pelancongan seperti cukai perkhidmatan hotel dan restoran merupakan hasil pendapatan negara.

Cukai pelancongan dianggarkan menyumbang RM3 bilion setahun kepada hasil kerajaan.

Antara cukai utama yang dikenakan adalah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus ke atas bil penginapan hotel dan makanan di restoran.

Cukai Pelancongan (Tourism Tax) sebanyak RM10 semalam juga dikenakan ke atas bilik hotel bertaraf tiga bintang ke atas.

Selain itu, cukai hiburan sebanyak 5 peratus dikenakan ke atas tiket masuk taman tema, persembahan, konsert, acara sukan dan lain-lain.

Manakala cukai loteri sebanyak 25 peratus pula dikenakan ke atas pendapatan kasino dan loteri.

Oleh itu, cukai merupakan sumber hasil pendapatan yang penting kepada kerajaan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan negara.

Pembangunan infrastruktur

Industri pelancongan merangsang pembangunan infrastruktur seperti lapangan terbang baru, lebuh raya, pengangkutan awam yang kemudiannya juga digunakan rakyat tempatan.

Contoh yang paling jelas ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dibina pada 1998 dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia Tenggara.

Pembinaan KLIA telah meningkatkan kapasiti dan keupayaan Malaysia dalam mengendalikan jumlah trafik penerbangan yang semakin meningkat setiap tahun.

KLIA kini boleh mengendalikan lebih 60 juta penumpang setahun dan merupakan hab transit utama syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

Kemudahan dan infrastruktur di KLIA yang bertaraf dunia memudahkan pergerakan rakyat Malaysia sendiri untuk melancong dan berurusan di dalam dan luar negara.

Jadi walaupun tujuan asal pembinaan KLIA adalah untuk menarik kedatangan pelancong asing, namun ia turut meningkatkan keupayaan negara dalam perkhidmatan penerbangan yang memberi manfaat kepada orang ramai.

Antara keunikan negara Malaysia yang menarik minat pelancong tempatan dan pelancong asing untuk melancong dalam negara ialah keunikan makanan.

Hal ini dikatakan demikian kerana, Malaysia terkenal dengan kepelbagaian makanan unik dan lazat hasil daripada pengaruh pelbagai budaya dan etnik.

Antara perayaan makanan terkenal di Malaysia ialah Pesta Makanan Malaysia atau Malaysian Food Fest yang diadakan setiap tahun di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pesta Makanan Malaysia menampilkan hampir 50 gerai makanan dari seluruh negara yang menyajikan juadah tradisional dan kontemporari Malaysia.

Antara juadah popular termasuk nasi lemak, laksa, satay, roti canai, cendol, ais kacang dan banyak lagi.

Terdapat juga gerai khas yang menyajikan juadah serantau seperti dim sum, kuih muih Cina dan makanan India.

Selain Pesta Makanan Malaysia, banyak lagi festival makanan diadakan setiap tahun di seluruh negara seperti Pesta Buah-Buahan di Simpang Renggam, Johor dan Pesta Durian Musang King di Raub, Pahang.

Ia menjadi daya tarikan utama kepada pelancong domestik dan asing untuk mengecapi keunikan dan kepelbagaian makanan Malaysia.

Penganjuran pesta makanan secara berterusan dapat mempromosikan lagi identiti Malaysia sebagai destinasi pelancongan kulinari (culinary tourism) yang unggul.

Khazanah alam semula jadi

Selain itu, Malaysia juga kaya dengan khazanah alam semula jadi. Taman Negara sebagai hutan hujan tropika terbesar di dunia menarik pelancong yang gemar aktiviti eko pelancongan seperti trekking dan bird watching.

Kebelakangan ini, kebanyakkan pelancong tempatan dan asing lebih memilih untuk pergi ke pulau.

Mereka memilih untuk ke pulau kerana promosi pakej percutian dengan harga yang berpatutan.

Dalam pada yang sama mereka ingin melepaskan tekanan dengan menikmati keindahan semula jadi dalam air di Pulau Perhentian dan Redang bagi aktiviti penyelam skuba

Di samping itu, pembukaan pusat membeli-belah mega TRX Exchange di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur pada 2017 telah menarik minat ramai pelancong tempatan dan asing untuk membeli-belah di Malaysia.

TRX Exchange merupakan pusat membeli-belah terbesar di Malaysia dengan keluasan lebih 1.5 juta kaki persegi.

Ia menawarkan lebih 180 jenama mewah antarabangsa seperti Coach, Gucci, Longchamp dan lain-lain.

Reka bentuk futuristik dan konsep membeli-belah terbuka menarik ramai pelancong dari rantau Asia dan Timur Tengah.

Selain itu, terdapat lebih 50 pilihan makanan dan minuman di pusat makanan Market Hall di TRX Exchange.

Terdapat juga padang bola sepak, taman permainan kanak-kanak dan skrin LED raksasa di dalam kompleks itu.

Aktiviti hiburan seperti pertunjukan jalanan dan acara kebudayaan turut kerap diadakan untuk menambah daya tarikan kepada pelancong.

Kehadiran hotel bertaraf lima bintang seperti W Kuala Lumpur berdekatan juga memudahkan pelancong untuk bermalam dan membeli-belah di TRX Exchange.

Secara keseluruhan, industri pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi keunikan yang ada.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurul Aqilah Ab Razak

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok