‘Explore The Nature with Semai People’ dekati masyarakat Orang Asli
Musim cuti persekolahan menjadi salah satu tarikh yang dinanti-nantikan anak-anak apatah lagi apabila dapat beriadah dan berkumpul seisi sekeluarga.
Salah satu aktiviti riadah kegemaran keluarga ialah melancong dan terbaharu destinasi pelancongan berbentuk eko-pelancongan yang menawarkan pelancong-pelancong mendekati alam semula jadi menjadi pilihan.
Mungkin ramai tidak mengetahui, perkampungan Orang Asli yang terletak di Lata Kinjang, Tapah, Perak menjadi sebahagian daripada produk eko-pelancongan negeri Perak.
Menyedari kepentingan dalam mempromosi produk pelancongan berkenaan, seramai 21 mahasiswa Universiti Sultan Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah mengadakan program Explore The Nature with Semai People, baru-baru ini.
Pengarah program, Fatin Syahirah Fauzi berkata, antara tujuan utama program selama tiga hari itu adalah mendekati masyarakat Orang Asli Semai Lata Kinjang.
“Lata Kinjang menawarkan pelbagai produk alam semula jadi menarik kepada pengunjung-pengunjung terutama mereka yang 'dahagakan' keindahan flora dan fauna.
“Justeru, program ini memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli Semai untuk mempromosi produk tersebut sekali gus dapat menjana ekonomi mereka,” katanya pada majlis pelancaran ‘Explore The Nature with Semai People’ di Tapah, Perak, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak, Hairulnizam Abd Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cenderiang, Choong Shin Heng dan Tok Batin Lata Kinjang, Rani Bah Ulin.
Fatin menjelaskan, mahasiswa-mahasiswa daripada Fakulti Sains Sosial Gunaan ( Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial) ingin menyokong dan membantu masyarakat setempat terutama melibatkan produk eko-pelancongan.
Sebagai contoh, dia memberitahu, masyarakat Orang Asli Semai boleh menawarkan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong terutama apabila melibatkan aktiviti hiking ke puncak air terjun.
“Mereka juga boleh mempergiatkan lagi promosi chalet-chalet kepada orang ramai berikutan tidak semua penggemar eko-pelancongan mengetahui mengenai kemudahan tersebut.
“Selain itu, pengenalan budaya dan tradisi masyarakat Orang Asli Semai dapat menarik pelancong-pelancong terutama dari luar negara,” ujarnya.
Dia memberitahu, mahasiswa-mahasiswa tidak ketinggalan mengadakan gotong-royong bersama masyarakat setempat dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih dan nyaman.
Katanya, produk eko-pelancongan mempunyai potensi yang sangat tinggi kerana mempunyai peminat tersendiri.