Peserta bengkel merakam detik bermakna bersama Dr Siti Suriani (tengah) usai program tersebut berakhir.
Peserta bengkel merakam detik bermakna bersama Dr Siti Suriani (tengah) usai program tersebut berakhir.

Next to be Journalist latih 31 mahasiswa USIM menjadi wartawan

NURUL HUDA ABDULLAH
23 Nov 2023 09:46am
A
A
A

Kira-kira 31 peserta yang terdiri dalam kalangan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Bengkel Kewartawanan: Next to be Journalist di Bilik Seminar, Perpustakaan USIM baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Bengkel Kewartawanan, Nurul Athirah Juliana Jaafar, objektif utama penganjuran bengkel adalah untuk mencungkil dan menggilap bakat penuntut USIM dalam bidang kewartawanan.

“Dalam bengkel ini, kita telah menjemput pensyarah Fakulti Kepimpinan Pengurusan, USIM, Dr Siti Suriani Othman sebagai penceramah utama.

“Beliau tampil berkongsi pelbagai ilmu dan pengalaman yang ada dalam dunia kewartawanan kepada peserta yang hadir,” katanya.

Sementara itu, Siti Suriani berkata, dirinya menggunakan tiga pendekatan iaitu teori kewartawanan, kaedah penulisan berita dan penyampaian berita dalam usaha melatih para peserta yang ingin menceburi bidang kewartawanan.

“Nasihat saya untuk mahasiswa yang berminat dalam bidang kewartawanan ialah perlu mempunyai pelbagai kemahiran seperti pandai berkomunikasi dengan masyarakat dan mengetahui kesesuaian profesion dengan personaliti diri.

“Saya yakin bengkel ini mampu memberi tahap motivasi yang tinggi kepada para penuntut dalam meningkatkan kemahiran penulisan berita dan menyedari akan nilai kepentingan bidang kewartawanan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang peserta bengkel, Wardah Rahim melahirkan keterujaan kerana berpeluang mempelajari selok belok dunia wartawan sekali gus menimba pengalaman berharga menerusi perkongsian disampaikan Siti Suriani.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Bengkel Kewartawanan: Next to be Journalist yang dianjurkan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM berjaya menarik perhatian peserta yang dahagakan ilmu berkaitan bidang wartawan.

Selain perkongsian info berilmiah, bengkel turut mempamerkan pelbagai koleksi buku bidang kewartawanan dan penulisan rencana karya Siti Suriani dan dijual kepada mereka yang berminat.

Maklumat Penulis

Mahasiswa USIM, Nurul Huda Abdullah dari kelas ACJ 3083

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok