No Image Caption

Kanser tulang tidak halang Siti Aida tamatkan pengajian, terima pujian daripada Naib Canselor

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
31 Jul 2023 02:46pm
A
A
A



Diuji dengan kanser tulang sejak setahun lalu, ia sedikit pun tidak menghalang Siti Aida Farhan Mahamood untuk menyudahkan pengajian dengan gigih.

Mahasiswa Universti Utara Malaysia (UUM) yang berumur 27 tahun itu berjaya menggenggam segulung ijazah bagi jurusan Sarjana Muda Pengurusan Awam pada Majlis Konvokesyen ke-35 kampus tersebut yang berlangsung, baru-baru ini.

Gadis kelahiran Machang, Kelantan, itu disahkan menghidap kanser tersebut tahun lalu ketika sedang menjalani latihan industri di Pejabat Setiausaha Negeri Kedah.

Anak bongsu daripada lima beradik tersebut kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menjalani rawatan kimoterapi dan juga pembedahan pada kaki kanan.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya bertambah teruk setelah sel-sel kanser tersebut telah merebak sehingga ke kepala, paru-paru, bahagian tulang punggung, paha kiri dan tisu paha kanan.

Sungguh pun demikian, ia langsung tidak memutuskan semangatnya untuk menggenggam segulung ijazah.

Tambah mengharukan, kesungguhannya itu mendapat pujian daripada Naib Canselor UUM, Profesor Dr Mohd Foad Sakdan ketika beliau menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Jelas Mohd Foad, apa yang mengagumkan, kesukaran yang menghimpit pelajar Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), kampus itu tidak menghalangnya memberi komitmen dalam menyelesaikan tugasan dan menduduki ujian akademik dengan baik.

Artikel Berkaitan:


No Image Caption



“Hari ini kami dengan penuh penghormatan menghargai Siti Aida kerana dia seorang pelajar yang luar biasa dan telah mengatasi rintangan kesihatan berat sepanjang tempoh pengajian.

“Cerita perjuangannya telah membuktikan semangat dan tekad yang kuat dapat mengatasi segala rintangan yang dihadapi dalam hidup.

“Siti Aida telah menunjukkan kekuatan yang tidak tergoyahkan dan ini adalah contoh yang patut dicontohi oleh kita semua,” katanya pada Rabu.

No Image Caption



Beliau turut menegaskan universiti menyokong pencapaian dan impian pelajar berkenaan.

Pada majlis tersebut, Mohd Foad mengambil peluang bertemu, bergambar dan mengiringi Siti Aida sehingga ke kereta selepas tamat majlis konvokesyen tersebut.

Gadis itu kini telah selesai menjalani rawatan radioterapi kepala di HPP dan bakal disambung dengan kimoterapi selepas ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok