
AI lebih dari sekadar GenAI bagi menjana kandungan kreatif - Pandangan pensyarah UPSI
Kecerdasan buatan generatif atau Generative AI (GenAI) kini menjadi sumber keterujaan dalam dunia kreatif.
Keupayaannya menghasilkan pelbagai bentuk kandungan hanya melalui arahan teks telah mencetuskan fenomena baharu dalam cara manusia mencipta kandungan kreatif sama ada dalam mencipta grafik dan ilustrasi, menghasilkan animasi dan video mahupun menggubah muzik dan lagu.
Bukan sahaja industri kreatif yang terkesan, bahkan pengguna biasa turut terpikat dengan kemudahan dan kepantasan teknologi ini.
Kreativiti yang dahulunya memerlukan kemahiran khusus dan masa yang panjang untuk dihasilkan kini seolah-olah dapat dikecapi oleh sesiapa sahaja.
Namun, di sebalik keterujaan ini, wujud satu hakikat penting yang sering kita terlepas pandang - apa yang terlalu mudah diperoleh, juga akan mudah kehilangan nilainya.

Apabila sesiapa sahaja mampu menghasilkan kandungan GenAI yang kelihatan hebat dalam hanya beberapa minit, karya tersebut akhirnya akan menjadi kurang istimewa.
Kandungan mula kelihatan stereotaip, pengulangan algoritma semakin jelas dan lebih membimbangkan, pengguna mula meragui ketulenan dan ketepatan maklumat yang disampaikan.
Beberapa kesilapan kandungan yang dihasilkan GenAI bahkan telah mencetuskan perdebatan di peringkat nasional termasuk yang menyentuh sensitiviti budaya dan identiti negara.
Keterujaan terhadap GenAI khususnya dalam bidang penjanaan kandungan kreatif, mempunyai tarikh luput.
Bukan kerana teknologinya gagal, tetapi kerana emosi manusia tetap mencari sesuatu yang asli.
Sesuatu yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana model GenAI sehebat mana sekalipun iaitu sentuhan manusia.
Ini bukan satu ramalan, tetapi satu justifikasi yang sejajar dengan prinsip asas dalam teori kreativiti yang menegaskan bahawa unsur keaslian dan ekspresi emosi manusia adalah teras sebenar kepada nilai sesebuah kandungan kreatif.
Dalam dunia yang dipenuhi hasil ciptaan algoritma, karya yang lahir daripada pengalaman, emosi dan ketulusan manusia akan kekal relevan.
Ia akan menjadi mercu tanda dalam lambakan kandungan sintetik, mengingatkan kita bahawa kreativiti bukan hanya soal hasil, tetapi juga soal jiwa yang menghidupkannya.
Masyarakat juga perlu memahami bahawa kecerdasan buatan (AI) bukanlah hanya terbatas kepada penghasilan kandungan kreatif menggunakan alat GenAI.

Bidang jauh lebih luas
AI ialah bidang yang jauh lebih luas, meliputi aplikasi seperti analisis data, automasi, ramalan, sistem pintar, serta penyelesaian masalah kompleks dalam pelbagai sektor kehidupan termasuk pendidikan.
Penggunaan AI dalam bentuk GenAI hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan potensi teknologi ini.
Memberi tumpuan berlebihan kepada GenAI semata-mata boleh menyempitkan pemahaman terhadap ruang lingkup sebenar AI.
Sehubungan itu, seruan Perdana Menteri agar AI diperkenalkan segera di sekolah wajar disambut dengan pendekatan yang bersesuaian.
Walaupun AI belum menjadi sebahagian rasmi dalam kurikulum, usaha memperkenalkannya tetap boleh dimulakan melalui saluran pendidikan tidak formal seperti kelab teknologi, bengkel kokurikulum, pameran sains, pertandingan inovasi dan kem cuti sekolah.
Melalui pendekatan ini, murid dapat diperkenalkan kepada asas-asas AI secara santai dan praktikal seperti memahami bagaimana model ramalan berfungsi, mencuba aplikasi pengecaman imej atau mencipta chatbot mudah menggunakan platform percuma.
Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan awal, tetapi juga menanam minat serta kefahaman bahawa AI adalah lebih dari menjana kandungan kreatif dengan GenAI.
Institusi pendidikan seharusnya berperanan sebagai pemangkin kepada literasi AI dengan mendorong guru, pelajar dan komuniti memahami serta meneroka potensi AI secara menyeluruh.

Usaha ini tidak seharusnya terhenti pada latihan penggunaan GenAI untuk menjana kandungan kreatif semata-mata, sebaliknya perlu diperluas ke arah penerokaan menyeluruh terhadap keupayaan AI bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia memanfaatkan AI secara sepenuhnya sebagai alat penyelesaian masalah, inovasi dan pembangunan masa depan.
Kesimpulannya, dalam mengurus keterujaan terhadap GenAI, institusi pendidikan berpotensi memainkan peranan penting dalam mengubah persepsi bahawa AI bukan sekadar ‘menjana’, sebaliknya perlu diterokai secara lebih mendalam sebagai teknologi yang berupaya ‘mencipta nilai’.
Maklumat Penulis
Pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my