Generasi Z dan era Revolusi Industri 4.0
Generasi Z dilahirkan dalam era digital sangat terdedah dengan cabaran dan isu keselamatan siber.
Rentetan itu, Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Network Outreach bersama murid Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim (STAY) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 23 hingga 27 Oktober lalu.
Ketua Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian FSKTM UPM, Profesor Madya Dr Zurina Mohd Hanapi berkata, program yang diadakan bersempena sambutan Jubli Perak FSKTM dan Hari Terbuka 2023 itu, memperkenalkan teknologi berkaitan rangkaian yang menjadi tunjang utama internet dunia dan membantu meningkatkan pengetahuan serta kesedaran berkaitan keselamatan siber kepada murid sekolah.
"Peserta diperkenalkan dengan alatan dan perkakasan teknologi rangkaian yang membentuk infrastruktur rangkaian global atau secara umumnya internet di samping meningkatkan kesedaran keselamatan siber untuk menghadapi era Revolusi Industri 4.0 yang semakin mencabar ketika ini," kata Zurina baru-baru ini.
Tambah Zurina, sesi perkongsian ilmu dikendalikan oleh pakar dalam bidang rangkaian dan keselamatan siber di UPM iaitu Pensyarah Kanan FSKTM, Dr Mohd Izuan Hafez Ninggal dan pensyarah FSKTM, Ahmad Alauddin Ariffin.