Inovasi House of Sensory yang dibangunkan penuntut UKM dapat merangsang deria kanak-kanak iaitu sentuhan, bau, rasa, penglihatan dan pendengaran.
Inovasi House of Sensory yang dibangunkan penuntut UKM dapat merangsang deria kanak-kanak iaitu sentuhan, bau, rasa, penglihatan dan pendengaran.

Inovasi House Of Sensory bantu kanak-kanak speech delay

10 Feb 2025 08:30am

Sekumpulan mahasiswa Tahun Tiga dari program Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan inovasi House of Sensory bagi membantu ibu bapa yang mempunyai anak lambat bercakap atau speech delay.

Ketua kumpulan, Nur Alia Zainuddin berkata, inovasi itu dapat merangsang deria kanak-kanak melalui lima deria utama manusia iaitu sentuhan, bau, rasa, penglihatan dan pendengaran.

"Bukan itu sahaja, kotak mainan sensori yang diinovasikan ini lebih mudah dibawa, harga berpatutan dan lebih selamat kerana penggunaan bahan berkualiti seperti Theraphy Putty dan tidak berbahaya.

"Pengalaman deria menjadi bahagian penting dalam pendidikan awal kanak-kanak.

"Selain itu, mainan seperti nombor, abjad, playdough dan haiwan juga menjadi tumpuan. Kotak ini bukan sekadar mainan tetapi sebagai alat mengasah minda lebih cerah dan kreatif," katanya.

Menurut Nur Alia, projek ini dimulakan dengan penyelidikan untuk mengenal pasti kriteria bahan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Kemudian, ahli kumpulan membangunkan reka bentuk prototaip dan mula mengumpul dana untuk pembuatan skala kecil.

Ujarnya lagi, kumpulan yang diseliakan Dr Velan Kunjuraman itu telah melaksanakan pemerhatian secara langsung daripada guru dan kanak-kanak di Taska Didik Nur Hidayah, Kajang, Selangor bagi mendapatkan maklum balas produk tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan deria kanak-kanak tetapi dapat mengurangkan masalah ibu bapa di desa dan kurang berkemampuan dengan menggunakan kos minimum.

"Penggunaan elemen warna pelbagai dan permainan interaktif yang menarik sekali gus memberikan mereka pengalaman menyeronokkan serta merangsang perkembangan kreativiti dan kemahiran motor," tuturnya.

Sementara itu, Pengurus Taska Didik Nur Hidayah, Norasmahani Md Basri berkata, projek yang dibangunkan penuntut UKM bersesuaian dengan kanak-kanak berumur satu hingga enam tahun dan penggunaan warna membantu menarik perhatian golongan tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp