Elak tertukar bagasi, UPSI hasilkan penanda beg bantu jemaah umrah

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Jun 2023 03:58pm

Sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghasilkan gelang penanda beg yang dinamakan sebagai Reminder Art Craft bagi membantu jemaah umrah di tanah suci Makkah daripada masalah tertukar beg atau bagasi.

Penanda beg yang menggunakan getah elastik, velcro tape, benang sulam, labuci, manik dan butang dihasilkan lima pelajar dari Fakulti Seni Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI bagi memenuhi keperluan kursus Insan Guru Profesional (KPG3013) membabitkan Projek Santun Masyarakat.

Menurut salah seorang ahli kumpulan, Muhammad Syahmi Syahbuldin, 23, idea menghasilkan penanda beg itu tercetus setelah mengadakan sesi kuliah bersama penyelaras kursus, Dr Harleny Abd Arif yang berkongsi pengalaman beliau melaksanakan umrah sebelum ini.

Muhammad Syahmi yang berasal dari Sri Aman, Sarawak, berkata, idea itu juga tercetus apabila mereka berjumpa dengan satu agensi yang membawa para jemaah untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah iaitu Tiram Travel (Tiram Travel) Sdn Bhd cawangan Tanjung Malim pada Mei lalu.

“Mereka memberitahu beberapa masalah yang sering dihadapi para jemaah Tiram Travel iaitu antaranya kesukaran untuk mengenal pasti beg masing-masing dan daripada situ tercetusnya idea kami untuk menghasilkan produk berbentuk penanda beg ini yang diberi nama Reminder Art Craft,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Syahmi berkata, untuk penghasilan produk itu, mereka mengambil masa selama seminggu bagi menyiapkan penanda beg berkenaan sebanyak 50 unit setelah membuat analisis bahan yang perlu digunakan sebelum bersetuju menggunakan getah elastik sebagai bahan asas produk tersebut.

Pelajar semester lima jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) dengan Kepujian itu menjelaskan, setiap ahli kumpulan mempunyai peranan masing-masing antaranya memotong getah elastik kepada beberapa bahagian dan penghasilan corak yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyiapkan satu unit penanda beg.

Sementara itu, rakan kumpulan, Al Suhaimi Alsim, 23, berkata, setakat ini mereka hanya menghasilkan 50 unit penanda beg dengan 35 daripadanya telah diberikan kepada jemaah umrah Tiram Travel pada bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Harleny yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Seni dan Reka Bentuk, FSKIK UPSI menjelaskan, perkara paling penting dalam penghasilan penanda beg itu adalah ia memanfatkan pelajar serta masyarakat secara amnya dan produk tersebut boleh dihasilkan sekiranya terdapat peluang.

“Kalau kata dari segi hendak komersialkan itu adalah apa sahaja yang dibuat, sama ada skala paling kecil, mudah atau sederhana, selagi ia memberi manfaat kepada diri kita sendiri atau masyarakat, kenapa tidak? Kita perlu bermula dari sekarang,” katanya.

Menurut Harleny setiap wakil keluarga telah diberikan produk yang sama warnanya bagi memudahkan pengecaman sekiranya berlaku kekeliruan mengenal pasti beg dalam kalangan jemaah umrah Tiram Travel.

Selain itu, tambah beliau, sekiranya selepas ini ada pihak yang mahu berbincang untuk penambahbaikan terhadap penanda beg itu yang akan memberi manfaat kepada komuniti, mereka amat dialu-alukan.

Menurutnya sebagai seorang pensyarah, beliau hanya merupakan fasilitator, memberi bimbingan, aspirasi dan motivasi kepada pelajarnya untuk menyiapkan serta

melakukan suatu tugasan sebaik mungkin.

“Sekiranya ada pihak-pihak lain yang berhasrat hendak komersialkan (penanda beg tersebut), insya-ALLAH kita berbincang dan apa sahaja untuk kebaikan diri kita, masyarakat bagi saya, kita raikan insya-ALLAH kita boleh ke arah yang lebih baik, memberi manfaat kepada komuniti,” katanya. -- BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp