Abu Bakar (kanan) dinobatkan sebagai penerima Doktor Kehormat Perubatan oleh IMU baru-baru ini.
Abu Bakar (kanan) dinobatkan sebagai penerima Doktor Kehormat Perubatan oleh IMU baru-baru ini.

Hargai jasa tokoh, IMU umum Abu Bakar penerima Doktor Kehormat Perubatan

ROSHLAWATY MD RAIEH
20 Jul 2023 06:00pm
A
A
A

Tokoh terkemuka dalam bidang kesihatan dan perubatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman diumumkan sebagai penerima Doktor Kehormat Perubatan pada Majlis Konvokesyen Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penganugerahan kepada tokoh merangkap Penasihat Kanan IMU itu adalah sebagai menghargai sumbangan beliau yang begitu banyak dalam bidang kesihatan dan perubatan.

Abu Bakar berterima kasih kepada IMU kerana mengiktiraf segala jasa dan sumbangan yang telah diberikannya.

“Kepada seluruh mahasiswa dan graduan IMU, ingin saya nasihatkan agar sentiasa bersemangat untuk menimba ilmu secara berterusan.

“Selain itu, anda harus berusaha untuk selalu berada di barisan hadapan dalam inovasi penjagaan kesihatan terutamanya berkaitan penjagaan kepada pesakit dan penyelesaian kesihatan digital,” ujarnya.

Majlis Konvokesyen IMU meraikan 255 graduan dalam program pascasiswazah dan sarjana muda yang merangkumi bidang perubatan, psikologi, pergigian, kimia farmaseutikal, kejururawatan serta perubatan komplementari dan alternatif.

Berlangsung dua sesi pada hari yang sama, majlis konvokesyen tersebut dipengerusikan oleh Naib Canselor IMU, Profesor Dr Abdul Aziz Baba.

Hadir sama, Pro-Canselor IMU Ahli Akademik, Datin Paduka Setia Dr Aini Ideris.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, graduan cemerlang IMU, Lim Yee Siew dinobatkan sebagai penerima tiga anugerah pada satu majlis penyampaian hadiah yang diadakan sehari sebelum Majlis Konvokesyen IMU berlangsung.

Yee Siew yang merupakan graduan Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan meraih tiga kejayaan iaitu Pingat Emas Memorial Dr John Joseph Bosco; Anugerah Profesionalisme dan Kepimpinan Persatuan Perubatan Malaysia Wilayah Persekutuan (MMAWP) dan Anugerah Kepimpinan Dr Tan See Leng (Tempat Kedua).

Yee Siew
Yee Siew

Mengulas mengenai pencapaiannya, Yee Siew berkata, dia terkejut dan teruja serta amat berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan oleh universiti itu.

“Pengalaman saya di IMU benar-benar tidak ternilai. Terima kasih kepada individu dan profesor yang banyak memberi inspirasi sepanjang pengajian di sini.

“Tidak lupa juga dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, mentor dan rakan-rakan sepanjang perjalanan pembelajaran selama lima tahun ini,” kata graduan cemerlang tersebut.

Selain mengiktiraf Yee Siew sebagai penerima tiga anugerah, majlis turut mengumumkan akreditasi semula program kiropraktik IMU oleh Council on Chiropractic Education Australasia (CCEA) sehingga April 2026.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok