Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Kereta lama, beban baharu: Adilkah polisi pelupusan ini?

23 Nov 2025 10:30am

Baru-baru ini seperti yang dibahaskan dalam Belanjawan 2025 mengenai isu kereta lama perlu dilupuskan untuk mengurangkan kadar kemalangan seperti tingkatkan keselamatan jalan raya dan meningkatkan kelestarian alam sekitar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam Belanjawan tersebut polisi pelupusan kereta lama ini akan diberi geran padanan sebanyak RM4000 kepada pemilik kereta lama yang berusia lebih 20 tahun.

Hal ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana dasar ini akan mendapat sokongan daripada masyarakat yang memiliki kereta lama.

Selain daripada tingkatkan keselamatan jalan raya dan kelestarian alam sekitar, tujuan lain dasar ini dikemukakan adalah untuk memberi sokongan kepada industri automotif tempatan dan mempromosikan pembuatan kenderaan berjenama Nasional untuk masyarakat setempat supaya dapat mengurangkan penggunaan kereta berjenama import memasuki negara ini.

Tambahan pula, kereta lama ini sering dikaitkan dengan masalah teknikal, beban kos penyelenggaraan kereta lama yang lebih tinggi berbanding kereta baharu serta peningkatan asap karbon yang tinggi dari kereta lama tersebut.

Walaupun dasar ini membawa potensi manfaat dari sudut keselamatan dan kelestarian, ia turut menimbulkan pelbagai implikasi terhadap pengguna yang masih bergantung kepada kereta lama.

Selain itu, penjual kereta terpakai turut berdepan cabaran dalam menyesuaikan model perniagaan mereka dengan perubahan dasar ini.

Artikel ini bertujuan menilai kesan pelupusan kereta lama terhadap dua pihak utama pengguna tempatan dan penjual kereta terpakai serta mencadangkan pendekatan alternatif yang lebih inklusif dan lestari.

Salah satu manfaat utama dasar ini adalah peningkatan tahap keselamatan jalan raya. Kenderaan yang telah berusia lebih 20 tahun ini kebiasaannya akan mengalami kehausan komponen, kekurangan ciri keselamatan moden, dan juga berkemungkinan berisiko tinggi mengalami kerosakan teknikal.

Artikel Berkaitan:

Dengan menggantikan kereta lama dengan model baharu yang dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS), beg udara, dan teknologi bantuan pemandu, pengguna kereta dapat menikmati tahap perlindungan yang lebih tinggi semasa berada di jalan raya.

Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan jalan raya dan kecederaan serius, terutamanya dalam kalangan pengguna yang melakukan perjalanan harian jarak jauh.

Tambahan pula, pengguna kereta lama ini juga memerlukan pendapatan yang tinggi untuk menyelenggara kereta tersebut sehingga melebihi kos pengeluaran setiap bulan pengguna.

Kebiasaannya pengguna kereta lama ini dimiliki oleh pengguna yang mempunyai minat terhadap kereta lama kerana mereka melihat kereta tersebut sebagai barang ‘rare’.

Selain itu, dasar ini turut memberi peluang kepada pengguna untuk beralih kepada kenderaan yang lebih cekap tenaga dan mesra alam. Kereta baharu biasanya menggunakan enjin yang lebih efisien dan menghasilkan pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding model lama.

Hal ini dikatakan demikian kerana kereta lama lebih cenderung melepaskan asap karbon hitam dan akan menimbulkan kesan negatif terhadap alam sekitar yang menyumbang pencemaran udara manakala bagi kereta baharu pula pelepasan asap karbon dapat dikurangkan dengan adanya teknologi dalam sektor perindustrian.

Dalam konteks perubahan iklim dan pencemaran udara yang semakin membimbangkan, peralihan ini menyokong agenda kelestarian negara dan meningkatkan kesedaran pengguna terhadap tanggungjawab alam sekitar.

Tambahan pula, pengguna yang melupuskan kereta lama berpotensi mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang, memandangkan kenderaan baharu memerlukan kurang pembaikan dan lebih mudah diservis dengan alat ganti yang tersedia.

Dari sudut ekonomi mikro, insentif geran padanan RM4,000 yang ditawarkan kerajaan dapat meringankan beban kewangan pengguna dalam proses pembelian kereta baharu.

Bagi sesetengah pengguna, insentif ini mungkin menjadi pemangkin untuk membuat keputusan pelaburan jangka panjang dalam kenderaan yang lebih selamat dan efisien.

Dalam jangka masa panjang, pengguna juga berpeluang menikmati nilai jualan semula yang lebih baik serta akses kepada teknologi automotif terkini seperti sistem infotainmen pintar dan sambungan digital.

Walaupun dasar ini membawa beberapa manfaat, ia juga menimbulkan cabaran besar kepada pengguna tempatan, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pertama sekali, beban kewangan kekal menjadi isu utama. Walaupun geran RM4,000 ditawarkan, harga kereta baharu masih berada di luar jangkauan ramai pengguna, terutamanya mereka yang tidak layak mendapat pinjaman bank atau tidak mempunyai simpanan mencukupi. Ini boleh menyebabkan tekanan kewangan yang serius, terutamanya dalam konteks kos sara hidup yang semakin meningkat.

Selain itu, dasar ini berpotensi menjejaskan mobiliti harian pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada kenderaan lama untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Di kawasan luar bandar dan pinggir bandar yang kekurangan akses kepada pengangkutan awam yang efisien, pelupusan kenderaan tanpa alternatif yang setara boleh menjejaskan produktiviti dan kualiti hidup pengguna.

Dalam kes tertentu, pengguna mungkin terpaksa menangguhkan aktiviti ekonomi atau sosial penting kerana kehilangan alat mobiliti utama mereka.

Tambahan pula, dasar pelupusan berdasarkan usia kenderaan semata-mata tanpa mengambil kira keadaan teknikal sebenar boleh dianggap tidak adil.

Terdapat ramai pengguna yang menjaga kereta lama mereka dengan baik dan memastikan ia sentiasa dalam keadaan selamat dan boleh digunakan.

Pelaksanaan dasar secara menyeluruh tanpa fleksibiliti pemeriksaan teknikal boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketidakpercayaan terhadap dasar kerajaan.

Ini juga boleh menjejaskan nilai sentimental dan warisan keluarga yang dikaitkan dengan kenderaan tertentu.

Tidak lupa juga kepada penjual kereta terpakai sama ada kereta tempatan mahupun kereta import, mereka akan menerima impak daripada dasar yang telah kerajaan cuba lakukan.

Salah satu implikasi utama ialah penyusutan nilai dan permintaan terhadap stok kenderaan lama yang masih berada dalam pasaran. Penjual yang memiliki banyak kereta berusia lebih 20 tahun berisiko akan mengalami kerugian modal yang banyak kerana kenderaan tersebut tidak lagi menarik minat pembeli, terutamanya apabila insentif kerajaan hanya tertumpu kepada pembelian kereta baharu.

Hal ini dikatakan demikian kerana kenderaan tersebut boleh menyebabkan lambakan stok tidak terjual, peningkatan kos penyimpanan di setiap kedai kereta terpakai, dan tekanan terhadap aliran tunai perniagaan.

Selain itu, dasar ini turut mencetuskan ketidakpastian dalam pasaran kereta terpakai. Penjual mungkin menghadapi kesukaran untuk meramal permintaan pengguna, terutamanya jika dasar pelupusan dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa tempoh peralihan yang mencukupi.

Ketidakpastian ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan menghalang penjual daripada membuat perancangan jangka panjang, termasuk dalam aspek pembelian stok, pengurusan risiko, dan pelaburan dalam infrastruktur perniagaan.

Secara keseluruhannya, dasar pelupusan kereta lama membawa kesan yang bercampur kepada penjual kereta terpakai di Malaysia. Di satu pihak, dasar ini membuka peluang untuk penstrukturan semula model perniagaan, kerjasama strategik, dan transformasi digital.

Namun di pihak lain, ia turut menimbulkan cabaran besar dari segi penyusutan nilai stok, ketidakpastian pasaran, dan risiko kehilangan kepercayaan pengguna.

Oleh itu, pelaksanaan dasar ini perlu disertai dengan pendekatan yang lebih inklusif dan berperingkat, termasuk penyediaan insentif kepada penjual kereta terpakai, pelaksanaan pemeriksaan teknikal sebagai alternatif kepada pelupusan automatik, serta kempen kesedaran awam yang menekankan nilai kenderaan terpakai yang selamat dan lestari.

Pendekatan yang seimbang ini penting bagi memastikan kelangsungan industri kereta terpakai dalam ekosistem mobiliti negara yang semakin berkembang.

 

Maklumat penulis:

1. Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT),

Nurfazira Zuliana Syemy Effendy

2. Penyelaras Kursus Perancangan Dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT, Jaharudin Padli

 

Ringkasan AI

  • Baru-baru ini dibahaskan dalam Belanjawan 2025 tentang pelupusan kereta lama untuk tingkatkan keselamatan jalan raya dan kelestarian alam sekitar
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pemilik kereta lama lebih 20 tahun akan diberi geran RM4000
  • Dasar ini juga bertujuan sokong industri automotif tempatan dan promosi pembuatan kenderaan Nasional
  • Kereta lama dikaitkan dengan masalah teknikal dan beban kos penyelenggaraan tinggi serta peningkatan asap karbon
  • Dasar pelupusan kereta lama bercampur kesan kepada pengguna tempatan dan penjual kereta terpakai, memerlukan pendekatan lebih inklusif
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp