Edar 1,000 bubur lambuk kepada komuniti
Unit Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan, Kolej Komuniti Jelebu (KKJU), Negeri Sembilan meneruskan tradisi tahunan mereka apabila menganjurkan program khidmat masyarakat memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada komuniti setempat.
Mereka (KKJU) telah bekerjasama dengan Balai Undang Luak Jelebu bagi menyantuni masyarakat setempat manakala Undang Luak Jelebu ke-16, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad dan isteri Tok Puan Mahawa Mohd Som mencemar kaus memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada rakyat Jelebu.
Hadir sama Pengarah KKJU, Ishamuddin Ishak dan Datuk-datuk Lembaga Delapan serta Orang-Orang Besar Balai Undang Luak Jelebu.
Program yang disertai 62 pelajar Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan dan Sijil Khas Pemprosesan Makanan berjaya menghasilkan sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk sekali gus diagihkan kepada badan-badan kerajaan sekitar Jelebu, antaranya Hospital Jelebu, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Jelebu.
Melalui bimbingan para pensyarah, penyediaan bubur lambuk dilakukan secara bergotong-royong bertujuan menghidupkan suasana rewang selain memupuk budaya kerjasama antara pelajar, pensyarah dan masyarakat.
Di samping itu, program turut menjadi ruang mengimarahkan bulan Ramadan agar dapat melahirkan pelajar-pelajar berakhlak mulia, berbudi pekerti, meningkatkan kemahiran dan ilmu dalam pemprosesan makanan.
Menerusi khidmat masyarakat ini juga, peserta berpeluang mengenali dengan lebih dekat budaya dan sistem adat Perpatih yang diamalkan masyarakat di Negeri Sembilan selain beramah mesra dengan Undang Luak Jelebu ke-16,
Sementara itu, wakil pelajar KKJU, Nurainina Samad, melahirkan keterujaan kerana dapat menyertai program berkenaan.
“Pelbagai pengalaman berharga dikutip sepanjang program ini berlangsung.
“Paling menyeronokan apabila dapat mengenali lebih dekat barisan tetamu kenamaan yang hadir bersama-sama memasak bubur lambuk,” ujarnya.