Antara peserta yang merangkul meraih kejayaan pada pertandingan anjuran Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) Chapter dengan kerjasama Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM.
Antara peserta yang merangkul meraih kejayaan pada pertandingan anjuran Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) Chapter dengan kerjasama Jabatan Fizik, Fakulti Sains UPM.

Cungkil bakat muda dalam inovasi menerusi iMTC dan ICTC

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
24 Aug 2023 03:19pm

Membangunkan sebuah inovasi dalam kalangan generasi muda hari ini bukanlah satu perkara mudah.

Ini kerana selain inovasi tersebut perlu terhasil daripada cetusan idea yang kreatif dan inovatif, ia juga perlu memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Berikutan itu, Persatuan Sains dan Teknologi Keadaan Pepejal Malaysia (MASS) Chapter dengan kerjasama Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan dua pertandingan sebagai usaha mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang inovasi.

Dua pertandingan yang dianjurkan ialah The International Materials Technology Challenge (iMTC) dan The Innocreative Technology Challenge (ICTC) telah diadakan di Dewan Putra 2, Kolej 12 UPM baru-baru ini.

Pertandingan yang disertai dalam kalangan pelajar, mahasiswa dan ahli akademik bertujuan memberi peluang kepada penyelidik muda berkongsi idea dan membincangkan penemuan terkini dalam bidang sains dan fizik bahan.

Pada masa yang sama, pertandingan tersebut turut menyediakan maklum balas dan ulasan terperinci panel hakim dan ahli akademik kepada barisan penyelidik mengenai kajian dan pembentangan yang dilakukan mereka.

Menurut Pengarah Program, Ts Dr Muhamammad Kashfi Shabdin, kedua-dua pertandingan julung kali diadakan membabitkan penyertaan yang ramai.

“Program sebegini mampu mencetuskan buah fikiran inovatif dan kreatif dalam kalangan peserta seterusnya mencorakkan masa hadapan penyelidikan sains dan teknologi bahan.

Artikel Berkaitan:

“Ia harus diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah menginspirasikan generasi baharu untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) demi mencapai wawasan negara saintifik yang bukan sahaja menggunakan tetapi juga menjana teknologi maju,” ujar Muhamammad Kashfi.

Sementara itu, Presiden MASS, Profesor Dr Abdul Halim Shaari berkata, pertandingan berilmiah sebegini mampu membuka peluang hebat untuk menjalin hubungan serta membina rangkaian dengan pakar tempatan yang mempunyai pengetahuan terkini mengenai teknologi baharu dalam sains dan teknologi.

Ujarnya lagi, ia juga mampu menarik minat pelajar sekolah dan penuntut menceburi bidang STEM sekali gus merealisasikan dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp