Nahrizul Adib (kanan) menerima 500 keping baucar Rahmah daripada Zulkiflee ketika penyampaian sumbangan itu di Dewan Tunku Canselor, UM.
Nahrizul Adib (kanan) menerima 500 keping baucar Rahmah daripada Zulkiflee ketika penyampaian sumbangan itu di Dewan Tunku Canselor, UM.

He & She Coffee sumbang 500 keping baucar Rahmah kepada UM

ROSHLAWATY MD RAIEH
08 Mar 2023 02:23pm
A
A
A

Mahasiswa institut pengajian tinggi awam (IPTA) melahirkan rasa gembira apabila bakal menikmati hidangan berkualiti pada harga mampu milik menerusi Menu Rahmah.

Sebagai permulaan, program Menu Rahmah yang menyediakan makanan berharga bawah RM5 akan dilaksanakan selepas Aidilfitri membabitkan 20 IPTA sekitar Lembah Klang.

Menu Rahmah adalah hidangan seimbang merangkumi nasi, satu pilihan protein ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan untuk membantu golongan terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan salah satu universiti yang menyokong penuh cadangan kerajaan dalam memperkenalkan Menu Rahmah di IPTA.

Naib Canselornya, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, Menu Rahmah akan membantu mahasiswa terutama golongan B40 membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.

“UNiSZA sudah melaksanakan pengenalan menu harga murah iaitu RM3.50 sejak tahun lalu dan telah dinikmati penuntut dan juga warga kerja UniSZA.

“Insya-ALLAH, dari semasa ke semasa kita akan terus menambah baik kualiti dan kepelbagaian menu,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagi Universiti Malaya (UM) pula, mereka melahirkan penghargaan kepada He & She Coffee kerana menyumbang sejumlah 500 keping baucar Rahmah yang bernilai RM2,500 baru-baru ini.

Baucar itu boleh digunakan di kesemua cawangan He & She Coffee dengan terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif He & She Coffee, Zulkiflee Yusof berkata, pemberian baucar itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan mereka dalam membantu warga kampus seluruh negara.

“Inisiatif ini juga seiring dengan hasrat kerajaan di dalam dasar Malaysia Madani yang ingin melihat semua pihak bersama-sama membantu masyarakat menangani cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup,” ujar Zulkiflee selepas penyampaian sumbangan baucar Rahmah di Dewan Tunku Canselor, UM, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, pemberian 500 keping baucar Rahmah tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Menu Rahmah.

Bagaimanapun katanya, sumbangan berkenaan mampu menjadi pencetus kepada pemegang taruh lain untuk sama-sama menghulurkan bantuan demi kebajikan dan kesejahteraan warga kampus.

“Terima kasih dan tahniah kepada He & She Coffee yang berani ke hadapan dan mendepani usaha ini,” jelas Nahrizul Adib.

UM merupakan IPTA yang mempunyai cawangan He & She Coffee paling banyak.

Penggemar kopi dalam kalangan warga kampus dan pelawat boleh mendapatinya di UM Sentral dan Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah.

Dua lagi cawangan sedang dalam pembinaan dan bakal disiapkan tahun ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Fakulti Pergigian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok