
Antara fungsi keluarga, pendidikan agama & impak sosial dalam menangani jenayah buli
Fenomena buli bukan lagi isu kecil.
Di Malaysia, kajian ke atas 4,469 pelajar sekolah menengah awam mendapati 79.1 peratus telah terlibat sebagai pelaku, mangsa atau kedua-duanya menunjukkan betapa meluas gejala ini berlaku.
Tambahan pula, statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan peningkatan kes buli daripada 3,887 kes (2022) kepada 4,994 kes (2023).
Komisi Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menyeru tindakan segera dan menilai keberkesanan pelaksanaan Garis Panduan Penanganan Kes Buli di Sekolah.
Langkah terkini turut diambil di peringkat undang-undang apabila bullying kini diklasifikasikan sebagai jenayah di Malaysia sejak Julai 2025.
Dalam menangani permasalahan ini, keluarga adalah institusi pertama yang membentuk nilai, akhlak dan empati anak-anak.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Tahrim, ayat 6:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…
Maka, keluarga yang tidak seimbang contohnya, ibu bapa yang kurang masa bersama anak, tekanan kerja tinggi atau konflik rumah tangga boleh melemahkan peranan mendidik dan menyebabkan anak terdedah kepada pengaruh negatif rakan sebaya.
Kajian menunjukkan faktor keluarga mempunyai hubungan signifikan dengan kecenderungan remaja terlibat dalam buli terutama apabila wujud pengabaian emosi dan kekurangan kawalan terhadap anak.
Pengabaian ini akhirnya membawa kepada impak negatif yang lebih besar iaitu gejala buli.
Lebih dari itu, buli ini mampu membawa kepada kematian, ia dianggap sebagai pembunuhan dengan sengaja dalam Islam.
Al-Quran menegaskan dalam Surah al-Nisā’, ayat 93:
Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekal ia di dalamnya; dan ALLAH murka kepadanya, serta melaknatnya, dan menyediakan baginya azab yang besar.

Ayat ini menegaskan bahawa membunuh termasuk dalam konteks buli adalah dosa besar yang menghadapkan pelakunya kepada hukuman keras di akhirat.
Perbuatan buli hingga meragut nyawa bukan sahaja kesalahan undang-undang duniawi, tetapi juga dosa besar yang tidak terampunkan melainkan dengan taubat nasuha dan pengampunan daripada keluarga mangsa.
Selain itu, buli yang tidak membawa maut tetap haram di sisi Islam kerana ia termasuk dalam perbuatan zalim dan menyakiti orang lain.
ALLAH berfirman dalam Surah al-Ahzāb, ayat 58:
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.
ALLAH juga mengingatkan dalam Surah al-Ḥujurāt, ayat 11:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka…
Ayat ini jelas melarang segala bentuk ejekan, penghinaan, ugutan dan penderaan psikologi walaupun tidak sampai menyebabkan kematian.
Islam meletakkan maruah manusia sebagai sesuatu yang mulia dan tidak boleh diperlekehkan.
Pendidikan agama atau tarbiyah Islam menyediakan kerangka menyeluruh untuk mencegah buli.
Prinsip Islam menolak penindasan dan menyeru kepada keadilan serta kasih sayang.

Kajian Islamic Tarbiyah System for Bullying Prevention (2022) membuktikan bahawa pendidikan berasaskan nilai Islam dapat mengurangkan insiden buli melalui penerapan adab, empati dan disiplin rohani.
Pelajar yang dibimbing dengan nilai agama lebih cenderung mengamalkan sikap belas kasihan dan menjauhi perlakuan ganas terhadap orang lain.
Dalam usaha menangani masalah ini, sekolah berperanan melaksanakan dasar anti-buli yang konsisten, memberi fokus kepada pelajar berisiko tinggi dan menggalakkan kaunseling berasaskan nilai Islam.
Pada masa sama, masyarakat perlu menolak budaya keganasan, menyokong mangsa dan membina ekosistem sosial yang sihat.
Cadangan seperti portal aduan nasional anti-buli dan polisi perlindungan khas menunjukkan bahawa isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh oleh semua pihak.
KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh memanfaatkan maklumat kajian pelajar sebagai rujukan penting untuk merangka dasar baharu yang lebih berkesan.

Hakikatnya, jenayah buli mencerminkan kelemahan nilai moral masyarakat.
Islam telah menetapkan hukuman berat bagi pelaku buli yang menyebabkan kematian dan mengharamkan perbuatan yang menyakiti orang lain walaupun tidak meragut nyawa.
Pencegahan memerlukan kerjasama erat antara keluarga, sekolah dan masyarakat.
Dengan berpandukan ajaran Islam yang menekankan keadilan, kasih sayang dan penghormatan sesama insan, kita mampu membentuk persekitaran pendidikan dan sosial yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.
Buli bukan sekadar salah laku, tetapi satu dosa besar dan jenayah yang mencemarkan maruah dan kesejahteraan umat khususnya di Malaysia.
Maklumat penulis:
Timbalan Dekan (Bakat dan Penyelidikan), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Abdul Hanis Embong
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my