UniKL juga memperluaskan akses kepada individu yang berminat menyambung pengajian dalam bidang TVET.
UniKL juga memperluaskan akses kepada individu yang berminat menyambung pengajian dalam bidang TVET.

Kami masih relevan - UniKL

Setiap kursus mengikut keperluan industri masa kini

AZLEENDA SAHALUDIN
15 Apr 2024 03:44pm
A
A
A

Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berusaha memperluaskan akses pendidikan tinggi bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (HTVET) mengikut pendekatan yang sesuai.

Menurut Presidennya, Profesor Madya Dr Azman Senin, kesemua pelajar dari pelbagai peringkat pendidikan boleh menyambung pengajian program ijazah di universiti itu.

“Pelajar tempatan yang mengikuti program diploma di institusi teknikal seperti politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) boleh meneruskan pengajian ke peringkat ijazah melalui kaedah pemindahan kredit.

“Melalui kaedah ini, mereka hanya memerlukan tempoh selama dua tahun bagi kursus-kursus tertentu untuk melengkapkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat menyambung pengajian di UniKL, terdapat dua pilihan program yang boleh dipertimbangkan iaitu asasi dan diploma.

Azman
Azman

Bagi asasi, mereka boleh mengambil jurusan seperti perubatan, perniagaan, teknologi maklumat serta seni kreatif. Diploma pula terdapat sejumlah 34 program ditawarkan.

Tidak hanya memfokuskan kaedah konvensional, UniKL juga memperluaskan akses kepada individu yang berminat menyambung pengajian dalam bidang TVET khususnya golongan bekerja melalui kaedah pengajian Micro Credential (MC), Open and Distance Learning (ODL) serta Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang berminat untuk menyambung pengajian, boleh memilih antara kaedah dinyatakan bagi meneroka peluang dalam peningkatan kerjaya.

“Contohnya untuk kenaikan pangkat ke pengurusan kanan atau menjadi pakar dalam bidang TVET,” ujarnya.

Peluang cerah lepasan tahfiz

Azman berkata lagi, UniKL juga membuka jalan kepada pelajar lepas tahfiz atau aliran agama yang memasang niat untuk mengikuti program Professional Huffaz bagi program HTVET.

Antara program itu adalah Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi Penerbangan (Aviation), Teknologi Perkapalan dan Teknologi Rel.

Graduan Kejuruteraan Teknologi Pesawat (Kepujian) Mekanikal UniKL MIAT, Izdihar Amri Saari (kanan) dinobatkan Anugerah Khas Ulul Albab pada Istiadat Konvokesyen UniKL ke-20 yang lalu.
Graduan Kejuruteraan Teknologi Pesawat (Kepujian) Mekanikal UniKL MIAT, Izdihar Amri Saari (kanan) dinobatkan Anugerah Khas Ulul Albab pada Istiadat Konvokesyen UniKL ke-20 yang lalu.

"Setakat ini, seramai 300 pelajar UniKL yang mengikuti program Huffaz Professional Ulul Albab dan 62 graduan daripada program berkenaan dilahirkan.

“Ia bukti bahawa program ini platform kepada pelajar huffaz khususnya dari sekolah aliran agama dan aliran lain juga turut serta dalam sektor industri berprofil tinggi,” jelasnya.

Ditanya mengenai kerisauan lambakan graduan TVET, Azman berkata, kebolehpasaran dan prestasi graduan UniKL berada pada tahap 97.1 peratus.

"Kursus dan program yang ditawarkan di UniKL selari dan mengikut keperluan industri masa kini.

“Kesemua kampus kita berada dalam kedudukan atas 20 bersama institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.

“UniKL mampu melahirkan tenaga kerja yang cukup dan kompeten mengikut skil serta kemahiran yang diperlukan industri.

“Sekiranya ingin bangunkan kursus baharu, UniKL juga mempunyai rakan strategi yang dilantik dari golongan industri bagi memastikan kursus ditawarkan relevan dan sesuai,” katanya.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok