Graduan berkemahiran miliki kebolehpasaran dalam industri
Calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 bakal memperoleh keputusan di sekolah masing-masing pada 8 Jun ini.
Keputusan berkenaan akan menentukan 'perjalanan' baharu lepasan SPM dalam menimba ilmu pengetahuan sehingga peringkat tertinggi ataupun ingin mendalami kemahiran tertentu untuk dijadikan kerjaya pada masa hadapan.
Bagi mereka yang ingin berkecimpung di dalam bidang kemahiran, Sinar Bestari berkongsi beberapa institusi pengajian yang menawarkan program-program menarik.
1. Institut Kraf Negara (IKN)
Diploma Seni Kraf Logam
Pelajar dapat memperoleh kemahiran dalam proses penghasilan seni kraf logam dan berkebolehan mereka cipta corak seni kraf logam.
Kebolehan mengaplikasikan kemahiran pembuatan kraf logam bagi kegunaan yang lebih praktikal dan kreatif mengikut fungsi serta keperluan pasaran.
Berpeluang menjalankan penyelidikan, kajian kreatif, berinovatif, berdaya saing dan dapat menghasilkan produk seni kraf logam secara tradisional serta kontemporari.
2. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Sarjana Muda Pendidikan (Seni) dengan Kepujian
Graduan IKN boleh melanjutkan pengajian di UPSI untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang seni.
3. Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Logam Halus)
Program ini mendedahkan pelajar kepada beberapa aspek pengajian seperti amalan bengkel, sejarah, asas teori, kerja logam, melalui reka bentuk, perniagaan dan pemasaran.
Pelajar akan mempelajari kemahiran asas dalam membuat produk logam dan meneroka konsep reka bentuk yang berkaitan dengan aspek lain seperti kos, pengurusan reka bentuk serta keusahawanan.
Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Perindustrian)
Program ini menyediakan pelajar untuk menjadi pereka industri yang efektif dengan memiliki asas yang kukuh dalam ilmu reka bentuk.
Mereka dilatih untuk mencari penyelesaian reka bentuk secara menyeluruh yang mengharmonikan estetika berkualiti tinggi, teknologi, keperluan ergonomik, antara muka pengguna yang cekap serta pertimbangan pasaran yang baik.
4. Universiti Sains Malaysia (USM)
Program Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) Reka Bentuk Produk
Program komprehensif yang menyediakan pelajar dalam kerjaya reka bentuk produk. Ia memberi tumpuan kepada membangunkan kemahiran reka bentuk kreativiti dan kebolehan pemikiran kritis pelajar.
Selain itu, program ini melengkapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran teknikal dalam pelbagai alatan dan perisian reka bentuk.
5. Politeknik
Diploma Reka Bentuk Kraf
Program ini menyediakan pengetahuan dan kemahiran dalam reka bentuk kraf dan pembuatan.
Pelajar mempunyai ruang kerjaya yang luas di dalam industri reka bentuk perabot, industri reka bentuk kraf, industri reka bentuk produk-produk industri, keusahawanan dan di dalam sektor kerajaan.
Latihan industri yang dilalui dapat menyediakan peluang dan ruang kepada pelajar sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan kelak.
Diploma Reka Bentuk Industri
Program ini menumpukan kepada pembangunan reka bentuk, lakaran dan modeling tiga dimensi, teknik rendering, persembahan, kemahiran komunikasi, estetika dan dokumentasi teknikal.