Pelaburan dinar emas lebih selamat?
Penggunaan dinar emas di Malaysia semakin mendapat sambutan setelah isu ini dibahas secara meluas berikutan krisis kejatuhan mata wang Asia pada tahun 1998.
Sejarah kewangan dunia juga telah menunjukkan bahawa emas digunakan sebagai mata wang tunggal bermula tahun 1870 hingga tahun 1914.
Selepas itu, penggunaan mata wang emas masih dipertahankan dan digunakan bersama wang kertas sehingga tahun 1973, di mana penggunaannya ditarik sepenuhnya dan digantikan dengan wang kertas semata-mata. Inilah yang menyebabkan pelbagai masalah muncul kerana mata wang dunia dibiarkan melayang tanpa diikat atau disokong dengan nilai emas.
Tidak hairanlah jika isu mengenai penggunaan semula emas kembali dibangkitkan oleh ahli ekonomi dunia kerana emas pernah menjadi mata wang utama yang berkuasa pada satu ketika dahulu.
Emas adalah sumber semula jadi tulen dan terhad. Simpanan emas semakin mendapat perhatian daripada pelabur tempatan berikutan ketidakstabilan pasaran kewangan global yang semakin meningkat.
Pelabur semakin cenderung untuk melabur emas sebagai bentuk perlindungan terhadap ketidakstabilan ekonomi dan nilai mata wang kertas.
Menurut data terkini Institut Kewangan Malaysia, simpanan emas melalui skim pelaburan seperti Amanah Harta Tanah PNB (ASB) Emas dan unit-unit amanah emas swasta menunjukkan peningkatan yang ketara sejak permulaan tahun 2023.
Pelabur menyatakan kebimbangan terhadap potensi inflasi dan penurunan nilai mata wang sebagai faktor utama yang mendorong minat mereka dalam melabur dalam emas.
"Emas telah lama dikenali sebagai aset yang stabil dan berharga semasa zaman ketidakstabilan ekonomi.
"Dengan ketidakpastian yang melanda pasaran kewangan global, simpanan emas memberikan ketenangan fikiran kepada pelabur sebagai bentuk perlindungan kekayaan mereka," kata seorang pelabur berpengalaman yang dikenali sebagai Amir.
Peningkatan minat dalam pelaburan emas juga terlihat dalam pertumbuhan penjualan emas fizikal di kedai-kedai emas tempatan.
Pedagang emas di Kuala Lumpur melaporkan peningkatan pesat dalam permintaan emas batangan dan perhiasan, terutamanya dari pelanggan baharu dalam pelaburan emas.
Namun, walaupun simpanan emas dianggap sebagai perlindungan yang stabil terhadap ketidakstabilan pasaran, pakar kewangan mengingatkan bahawa nilai emas juga boleh berfluktuasi bergantung kepada keadaan pasaran dan faktor-faktor ekonomi global.
Setiap individu terutama mereka yang bekerja, pastinya mengimpikan kehidupan persaraan yang selesa dan terjamin.
Namun, persoalannya sejauh mana dan bagaimanakah langkah persiapan yang wajar dilakukan untuk memastikan impian tersebut dapat dicapai?
Perancangan persaraan dilihat sebagai pendekatan terbaik untuk membantu seseorang menempuh kehidupan masa persaraan.
Dengan kadar jangka hayat bagi lelaki di Malaysia adalah kira-kira 73 tahun dan bagi wanita adalah 78 tahun, ini bermakna seseorang memerlukan pendapatan yang mencukupi untuk tempoh 13 hingga 18 tahun selepas bersara.
Salah satu strategi untuk memastikan pendapatan masa persaraan mencukupi adalah melalui pelaburan yang baik. Simpanan emas semakin dilihat sebagai salah satu bentuk pelaburan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Secara umumnya, terdapat dua jenis pelaburan emas iaitu pelaburan emas fizikal (membeli emas fizikal) dan pelaburan emas melalui akaun simpanan emas di institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan ini.
Pelaburan emas secara fizikal ada tiga kategori iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang kemas.
Pakar pelaburan menasihatkan agar pelabur memilih untuk membeli emas fizikal dalam bentuk syiling emas dan jongkong emas kerana kelebihannya tersendiri termasuklah mudah dibawa, mempunyai saiz, bentuk dan berat yang standard, mudah ditunaikan dan mempunyai perbezaan harga belian serta jualan yang rendah berbanding barang kemas.
Barang kemas dikatakan bukanlah pelaburan yang baik kerana harganya lebih mahal disebabkan oleh kos upah pembuatan barang kemas tersebut dan mempunyai susut nilai yang agak tinggi iaitu sekitar 25 hingga 40 peratus.
Emas tidak kehilangan popularitinya walaupun wang fiat memainkan peranan utama dalam pasaran.
Selain itu, emas terbukti sebagai instrumen yang selamat untuk melabur kerana emas bertindak sebagai hedging iaitu cara melindungi nilai aset daripada kerugian disebabkan oleh inflasi.
Simpanan atau pelaburan emas mempunyai beberapa kelebihan yang menjadikannya pilihan yang sesuai untuk persediaan persaraan iaitu yang pertama harga emas cenderung meningkat dalam jangka masa panjang menjadikannya sebagai bentuk pelaburan yang memberikan pulangan yang baik dan stabil berbanding instrumen pelaburan lain.
Seterusnya, emas adalah sebagai sumber dana tunai semasa dalam keadaan kecemasan atau kesempitan hidup kerana emas mempunyai keupayaan untuk dicairkan dengan mudah dan cepat.
Jika terdesak, emas adalah jaminan utama ketika sesetengah rakyat berdepan situasi mencabar yang menyebabkan mereka terpaksa menggadaikan aset emas mereka terutamanya bagi menampung keperluan harian, perbelanjaan persekolahan atau universiti anak-anak dan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Harga emas 999 untuk hari ini adalah RM339 segram. tidak berubah sama seperti harga emas semalam dan harga emas 916 untuk hari ini adalah RM311 segram.
Harga ini berubah setiap hari pada jam 12.00 tengah malam mengikut harga emas dunia yang secara tidak langsung dapat memberi keuntungan sedikit sebanyak kepada rakyat yang terpaksa menggadaikan emas mereka.
Jika anda mempunyai emas fizikal dalam bentuk syiling, jongkong, atau barang kemas, anda boleh menjualnya kepada peniaga emas atau kedai perhiasan yang membeli emas.
Proses ini relatif mudah dan cepat di mana anda hanya perlu membawa emas tersebut ke kedai yang berkenaan dan mereka akan menilai dan membayar anda dengan wang tunai mengikut kadar semasa.
Selain itu, emas sukar didapatkan dan tidak boleh dicipta dengan mudah menjadikannya aset yang dianggap bernilai dan mempunyai permintaan yang stabil. Hal ini kerana proses penambangan emas melibatkan usaha yang besar dan kos yang tinggi kerana emas adalah logam yang sulit diperolehi dari alam.
Lokasi tambang emas sering kali terletak di daerah terpencil yang sukar diakses serta memerlukan teknologi dan peralatan khusus untuk mengekstrak emas dari batuan.
Kesulitan dalam proses penambangan ini mengakibatkan persediaan emas menjadi terbatas. Kekurangan sumber semula jadi emas dan sifatnya yang sukar diperoleh menjadikan emas sebagai aset yang dianggap bernilai tinggi.
Permintaan terhadap emas adalah stabil kerana emas digunakan dalam pelbagai industri seperti elektronik, perubatan dan pembuatan perhiasan. Namun begitu berhatilah-hatilah dalam membuat pelaburan, jangan melabur sehingga lebur.
Sekiranya betul-betul berminat untuk melabur emas, pelabur dinasihatkan mempunyai ilmu pengetahuan asas mengenainya.
Pelabur diingatkan supaya lebih berhati-hati dan meneliti risiko yang dikaitkan dengan pelaburan emas sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh jangka pendek kerana bimbang akan memberi penyesalan suatu hari nanti.
Maklumat Penulis
Pelajar Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Syafiqa Aqila Khalid
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my