Majikan perlu pertimbangkan bayaran kepada pelatih industri yang meliputi kos pengangkutan dan perbelanjaan harian - Perdana Menteri
Kredit foto: Freepik
Majikan perlu pertimbangkan bayaran kepada pelatih industri yang meliputi kos pengangkutan dan perbelanjaan harian - Perdana Menteri Kredit foto: Freepik

Intern bukan buruh percuma, perlu dibayar selayaknya

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
19 Jun 2023 03:34pm

Isu pelajar latihan industri atau intern tidak dibayar dan diberi elaun oleh syarikat adalah salah satu kontroversi yang luas untuk dikupaskan memandangkan setiap golongan masyarakat mempunyai pendapat tersendiri.

Isu ini bukan sahaja mendapat perhatian di media-media sosial seperti Twitter malah ia dilihat semakin menular apatah lagi rata-rata warga maya berpendapat pelajar intern juga perlu diberi elaun setelah berhempas-pulas bekerja di sesebuah syarikat.

Meskipun begitu, terdapat sesetengah golongan yang menganggap pelajar-pelajar intern ini tidak perlu dibayar kerana mereka masih di bawah tanggungjawab universiti selagi mereka belum bergraduasi.

Tertarik untuk mengetengahkan topik ini, Sinar Bestari menjengah ke laman Twitter yang sedang hangat membincangkan dan melontarkan pendapat tentang perkara tersebut sehingga wujudnya satu tanda pagar #internbukanburuhpercuma untuk perhatian pihak atasan.

Memetik perkongsian Rashifa, pelajar intern tidak dilindungi oleh akta pekerjaan dan perkara ini akan mendorong kepada risiko ekploitasi kerja oleh sesebuah syarikat.

Menurutnya, mereka yang menjalani latihan industri di bandar seperti Kuala Lumpur amat memerlukan sokongan kewangan bagi membiayai keperluan seharian antaranya makanan, sewa rumah dan pengangkutan.

“Bagaimana saya hendak membayar sewa rumah, makanan dan pengangkutan sekiranya saya tidak dibayar sekurang-kurangnya dengan gaji minimum.

“Dan inilah sebabnya saya percaya pelajar intern harus dibayar secara bermaruah selain dilayan sebagai pekerja kepada syarikat yang mereka berkhidmat. Tiada lagi ekploitasi,” tulisnya dalam satu ciapan pada 14 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Melihat kepada perkongsian ciapan tersebut, ia telah mendapat 10,500 tweet semula (retweet) dan 2,254 komen yang pelbagai tentang isu ini.

Antara komen yang sempat Sinar Bestari kongsikan adalah;

Nik Hazwan: Saya faham apa yang cuba disampaikan. Ada sesetengah syarikat yang mengambil intern, mereka mengambil kesempatan kerah buat semua benda sehingga diluar skop bidang mereka hanya sebab mereka tersepit, tiada pilihan, terpaksa buat.

Sipunyahati: Jangan fikir ‘aku dulu, aku dulu’, itu zaman dahulu. Sekarang sudah 2023 dan semua perkara memerlukan wang. Kami juga sekarang bekerja sama seperti pekerja lain tetapi apa yang kami dapat? Tiada apa. Kadang-kadang sanggup minta ibu bapa duit demi sepinggan makanan betapa susahnya kami yang intern ini.

Anuar Zainuddin: Perbahasan yang menarik untuk dikupaskan. Oleh itu, sangat perlu untuk membuat garis panduan yang jelas antara pekerja tetap, pekerja sambilan dan pelajar latihan industri bagi menggelakkan berlakunya eksploitasi.

Rose: Sesetengah syarikat memang mengambil pelajar latihan industri untuk menjimatkan kos. Tetapi kita sebagai pelajar terimalah dengan berlapang dada dan menganggap ia sebagai ilmu tambahan di tempat kerja. Tahan selama lebih kurang enam bulan sahaja dan perkara ini memang ada baik dan buruknya.

Gambar hiasan
Kredit foto: Freepik
Gambar hiasan Kredit foto: Freepik

Sementara itu, mengulas tentang isu pelajar latihan industri ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majikan seharusnya mempertimbangkan untuk menbayar jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar.

“Untuk syarikat-syarikat tidak bayar sama sekali dan bayar sangat rendah itu tidak munasabah, ini sebab saya katakan dasar ekonomi kita harus tekankan prinsip keadilan.

“Syarikat digalakkan untuk ambil intern bukanlah bayar gaji atau separuh gaji tetapi sekurang-kurangnya bayarlah yang mencukupi supaya perjalanan mereka, makan mereka ditanggung walaupun intern,” ujarnya seperti dipetik portal tempatan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada Ahad turut berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memandangkan intern tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp