Gunakan masa pengajian untuk menimba ilmu sebaik mungkin - Naib Canselor UUM

12 Oct 2023 03:41pm

Mahasiswa baharu Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memulakan pengajian mereka di kampus ini diminta menggunakan tempoh pengajian mereka untuk menuntut ilmu sebaik mungkin, kata Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan.

Jelas beliau, ia adalah peringkat terakhir bagi penuntut menyelami lautan ilmu pengetahuan.

“Selepas sesi pengajian di sekolah rendah, menengah, matrikulasi dan sebagainya ini adalah makmal terakhir untuk mendapat didikan secara formal di peringkat universiti.

“Oleh itu gunakanlah tempoh masa yang ada untuk tuntut ilmu sebanyak yang mungkin samada berkaitan dengan bidang ataupun ilmu-ilmu lain yang seumpama berkaitan agama, adab, sahsiah dan kecemerlangan diri selain daripada akademik,” ujarnya ketika menghadiri majlis Bicara Santai Bersama Naib Canselor dengan siswa baharu sesi 2023/2024 di Dewan Muadzam Shah UUM.

Pada majlis tersebut, Mohd Foad telah memperkenalkan barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) dan dekan kepada hadirin.

Sementara itu, Mohd Foad turut menyarankan penuntut untuk melibatkan diri dan membina jaringan dengan rakan-rakan samaada di pusat pengajian atau inasis masing-masing.

Bagi sesi ini, UUM menerima kemasukan 3,879 siswa baharu terdiri daripada penuntut tempatan dan antarabangsa yang akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2023/2024.

Daripada jumlah itu, 3,773 orang adalah penuntut yang merupakan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), manakala 106 lagi adalah mahasiswa antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp