Muhammad Saniy Samsudin
Muhammad Saniy Samsudin

Jangan terus tolak tawaran ke universiti kerana masalah kewangan

29 Sep 2023 11:45am

Jarak institut pengajian tinggi (IPT) yang jauh dari tempat tinggal ditambah dengan masalah kewangan kadang kala membuatkan sesetengah mahasiswa membatalkan hasrat untuk menyambung pelajaran di kampus berkenaan.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi isu kerana terdapat inisiatif khas disediakan kerajaan bagi menangani perkara berkenaan.

Menurut Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin, sebanyak RM4 juta diperuntukkan oleh kerajaan kepada universiti awam yang terlibat dengan Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG).

Beliau yang juga ahli Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) berkata, inisiatif kerajaan itu dibangunkan bagi membantu mana-mana penuntut universiti daripada kalangan anak sulung isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Antara manfaat yang diterima mereka adalah laluan kemasukan khas B40, pengecualian yuran pengajian dan pembangunan insaniah serta sokongan akademik dan kaunseling.

“Oleh itu, janganlah menolak tawaran kemasukan ke pusat pengajian tinggi yang dilihat boleh memberi kesan kepada diri sendiri dan masa depan.

“Dalam masa yang sama sentiasa berhubung dengan pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekiranya ingin mendapat sebarang pandangan atau penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menasihatkan supaya mana-mana bakal mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan supaya menghubungi pihak kampus untuk mendapatkan pandangan dan penyelesaiannya.

Program SULUNG 2.0 itu dilihat diperluaskan pelaksanaannya melibatkan 20 universiti awam untuk sesi akademik 2023/2024 yang membiayai penuh pengajian 10,000 siswa B40.

Kemasukan penuntut baharu ke IPT bagi peringkat ijazah sarjana muda kali ini dibuat sepenuhnya dalam talian dari fasa permohonan yang mensyaratkan semua data berkaitan dimuat naik secara digital manakala proses menjawab tawaran ke universiti pilihan pula perlu dilakukan secara digital juga.

Mereka hanya perlu memasukkan semula data permohonan di universiti pilihan masing-masing bagi memudahkan urusan dan seterusnya surat tawaran boleh dikeluarkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp