Banjir perlu ditangani bersama
Musim Monsun Timur Laut (MTL) membawa dua sisi kehidupan iaitu keindahan hujan yang menyejukkan dan cabaran bencana banjir yang menguji kekuatan fizikal serta mental.
Setiap kali musim ini tiba, ia menjadi pengingat kepada kita tentang kuasa alam dan pentingnya kesediaan menghadapi ujian yang tidak terjangka.
Negeri-negeri di Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan sering menjadi lokasi wajib bagi masyarakat berdepan dengan kesan monsun dan limpahan air yang tidak mengenal sempadan.
Kawasan rendah terutama di pesisir pantai dan sekitar sungai terus terdedah kepada risiko banjir besar, memaksa penduduk berpindah dan meninggalkan segala harta benda demi menyelamatkan nyawa.
Namun, kejadian tragis yang berlaku di Kelantan baru-baru ini seperti mana dilaporkan oleh agensi media tempatan melibatkan remaja lelaki lemas ketika mandi di tali air yang melimpah, memberi peringatan kepada kita bahawa banjir bukan fenomena yang perlu dirai.
Banjir bukan sekadar air menenggelamkan kawasan, tetapi ia membawa ancaman besar yang mungkin tidak terlihat pada permukaan.
Risiko seperti arus deras, tanah runtuh dan renjatan elektrik adalah bahaya nyata.
Bukan hanya sekadar itu, lebih malang sekiranya terdapat jangkitan penyakit bawaan air yang turut menimpa mangsa banjir.
Apa yang menyedihkan ialah apabila banjir masih dianggap peluang untuk ‘berpesta air’.
Dalam banyak kejadian, sikap tidak endah ini telah menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak sepatutnya berlaku.
Mangsa banjir bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa dari pelbagai peringkat umur yang akhirnya membawa duka kepada keluarga dan masyarakat.
Tindakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengemaskini kedaan cuaca dalam waktu yang kerap harus dipuji bagi memberi ruang kepada masyarakat khususnya penduduk di kawasan berisiko untuk mengambil tindakan bagi melindungi diri dan barangan penting agar kekal selamat.
Terdapat langkah penting yang perlu diambil untuk melindungi diri dan keluarga seperti peka terhadap pengumuman oleh pihak berkuasa dan perlu patuh kepada arahan dikeluarkan.
Walau menarik mana sekalipun banjir, jangan ambil risiko dengan mandi, bermain atau memancing di kawasan banjir kerana arus deras boleh membahayakan sesiapa sahaja.
Sekiranya keadaan kediaman terdedah dengan risiko banjir, tindakan awal yang boleh dilakukan seperti mencabut atau padamkan semua peralatan elektrik dan matikan bekalan utama elektrik apabila air mula naik untuk mengelakkan renjatan.
Fenomena MTL mengajar kita bahawa menghadapi bencana bukan hanya tugas kerajaan tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.
Dari amaran awal oleh pihak berkuasa, kesedaran masyarakat untuk bertindak bijak hingga semangat saling membantu, semuanya adalah elemen penting dalam memastikan keselamatan kita bersama.
Dengan kesediaan, pengetahuan dan kesedaran, kita mampu melindungi ahli keluarga dan mencegah tragedi yang tidak diingini.
Air adalah sumber kehidupan tetapi dalam keadaan tertentu ia juga boleh menjadi ancaman kepada kita semua.
Maklumat Penulis:
Kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Amirul Salam Hasan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my