Irmohizam (kanan) dilantik Profesor Adjung AAGBS, UiTM untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 September 2023.
Irmohizam (kanan) dilantik Profesor Adjung AAGBS, UiTM untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 September 2023.

Irmohizam dilantik Profesor Adjung bagi Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
27 Oct 2023 01:22pm

Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai Profesor Adjung bagi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 September 2023.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan WTCK, pelantikan Irmohizam telah disampaikan Dekan AAGBS UiTM, Profesor Dr Syed Jamal Abdul Nasir Syed Mohamad pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan di Ruang Legar AAGBS di UiTM Shah Alam, Selangor.

Lantikan tersebut adalah satu penghormatan dan keistimewaan kepada Irmohizam yang juga alumni AAGBS, UiTM dalam Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) 2020.

Pelantikan itu sekali gus memberi peluang kepada beliau untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan minda anak muda serta membantu dalam membentuk generasi peneraju perniagaan seterusnya.

Menurut Irmohizam, pelantikan tersebut diterima dengan rasa penuh tanggungjawab dan syukur.

“Saya sangat teruja untuk menyelami selok-belok dunia perniagaan, memupuk persekitaran pembelajaran dan inovasi.

“Dalam masa sama, saya amat komited untuk menyumbang kepada institusi terkemuka ini, membimbing bakal pemimpin masa depan negara kita dan mengekalkan warisan kecemerlangan yang diwakili oleh AAGBS” katanya yang merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA) yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Berdasarkan latar belakang Irmohizam yang luas dalam dunia Acara Perniagaan yang dinamik, beliau berhasrat untuk berkongsi pengetahuan dan pandangan praktikal, dunia sebenar, merapatkan jurang penting antara industri dan akademik.

Malah beliau juga akan memanfaatkan kemahiran kepemimpinan, pengalaman yang luas dan hubungan industri globalnya dalam sektor Acara Perniagaan untuk memperkayakan komuniti AAGBS.

INFO

Profesor Adjung bermaksud gelaran kehormat kepada profesional, tokoh korporat dan sebagainya yang mempunyai kepakaran serta berpengalaman luas dalam sesuatu bidang, yang dilantik sebagai tenaga pengajar sambilan di institut pengajian tinggi (IPT) - (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp