Massila (tengah) sewaktu perasmian Sasana Niaga di Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.
Massila (tengah) sewaktu perasmian Sasana Niaga di Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Integrasi usahawan sosial dan teknikal graduan IPT sebagai nadi pelaburan baharu masyarakat

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Feb 2023 04:26pm

Hari ini, graduan institut pengajian tinggi (IPT) bukan lagi graduan picisan yang mengharapkan 'kerja makan gaji' semata-mata selepas bergraduan.

Namun demikian, fenomena ini tetap boleh dibanggakan kerana ia telah menjadi penyumbang kepada peningkatan bilangan usahawan graduan IPT seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Selain itu, mereka turut menjadi tunjang utama yang memainkan peranan signifikan membantu penjanaan pembangunan holistik positif kepada masyarakat setempat.

Lebih-lebih lagi dengan penekanan yang diberikan kepada keusahawanan sosial sebagai enjin pemacu ekonomi negara.

Ia juga selari dengan reformasi budaya kerja yang akan memberi impak penyelesaian pelbagai permasalahan dalam komuniti dan bukan sekadar menjana keuntungan daripada modal atau pelaburan semata-mata.

Kewujudan ekosistem keusahawanan sosial masa kini menatijahkan objektif keusahawanan berasaskan keuntungan bersama, hasrat meningkatkan keprihatinan kepada komuniti dan golongan yang kurang bernasib baik.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh syarikat permulaan berasaskan keusahawanan sosial sedikit sebanyak membuka mata masyarakat dan kerajaan.

Dalam usaha memperkasakan usahawan sosial ini, semestinya kerjasama secara kolektif diperlukan antara kerajaan dan usahawan.

Artikel Berkaitan:

Dalam aspek penerokaan peluang atau penyediaan platform, pihak kerajaan boleh mengenal pasti peluang-peluang yang wujud di persekitaran yang tidak dimanfaatkan atau pun tidak diketahui oleh para usahawan yang mampu membantu mereka melonjakkan ekonomi.

IPT di Malaysia memikul obligasi yang besar dalam mengarusperdanakan keusahawanan sosial ini.

Strategi yang boleh diadaptasi antaranya dari aspek pembudayaan nilai dan aspek keusahawanan sosial yang wajar diterapkan daripada peringkat akar silibus pembelajaran mahasiswa.

Perkara ini sebenarnya selari dengan apa yang dikatakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan perutusan tahun baharu 2023 iaitu menginterpretasikan swadaya beliau dalam memanifestasikan reformasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan mahasiswa kompetitif dan berpotensi sebagai usahawan berjaya.

“Berikan mahasiswa kita kepercayaan dan mandat untuk membuka perniagaan, menguruskan kewangan persatuan, merencana sendiri cara mereka bekerja serta memperjuangkan agenda mahasiswa,” ujar beliau sewaktu menyentuh azam ke-11 dalam intipati ucapannya untuk menzahirkan pemerkasaan mahasiswa.

Selain itu, peluang atau platform yang disediakan pihak universiti turut menjadi langkah yang pragmatik dalam membudayakan keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa.

Misalnya di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), universiti telah membangunkan Sasana Niaga di mana unit-unit kedai jualan disediakan untuk mahasiswa bagi membangunkan perniagaan dan menguruskannya sendiri.

Apa yang menarik, setiap perniagaan harus bekerjasama dengan syarikat dari alumni-alumni UTeM.

Selain membuka peluang kepada alumni untuk menjalankan perniagaan dalam universiti, ia turut memberi peluang alumni menjadi mentor kepada mahasiswa yang menguruskan perniagaan berkenaan.

Begitu juga dengan konsep pasar malam UTeM di mana universiti menetapkan syarat para peniaga yang ingin berniaga di situ harus mengambil mahasiswa UTeM sebagai pekerja.

Ini kerana platform sebegini mampu menerapkan budaya dan semangat keusahawanan sosial dalam kalangan mahasiswa apabila mereka bergraduasi kelak.

Sebagai salah satu daripada empat Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UTeM sentiasa fokus menjadi nadi utama negara dalam melahirkan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkelas dunia.

Oleh kerana itulah, keusahawan teknikal dalam kalangan graduan turut menjadi matlamat dalam menzahirkan UTeM sebagai pengeluar usahawan teknikal yang utama.

Dr Massila
Dr Massila

Keusahawanan teknikal

Keusahawanan teknikal adalah bidang keusahawanan bersandarkan kepada kemahiran TVET yang mengadaptasi kepakaran teknikal dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan.

Secara konotasinya, kita dapat melihat kerajaan turut memandang serius dalam memperkasakan keusahawanan teknikal ini.

Hal ini diterjemahkan melalui inisiatif Program Pembangunan Usahawan Teknikal atau ringkasnya PUTEK yang merupakan kemudahan pembiayaan kepada generasi muda untuk memulakan perniagaan dalam bidang teknikal berasaskan kemahiran dimiliki.

Kemudahan ditawarkan pula adalah dalam bentuk padanan geran yang merangkumi 60 peratus pembiayaan dan 40 peratus geran.

Sebagaimana yang dikongsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (alumni UTeM) yang telah berikrar untuk terus memperkasakan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berasaskan pendigitalan di seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak semasa ditemu bual wartawan 5 Disember tahun lalu.

“Saya percaya, ini adalah sebahagian daripada fokus kementerian, bukan hanya koperasi sahaja tetapi PKS berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perdagangan digital di Sabah dan Sarawak akan turut diperkasakan lagi,” ujarnya menatijahkan betapa keusahawanan digital dan TVET sebenarnya menjadi misi dan visi penting dalam tunjang pembangunan negara.

Justeru, UTeM percaya perlunya integrasi antara keusahawanan teknikal dan sosial ini bagi mendapatkan manfaat yang optimum kepada masyarakat.

Bagi tujuan menyedarkan mahasiswa akan kepentingan memanifestasikan integrasi keusahawanan teknikal dan sosial ini, tanggungjawab tidak hanya perlu dipikul pada bahu KPT semata-mata.

Ia tanggungjawab holistik melibatkan penglibatan ibu bapa, guru-guru dan setiap anggota masyarakat untuk membawa naratif kesedaran keusahawan sosial dan teknikal ini.

Tiada yang mustahil dalam menggapai cita-cita menzahirkan integrasi keusahawanan teknikal dan sosial untuk mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Sedangkan batu yang keras mampu dipecahkan air yang tidak bertulang jika berterusan ditimpa.

Begitulah jua sokongan semua pihak harus diberi secara berterusan kepada mahasiswa atau graduan yang ingin menceburi bidang keusahawanan sosial atau teknikal terutamanya apabila masih kurang graduan yang berani menceburi keusahawanan sosial dan teknikal yang biasanya dianggap kurang popular kerana sering mendapat stigma negatif daripada masyarakat.

Integrasi keusahawanan teknikal dan sosial dalam kalangan graduan ini adalah satu perjalanan yang berterusan bukan seperti menuju sebuah destinasi yang berpenghujung.

Namun hikmah disebalik ujian pandemik Covid-19 ini, kita dapat melihat perspektif keusahawanan teknikal dan sosial dalam kalangan masyarakat lebih positif yang sememangnya memberikan seribu satu manfaat dalam mempersiapkan minda masyarakat untuk memandang kejayaan secara futuristik.

Maklumat Penulis

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp