Bakal usahawan dari UiTM cuba nasib di HAPEX 2024, Thailand
Seramai 10 usahawan siswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) membawa misi memperkenalkan produk halal inovatif yang dibangunkan sendiri di Thailand.
World Halal Products Exhibition & Conference 2024 yang berlangsung di International Convention Center (ICC) Hat Yai, Thailand bermula 29 Ogos hingga 1 September itu disertai siswa Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Puncak Alam, Pusat Inkubator Spa & Sauna UiTM Johor serta UNI-Spa UiTM Shah Alam.
Ia juga lanjutan hasil kerjasama antara Akademi Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM bersama Prince of Songkhla University of Thailand, sekali gus penyertaan mahasiswa dari UiTM berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang keusahawanan.
Penolong Naib Canselor Keusahawanan UiTM, Profesor Ts Dr Salmiah Kasolang berkata, penglibatan usahawan siswa dalam acara antarabangsa ini mencerminkan komitmen universiti melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi tetapi memiliki kemahiran keusahawanan yang mantap.
"Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuhkan perkembangan akademik mereka tetapi membantu membina jaringan global yang penting untuk masa depan sebagai usahawan berjaya," katanya.
Beliau juga berkata, penyertaan bakal usahawan muda itu di Thailand bukan sahaja menjadi platform memperluas pengetahuan mereka tentang industri halal global tetapi juga peluang kepada usahawan pelajar menonjolkan produk dan perkhidmatan mereka di peringkat antarabangsa.
"Dalam pameran ini, usahawan siswa UiTM mempamerkan produk-produk halal inovatif yang mereka bangunkan sendiri dengan tujuan menarik minat pengunjung dan membuka peluang kerjasama kolaborasi serta padanan perniagaan dengan syarikat antarabangsa yang menyertai expo yang sama.
"Penglibatan dalam acara ini juga membolehkan mereka meningkatkan keterlihatan jenama dan perniagaan di pasaran global, sejajar hasrat UiTM melahirkan usahawan muda yang berdaya saing dan berwawasan global," katanya.
Untuk rekod, program itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang kolaborasi antara UiTM dan pelbagai pihak dalam industri halal, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi halal di peringkat serantau serta global.
Usaha UiTM dalam memperkembangkan usahawan muda diperkukuhkan melalui pendedahan kepada pelajar dan staf di program ASEAN Youth Forum dan melalui program mobiliti keusahawanan lain seperti program pelajar di Universiti Tarumanagara dan Universiti Udayana, Indonesia.