
Hari Moyang dari kaca mata pelajar UM
Seramai 40 orang pelajar dari Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) Universiti Malaya (UM) terlibat sebagai sukarelawan meraikan Hari Moyang iaitu sebuah perayaan adat tradisional masyarakat Orang Asli kaum Temuan di Kampung Bukit Lanjan, Selangor baru-baru ini.
Hari Moyang adalah acara menghormati nenek moyang masyarakat Orang Asli melalui upacara adat yang diwarisi secara turun-temurun, bagi menghormati ‘semangat’ yang dipercayai melindungi keselamatan dan membawa kehidupan sejahtera kepada generasi masa kini.
Ia menjadi platform untuk menyemai semangat perpaduan, mempertahankan identiti budaya dan memperkenalkan warisan tradisional kepada generasi muda serta peserta program.
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kampung Orang Asli Bukit Lanjan, Tok Batin Atak Akob dan majlis diteruskan dengan ucapan perasmian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanjan, Pua Pei Ling.
Semasa majlis perasmian program, peserta dan tetamu disajikan dengan persembahan tarian tradisional masyarakat Temuan, termasuk tarian Sewang yang diiringi alunan muzik tradisional.
Persembahan itu memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan menghayati keindahan budaya Orang Asli Temuan.
Sukarelawan dari UM itu dikenali dengan pasukan Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti (SPARK) yang merupakan sebuah projek sukarelawan bertujuan berinteraksi dengan golongan berkeperluan khas selain sering terpinggir dalam masyarakat.
Projek ini dirangka dengan matlamat membentuk peserta yang memiliki hati penyayang dan memupuk sifat empati terutama terhadap golongan kurang bernasib baik dan interaksi dalam projek ini mampu menghapuskan persepsi negatif dan membina hubungan yang lebih inklusif, sekali gus memperbaiki persepsi masyarakat terhadap golongan ini.
Untuk rekod, perkampungan Orang Asli Bukit Lanjan mendapat namanya apabila sekumpulan Orang Asli Temuan yang pertama tiba ke kawasan itu.
Orang Asli Temuan di Bukit Lanjan kini tinggal di kampung yang sangat berbeza daripada kehidupan mereka dahulu. Mereka tidak lagi berpindah randah, memburu, mengutip buah-buahan, mengail, atau mencari hasil hutan untuk menyara kehidupan.
Dengan usaha kerajaan, perkampungan itu dibangunkan menjadi Desa Temuan yang kini sebahagian daripada kawasan perbandaran baharu dikenali sebagai Damansara Perdana. Terdapat kira-kira 120 buah keluarga yang tinggal di Desa Temuan ini pada masa sekarang.

Berbeza adat
Sementara itu, Pengarah Projek SPARK, Nur Afifah Ahmad Damanhuri berkata, para pelajar yang menyertai program ini berpeluang mempelajari nilai-nilai unik Orang Asli Temuan, termasuk cara mereka menghormati alam sekitar, kepercayaan terhadap roh nenek moyang dan pengajaran tentang pentingnya adat dalam kehidupan seharian.
Selain itu, pelajar berpeluang untuk mendalami adat mereka melalui acara sumpit dan kerchang.
Permainan kerchang mencabar minda pelajar, manakala acara sumpit menguji kemahiran dan diawasi oleh wakil Lembaga Adat untuk keselamatan. Aktiviti ini memperkaya pemahaman pelajar tentang adat masyarakat Temuan.
Projek SPARK turut membuka reruai sepanjang program hari moyang di samping turut menjalankan aktiviti sukaneka bersama komuniti Orang Asli. Antara aktiviti yang dijalankan adalah acara menyumpit.
Peserta diminta menembak sasaran dalam jarak yang ditetapkan menggunakan sumpit. Aktiviti ini diajar dan diawasi oleh wakil dari Lembaga Adat sebagai langkah keselamatan.

Peserta dan pelajar juga berpeluang mempelajari cara menggunakan sumpit. Permainan ini dilaksanakan di bawah pengawasan Lembaga Adat. Para peserta tetap terhibur dan bersemangat bermain permainan ini walaupun ia agak mencabar.
Terdapat juga acara sukan tradisional seperti galah panjang. Dua kumpulan peserta berada di stesen yang sama untuk bersaing dalam permainan galah panjang.
Kumpulan yang berjaya melepasi garisan dengan jumlah ahli terbanyak mendapat mata. Para peserta sangat teruja dengan aktiviti ini dan bermain dengan penuh semangat.
Seterusnya, aktiviti yang dijalankan ialah baling selipar. Satu kumpulan terdiri daripada lima orang pelajar, bersaing dengan satu kumpulan peserta. Permainan ini dijalankan dalam dua pusingan, dan kumpulan yang menang memperoleh satu mata bagi setiap pusingan.
Permainan ini menggalakkan interaksi di samping mengeratkan hubungan antara peserta dan kumpulan pelajar.
Stesen seterusnya ialah stesen lastik tin. Terdapat sembilan tin yang disusun di atas meja, dan kumpulan peserta perlu melastik untuk menjatuhkan tin tersebut dari jarak yang telah ditetapkan. Setiap peserta bergilir-gilir untuk melastik dalam masa yang ditetapkan. Setiap tin yang jatuh diberikan satu markah.
Maklumat Penulis
Pelajar Universiti Malaya (UM) yang juga dari Kolej Kediaman Pertama UM, Nur Afifah Ahmad Damanhuri dan Nor Aliesya Aisyah Abdulrahum
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my