Menderma darah dapat membantu mereka yang memerlukan di samping memberi banyak manfaat buat penderma darah. Gambar kecil: Nur Fareeha.
Menderma darah dapat membantu mereka yang memerlukan di samping memberi banyak manfaat buat penderma darah. Gambar kecil: Nur Fareeha.

Penderma darah 'hero tidak didendang'

08 Jan 2024 10:26am

Perkataan ‘penderma’ sering kali dikaitkan dengan sumbangan wang ringgit dan harta benda.

Tanpa kita sedari, perkataan tersebut merangkumi aspek yang lebih menyeluruh seperti pemberian ikhlas daripada individu kepada individu lain dalam pelbagai bentuk dan cara.

Dalam era globalisasi ini, kesedaran tentang kepentingan menderma darah telah giat dijalankan melalui pelbagai medium seperti media sosial, televisyen mahupun radio.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah aktiviti tanggungjawab sosial berkenaan mula bertapak di jiwa masyarakat apabila mereka yang terdiri pelbagai lapisan usia, mula menceburi kegiatan berfaedah tersebut.

Di Malaysia, seseorang yang bercadang menjalani proses transfusi darah (perpindahan darah) perlulah berusia 17 tahun sehingga 65 tahun (yang pernah menderma darah) atau 17 tahun hingga 60 tahun (belum pernah menderma darah).

Memandangkan 17 tahun dikategorikan sebagai bawah umur, maka mereka perlu mendapatkan surat kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.

Individu yang berniat melakukan pendermaan darah haruslah mempunyai berat badan minimum 45 kilogram, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan tidur sekurang-kurangnya lima jam sebelum menjalani proses pendermaan.

Manakala penderma wanita pula, mereka disarankan supaya tidak berada di dalam proses menstruasi atau hamil.

Artikel Berkaitan:

Statistik Pusat Darah Negara (PDN) melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, berlakunya peningkatan bilangan penderma darah bagi tahun 2023.

Meskipun bekalan darah negara dilaporkan berada pada paras tahap yang memuaskan, masyarakat perlulah merancang menderma darah secara berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi memastikan bekalannya sentiasa berada tahap optimum.

Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap beg darah yang didermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Berdasarkan pendapat pakar perubatan, bekalan darah perlulah sentiasa mencukupi setiap masa untuk keperluan kes kecemasan seperti pendarahan semasa kemalangan atau tumpahan darah ketika melahirkan anak bagi wanita.

Menurut para ulama pula, hukum menderma darah sunat dan amat digalakkan kerana proses ini dapat memberi bantuan kepada pesakit yang memerlukan dalam keadaan terdesak di mana melibatkan penyelamatan nyawa.

Ini bertepatan dengan firman ALLAH ayat kedua Surah Al-Ma’idah bermaksud “dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”

Kelebihan menderma darah ialah dapat membantu memberi manfaat kepada penerima darah. Ia juga membantu mengurangkan risiko serangan jantung, risiko kanser dan membakar kira-kira 650 kalori bagi setiap satu pain darah (586 mililiter).

Kesimpulannya, menderma darah dapat membantu mereka yang memerlukan di samping memberi banyak manfaat buat penderma darah.

Mereka yang berniat menderma darah boleh hadir ke pusat pengumpulan darah statik atau ke kempen derma darah bergerak seluruh negara. Akhir kalam, jadilah adiwira darah dan hero yang tidak didendang.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Nur Fareeha Zuharzam dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp