Dua beradik terima PhD serentak

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
30 Nov 2023 06:02pm

Musim konvokesyen tahun ini menyaksikan pelbagai cerita menarik para graduan yang bukan sahaja menyentuh perasaan tetapi menimbulkan rasa bangga kepada mereka yang mengikuti perkembangan istiadat itu setiap universiti dalam negara.

Baru-baru ini, dua beradik kandung berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) secara serentak di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-67 dan Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-51.

Lebih menarik, Dr Muhammad Luqman Nordin, 34, dan adiknya, Abu Hassan, 30, turut menerima anugerah kecemerlangan.

Abu Hassan dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor dan pelajar pascasiswazah terbaik UTM, manakala Muhammad Luqman menerima Anugerah Tesis Cemerlang dan Graduate on Time di UKM.

Menurut Muhammad Luqman, kejayaan yang dikecapi bersama adiknya itu adalah hasil dorongan kedua ibu bapa yang sentiasa menyokong mereka untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat PhD.

“Saya kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang farmasi di UKM.

“Manakala, Abu Hassan kini bekerja sebagai jurutera konsultan di syarikat pembuatan F&B di Sungai Petani, Kedah menamatkan pengajian jurusan kejuruteraan kimia di UTM.

“Walaupun mengikuti bidang pengajian dan universiti yang berbeza, namun kami ada mengadakan perbincangan dan mengulang kaji bersama serta saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercerita tentang cabaran sepanjang melanjutkan pengajian ini, kongsi Muhammad Luqman, cabaran utama adalah ketika terperangkap dalam kampus sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19.

Bahkan, segala aktiviti dan kerja lapangan tergendala disebabkan tiada akses untuk ke ruang-ruang tertentu kerana prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ketika itu.

Abu Hassan (kiri) bersama ibu dan abangnya Dr Muhammad Luqman.
Abu Hassan (kiri) bersama ibu dan abangnya Dr Muhammad Luqman.



“Cabaran utama kami sewaktu belajar adalah terperangkap dalam kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kira-kira dua tahun lepas.

“Situasi cemas itu membuatkan kami terpisah daripada keluarga tercinta dan berhari raya di kampus masing-masing. Namun, saya memikirkan daripada terus bersedih, lebih baik bangkit semula,” ujarnya.

Muhammad Luqman turut mengakui sangat gembira kerana tidak menyangka dapat menyiapkan PhD dalam masa yang ditetapkan meskipun berdepan pelbagai dugaan terutama ketika Covid-19.

Sementara itu, Abu Hassan turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada UTM yang telah memberikan bantuan kewangan melalui biasiswa Zamalah UTM.

“Bantuan biasiswa UTM inilah yang meningkatkan lagi motivasi saya untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

“Tambahan pula, ayah saya tidak berapa sihat.

“Kini, tiga orang adik beradik saya termasuk Hassan memiliki PhD dalam bidang yang berbeza.

“Diharapkan kami mampu mengembirakan ibu bapa sebelum mereka meninggalkan dunia ini kerana saya yakin kebahagiaan terletak pada kebahagiaan kedua ibu bapa,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp