No Image Caption

Dari makmal ke ladang: Pelajar UiTM didik komuniti tentang pertanian lestari

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
06 Aug 2025 08:30am

Lebih 100 pelajar dan komuniti luar bandar di Kampung Nyalas, Melaka diberi pendedahan secara langsung tentang teknologi pertanian moden menerusi Program SciTech4U-STEM Camp MOSTI 2025, baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Persatuan Nyalas Agro-Tani itu telah menyaksikan penglibatan aktif seramai 35 pelajar serta 14 pensyarah sebagai fasilitator, penceramah dan urusetia.

Bertemakan 'Agro-Organik Lestari', kem ini dijayakan di Kompleks AgroTani Nyalas iaitu sebuah hab pertanian moden yang menyokong pemindahan ilmu berkaitan teknologi kultur tisu tumbuhan dan penghasilan sabun ekoenzim daripada sisa tanaman.

“Pelajar bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi turut mengaplikasikannya bersama penduduk, menjadikan ia satu latihan praktikal berimpak tinggi yang menyokong aspirasi STEM negara,” ujar Koordinator Program Bioteknologi Tumbuhan, Dr Noer Hartini Dolhaji.

No Image Caption

Melalui pendekatan dua hala ini, para peserta diberi peluang melihat sendiri bagaimana teknologi pertanian boleh menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta menjana pendapatan melalui produk organik berasaskan sumber tempatan.

Bagi pelajar yang terlibat, kem ini bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat tetapi menjadi platform untuk mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kerja berpasukan sekali gus ia nilai tambah penting dalam dunia pekerjaan hari ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

STEM dalam kalangan remaja luar bandar

Kem ini juga selari dengan matlamat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkukuh kesedaran dan pembudayaan STEM, khususnya dalam kalangan pelajar dan belia luar bandar.

“Kami mahu pelajar luar bandar melihat bahawa STEM bukan sesuatu yang asing atau susah dicapai. Ia ada di sekeliling mereka, terutama dalam bidang agroteknologi,” kata Pensyarah Kanan, Dr Wan Zuraida Wan Mohd Zain.

Pendekatan ini juga membantu memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi, industri, komuniti dan agensi kerajaan menyokong model Quintuple Helix dalam pembangunan lestari.

Program ini turut menerima sokongan padu daripada wakil-wakil kerajaan negeri, pertubuhan tempatan serta pegawai pertanian yang hadir memeriahkan majlis perasmian.

SciTech4U-STEM Camp MOSTI 2025 bukan sahaja mencetuskan kesedaran, malah menanam benih minat dalam kalangan generasi muda terhadap pertanian moden dan inovasi sains yang mampu mengubah masa depan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp