Nor Hasnal (kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Yusoff selepas majlis MoU antara DPDDM dan LUC baru-baru ini.
Nor Hasnal (kiri) menerima cenderamata daripada Mohd Yusoff selepas majlis MoU antara DPDDM dan LUC baru-baru ini.

Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia, Lincoln University College meterai MoU, perkasa usahawan berpendidikan & berdaya saing

24 Nov 2025 03:30pm

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) dan Lincoln University College (LUC) yang dimeterai di Kampus Utama LUC, Petaling Jaya, Selangor membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan, keusahawanan dan modal insan negara.

Perjanjian ini menjadi simbol kerjasama strategik dua hala yang menyasarkan pembentukan lebih ramai usahawan berpendidikan, berwawasan dan berdaya saing selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

MoU tersebut berperanan memperkukuh hubungan dan kerjasama melalui pelbagai inisiatif melibatkan pembangunan pendidikan, peningkatan kapasiti modal insan, penyelidikan akademik, latihan profesional dan perkongsian kepakaran antara sektor akademik serta korporat.

Usaha ini dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti perniagaan, para pelajar dan masyarakat keseluruhannya.

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, kerjasama ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, sebaliknya merupakan komitmen bersama untuk terus bekerjasama secara profesional, terbuka dan berterusan.

Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk merangka pelbagai program bersama, bertukar pandangan dan melaksanakan projek pembangunan yang mampu memberi impak positif kepada dunia akademik serta sektor korporat.

Beliau menambah bahawa DPDDM yakin kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang masa hadapan, memperluas jaringan antarabangsa serta meningkatkan kredibiliti kedua-dua institusi dalam melahirkan generasi pemimpin serta usahawan yang lebih kompetitif.

Rombongan DPDDM ke majlis menandatangani tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi termasuk Datuk Shazlan Bashah, Zainal Abidin Mohd Yusof, Saifful Sabaruddin, Jason Hoh dan Selvaraj Asiravatham.

Artikel Berkaitan:

Manakala LUC pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk (Amb) Dr Mohd Yusoff A Bakar, Profesor Datuk Dr Bibi Florina Abdullah dan Mohd Nikmat Wahib.

No Image Caption

LUC sebagai rakan strategik

Dalam ucapannya, Nor Hasnal turut menjelaskan sebab LUC dipilih sebagai rakan strategik.

Menurut beliau, LUC merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan ekosistem pembelajaran yang holistik dan kos pengajian yang kompetitif.

Keupayaan LUC dalam menyediakan pengajian bertaraf dunia serta kejayaan pelajar lepasan universiti itu menembusi pasaran pekerjaan menjadi antara faktor utama ia menjadi pilihan DPDDM.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa DPDDM berada dalam kedudukan strategik kerana keahlian dewan merangkumi pelbagai sektor industri sekali gus membolehkannya menjadi 'jambatan emas' bagi menghubungkan pendidikan, perniagaan dan pembangunan usahawan.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini dapat membantu meningkatkan peluang pembelajaran sepanjang hayat, memperkukuh kemahiran praktikal serta memupuk nilai sosial yang diperlukan oleh usahawan masa depan, selain memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) demi kesejahteraan masyarakat.

Seterusnya, LUC turut menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap kerjasama ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusoff berkata, pihaknya amat berharap kerjasama tersebut dapat membantu melahirkan graduan LUC yang bukan sahaja berwibawa tetapi juga selari dengan hasrat kerajaan Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, keilmuan dan daya tahan.

"Saya berharap hubungan antara DPDDM dan LUC dapat terus diperkukuh bagi membantu negara melahirkan lebih ramai graduan usahawan yang mampu bersaing dalam keadaan ekonomi semakin mencabar," katanya dengan menambah, LUC turut menawarkan pengajian untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing global serta bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Sementara itu, Bibi Florina menyifatkan MoU ini sebagai satu langkah penting yang bakal membawa banyak manfaat nyata kepada kedua-dua organisasi.

Beliau menekankan bahawa kolaborasi sebegini penting dalam meningkatkan kualiti akademik, kompetensi pelajar serta hubungan industri yang lebih kukuh.

MoU ini juga menjadi titik tolak kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama pada masa hadapan antara sektor awam dan swasta bagi memperkukuh pendidikan negara secara lebih menyeluruh. Hal ini sekali gus menyokong agenda Malaysia Madani yang mengutamakan masyarakat inklusif, makmur dan sejahtera.

No Image Caption

Pembentukan kelompok usahawan tempatan

DPDDM sebelum ini telah menjalinkan beberapa kerjasama strategik, antaranya dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Cyberjaya sebagai simbol peralihan paradigma daripada budaya persaingan kepada budaya kolaborasi dan daripada kebergantungan kepada pemerkasaan.

Melalui kerjasama tersebut, DPDDM menyasarkan pembentukan kelompok usahawan tempatan yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran domestik, tetapi juga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Keseluruhan MoU ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memperkasa pendidikan keusahawanan negara.

Dengan ruang kolaborasi yang semakin luas serta peluang peningkatan kemahiran yang lebih terbuka, ia diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembinaan generasi pemimpin dan usahawan masa depan yang jauh lebih progresif, inovatif dan berwawasan.

 

 

Ringkasan AI

  • Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPDDM dan LUC untuk memperkuat pembangunan pendidikan, keusahawanan, dan modal insan
  • MoU menyasarkan pembentukan lebih ramai usahawan berpendidikan, berwawasan, dan berdaya saing
  • Kerjasama ini melibatkan inisiatif pembangunan pendidikan, penyelidikan akademik, latihan profesional dan perkongsian kepakaran
  • Kerjasama tersebut dijangka memberi manfaat kepada komuniti perniagaan, para pelajar dan masyarakat
  • DPDDM dan LUC akan merangka program bersama yang memberi impak positif kepada dunia akademik dan sektor korporat
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp