Bengkel Menghadapi Bahaya Gempa Bumi yang diadakan di SK Tongou dihadiri sebahagian besar warga sekolah terbabit dan 11 orang ibu bapa.
Bengkel Menghadapi Bahaya Gempa Bumi yang diadakan di SK Tongou dihadiri sebahagian besar warga sekolah terbabit dan 11 orang ibu bapa.

Bengkel bencana gempa bumi bantu warga SK Tongou buat persediaan awal

ROSHLAWATY MD RAIEH
10 Jul 2023 05:10pm
A
A
A

Beberapa negara seperti China, Bangladesh dan India sering kali terdedah dengan ancaman bencana terutamanya banjir besar.

Selain itu, bencana seperti tsunami, angin taufan, tanah runtuh, kebakaran hutan, gempa bumi dan sebagainya turut terjadi di kebanyakan negara hari ini termasuk Malaysia.

Menyedari risiko berlakunya bencana alam berkenaan, Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif dengan mengadakan bengkel persediaan bagi Menghadapi Bahaya Gempa Bumi sebagai saluran perkongsian maklumat kepada orang ramai.

Bengkel yang diadakan untuk warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tongou, Ranau, Sabah itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah yang teruja mahu mendapatkan informasi terkini berhubung bahayanya gempa bumi.

Profesor Kehormat, FSSA yang juga Felo Penyelidik NDRC, Profesor Dr Felix Tongkul berkata, bengkel tersebut diadakan bersempena Program Minggu Anak yang Baik Lagi Cerdik (ABC) di sekolah terbabit.

Ia bertujuan meningkatkan kefahaman warga sekolah terutamanya para murid tentang asas persediaan dan panduan keselamatan menghadapi gempa bumi.

“Melalui bengkel ini, kami turut membantu dan melatih guru yang terlibat sebagai guru fasilitator gempa bumi untuk mereka membimbing murid-murid.

“Latihan ini perlu dilakukan secara berulang kali agar guru dan juga murid sentiasa bersedia dan bijak bertindak sekiranya berlaku gempa bumi tanpa mengira berapa magnitud di masa akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts Gs Dr Carolyn Melissa Payus berkata, program pendidikan dan pemindahan ilmu mengenai bencana alam merupakan antara tujuan utama penubuhan NDRC kepada komuniti setempat agar memahami dan lebih bersedia menghadapi bencana alam di masa hadapan.

Bagaimanapun, program ini terhenti ketika negara mengalami pandemik Covid-19.

Selepas Covid-19 reda, Carolyn berkata, SK Tongou merupakan sekolah pertama di Sabah yang menawarkan bentuk kerjasama bersama NDRC untuk perkongsian ceramah latihan persediaan gempa bumi di sekolah mereka.

“Saya berharap lebih banyak sekolah terutamanya di daerah Ranau dan Lahad Datu menjadikan latihan persediaan gempa bumi sebagai latihan berkala di sekolah mereka.

“Ini kerana dua daerah tersebut adalah berisiko berlakunya gempa bumi.

“NDRC sedia membantu sekiranya terdapat sekolah memerlukan bantuan kepakaran dan latihan persediaan gempa bumi ini pada masa akan datang,” jelas beliau.

Sebelum itu, bengkel persediaan bagi Menghadapi Bahaya Gempa Bumi dijayakan barisan fasilitator gempa bumi dari NDRC dan warga SK Tongou yang terdiri daripada murid, guru dan kakitangan sekolah.

Tidak ketinggatan, 11 ibu bapa turut hadir bagi menimba ilmu berhubung bencana alam tersebut.

Hadir sama dalam bengkel berkenaan ialah Guru Besar SK Tongou, Mohd Hafiz Stephen Abdullah; Penolong Kanan Satu, Tan Mui Hiong; Penolong Kanan Hal Ehwan Murid (HEM), Siti Jamariah Datuk Abdullah dan Guru Penyelaras Kebersihan, Keselamatan, dan Kesihatan (3K), Mohd Effendee Ibrahim.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok