Danish Rizal
Danish Rizal

Danish Rizal tanam azam jadi pereka terkenal

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
09 Dec 2024 01:32pm

Industri fesyen yang mula berkembang kini, memerlukan individu memahami trend semasa dan inovasi dalam reka bentuk, selain memanfaatkan teknologi serta media sosial.

Jika dahulu ramai yang menganggap pendidikan atau kerjaya sebagai pereka fesyen hanya dipelopori oleh golongan wanita, namun kini ia mendapat perhatian daripada kaum Adam yang menunjukkan prestasi dan minat sama dalam industri tersebut.

Mengecapi impian menempah nama dalam dunia fesyen, Muhammad Danish Saiful Rizal menceburi bidang itu di usia yang lebih awal.

Danish Rizal ingin harumkan nama Malaysia di pentas peragaan dunia.
Danish Rizal ingin harumkan nama Malaysia di pentas peragaan dunia.

Anak muda yang dipanggil Danish Rizal itu mengakui yakin dengan menjadi pereka fesyen terkenal, nama Malaysia akan diangkat ke peringkat antarabangsa sekali gus memartabatkan seni dan budaya tempatan ke persada dunia.

“Danish Rizal pada tahun 2034 ialah seorang pereka fesyen terkenal.

“Saya mengakui sebagai individu yang sentiasa mengejar kreativiti dan keunikan, bersemangat dalam menterjemahkan idea dalam menjadikan sesuatu yang dilihat serta dihargai orang ramai.

“Minat saya terhadap dunia fesyen bermula sejak usia kecil, terinspirasi oleh keindahan seni dan budaya,” katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Meskipun keyakinan itu menepis setiap keraguan, namun tetap ada kritikan dan bagi Danish Rizal yang kini dalam pengajian Ijazah Rekaan Fesyen di Royal Melbourne Institute of Technology University (RMIT University), Australia mengakui tidak akan berganjak dari laluannya demi mencapai impian yang tertanam sejak dari kecil.

Sepanjang melanjutkan pelajaran, pemuda itu mengakui banyak menerima komen berbaur negatif, namun menerimanya untuk membina potensi lebih besar pada masa hadapan.

Disebabkan itu, dia belajar untuk tidak mudah berpuas hati dengan setiap hasil rekaan supaya ia mampu mendidik mentalnya menempuh alam yang jauh lebih mencabar selepas ini.

“Cabaran terbesar ini untuk saya menyesuaikan diri dengan dunia kompetitif nanti,” ujarnya lagi.

Rekaan hubungkan manusia dan budaya

Bagi setiap rekaan, Danish Rizal mendedahkan fesyen itu adalah cara dirinya menceritakan kisah untuk menghubungkan manusia dengan budaya.

Lebih menggembirakan apabila hasil rekaannya mampu mempengaruhi emosi dan pandangan seseorang terhadap fesyen.

Danish Rizal dan rakan-rakan sekuliah di RMIT University, Australia dan hasil rekaannya.
Danish Rizal dan rakan-rakan sekuliah di RMIT University, Australia dan hasil rekaannya.



"Saya suka bagaimana fesyen boleh mempengaruhi emosi dan pandangan seseorang dan saya harap dengan perkongsian ini, memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus bermimpi dan merealisasikan potensi mereka,” katanya.

Danish Rizal juga menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai ahli keluarga yang menyokong keputusannya melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut.

“Tanpa sokongan mereka, sudah pasti saya tidak berada di universiti bagi menyambung pelajaran demi mengejar impian sebagai pereka fesyen,” katanya.

Kongsinya, keluarga sangat memahami betapa besar matlamat dia untuk terus menimba ilmu supaya boleh menjadi pereka fesyen berjaya suatu hari nanti.

“Walaupun ada kebimbangan di awal permulaan dahulu tetapi ibu bapa dan adik-beradik nampak kesungguhan saya. “Ini memberi semangat kepada saya untuk terus berjalan dan mengejar apa

yang saya cintai,” kata Danish Rizal.

Perkongsian ini perlu dihebahkan kepada orang ramai terutama golongan muda yang meminati bidang fesyen, namun berasa takut untuk mencuba.

Bagi Danish Rizal, setiap individu wajib keluar dari zon selesa dan percaya pada diri sendiri sewaktu mengejar impian.

“Kata-kata semangat itu mungkin boleh memberikan keyakinan kepada adik-adik yang takut akan kegagalan. Gagal adalah sebahagian daripada pembelajaran dan ia membantu kita menjadi lebih baik.

“Cari inspirasi di sekeliling dan jangan lupa untuk bersyukur dengan setiap pencapaian kecil,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp