Jongkong emas mempunyai nilai intrinsik yang lebih tinggi dan kurang dipengaruhi faktor fesyen. Gambar kecil: Nor Azrin Shamira.
Jongkong emas mempunyai nilai intrinsik yang lebih tinggi dan kurang dipengaruhi faktor fesyen. Gambar kecil: Nor Azrin Shamira.

Jongkong Emas: Pilihan pelaburan generasi muda

15 Jan 2024 09:09am

Pelaburan emas dianggap sebagai salah satu pelaburan stabil dan selamat oleh kebanyakan masyarakat.

Di sini, penulis ingin mengetengahkan kebaikan menyimpan dan melabur dalam jongkong emas kepada generasi muda.

Hal ini perlu dipertimbangkan oleh generasi muda yang mungkin sedang mencari pelaburan jangka masa panjang yang berpotensi memberi pulangan baik di masa hadapan.

Pada masa kini, kebanyakan masyarakat memilih barangan kemas sebagai pelaburan. Namun, jongkong emas juga merupakan pilihan pelaburan yang harus diberi perhatian terutamanya generasi muda. Ini kerana pelaburan jongkong emas memberikan pulangan yang lebih baik berbanding pelaburan barangan kemas.

Emas telah digunakan sebagai bentuk simpanan dan pelaburan selama berabad-abad. Ia dianggap sebagai perlindungan terhadap ketidakstabilan ekonomi, inflasi dan kejatuhan mata wang.

Namun begitu, barangan kemas sering kali dianggap sebagai aset untuk digunakan dalam penggunaan harian atau sebagai hadiah bukan sebagai pelaburan.

Ahli ekonomi dari Amerika Syarikat, Alan Greenspan yang terkenal dengan dasar kewangan dan pandangan ekonominya berpendapat, emas adalah penstabil nilai mata wang dan kalis kepada inflasi.

Jongkong emas memiliki ketulenan emas lebih tinggi berbanding barangan kemas. Ini bermakna ia mempunyai nilai intrinsik yang lebih tinggi dan kurang dipengaruhi oleh faktor fesyen. Selain itu, jongkong emas juga lebih mudah untuk dijual semula kerana ia mempunyai piawaian yang seragam.

Artikel Berkaitan:

Menurut data pasaran emas, harga jongkong emas cenderung lebih stabil dan mempunyai pertumbuhan nilai lebih tinggi dalam jangka masa panjang berbanding dengan barangan kemas.

Statistik menunjukkan jongkong emas sering kali memberikan pulangan lebih baik kepada pelabur. Ini dapat dilihat melalui data World Gold Council dan Bank Negara Malaysia di mana pada tahun 2010, harga emas per gram adalah RM130.72 dan telah meningkat sebanyak 124 peratus pada 2023 menjadi RM316 per gram.

Selain itu, terdapat pelbagai institusi kewangan yang telah mula memperkenalkan pelaburan dalam jongkong emas sebagai salah satu produk mereka.

Inisiatif melabur

Melabur dalam jongkong emas pada usia muda dapat memberikan beberapa kebaikan.

Pertama, pelaburan jongkong emas mempunyai tahap keboleh cairan yang lebih tinggi berbanding dengan pelaburan lain seperti pelaburan hartanah. Oleh itu, ia boleh dicairkan apabila perlu atau di waktu kecemasan.

Kedua, jongkong emas adalah bentuk simpanan yang stabil dan mempunyai nilai intrinsik tinggi.

Seterusnya yang ketiga, ia dapat berfungsi sebagai perlindungan terhadap ketidakstabilan ekonomi dan inflasi.

Oleh itu, golongan muda disarankan membuat pelaburan jongkong emas sebagai salah satu daripada pilihan pelaburan mereka.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, menyimpan jongkong emas pada usia muda adalah salah satu strategi pelaburan bijak. Ia boleh memberikan kestabilan dan peluang pertumbuhan kewangan yang lebih baik dan memperkukuhkan ekonomi individu.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nor Azrin Shamira Noor Jamal dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp