Sebanyak 220 set makanan sahur disalurkan kepada sebilangan warga USIM dan anggota-anggota bertugas di beberapa buah balai polis serta balai bomba.
Sebanyak 220 set makanan sahur disalurkan kepada sebilangan warga USIM dan anggota-anggota bertugas di beberapa buah balai polis serta balai bomba.

Jelajah Sahur USIM dekati hero tidak didendang

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
06 Apr 2023 03:37pm

Petugas barisan hadapan merupakan insan-insan istimewa yang sentiasa mengerah keringat tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan masyarakat negara ini.

Sempena bulan Ramadan ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mendekati hero tidak didendang tersebut melalui Program Jelajah Sahur USIM.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, program berkenaan mendekati petugas-petugas barisan hadapan di lebih 10 lokasi sekitar Nilai, Mantin, Pantai dan Lenggeng, Negeri Sembilan.

"Seramai 80 peserta termasuk 30 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi USIM (SUKSIS) berjaya menyalurkan kira-kira 220 set makanan sahur kepada sebilangan warga USIM dan anggota-anggota bertugas di beberapa buah balai polis serta balai bomba.

"Antaranya termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Balai Bomba Nilai, Balai Polis Mantin, Balai Polis Pantai, Balai Bomba Pantai, Balai Polis Lenggeng, Balai Polis Broga dan Balai Polis Pantai.

"Program yang mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), My Aqsa Defenders ini adalah salah satu manifestasi kebersamaan USIM bersama komuniti," katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Sebanyak 220 set makanan sahur disalurkan kepada sebilangan warga USIM dan anggota-anggota bertugas di beberapa buah balai polis serta balai bomba.
Sebanyak 220 set makanan sahur disalurkan kepada sebilangan warga USIM dan anggota-anggota bertugas di beberapa buah balai polis serta balai bomba.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr Adnan Mohamed Yusoff; Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah yang juga merangkap Timbalan Komandan Kor SUKSIS USIM, Superintenden Dr Hisham Sabri; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Negeri Sembilan, Superintenden Ruslan Che Kar; Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Deputi Superintenden Tan Seng Guan dan Ketua Polis Balai Pantai, Sarjan Mejar Mohamad Zalani Jaffar.

Artikel Berkaitan:

Sharifudin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang menyumbang pelbagai barangan untuk pengagihan bakul Rahmah kepada komuniti asnaf di Dewan Komuniti Pekan Pantai.

Sementara itu, pelatih Kor SUKSIS USIM, Muhammad Ruzaini Yaacob berkata, program tersebut dapat menyemai semangat amalan sedekah dalam kalangan mahasiswa-mahasiswa terutama pada bulan cukup bermakna buat umat Islam.

Mahasiswa tahun dua Program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) menambah, para mahasiswa juga dapat menterjemahkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sentiasa bersiap siaga menjaga keamanan dan keselamatan negara.

"Saya berharap program-program CSR ini dapat diteruskan pada masa depan untuk memberi peluang kepada mahasiswa berbakti kepada masyarakat," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp