Pekerjaan yang disediakan oleh GLC ini juga dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi negara. Gambar kecil: Nurul Fasihah (atas) dan Jaharudin (bawah).
Pekerjaan yang disediakan oleh GLC ini juga dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi negara. Gambar kecil: Nurul Fasihah (atas) dan Jaharudin (bawah).

GLC, penggerak ekonomi Malaysia

16 Dec 2024 05:42pm

Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government-Linked Company (GLC) merujuk kepada syarikat yang dimiliki sepenuhnya atau sebahagian oleh kerajaan melalui entiti yang dilantik seperti Khazanah Nasional Berhad atau Menteri Kewangan Diperbadankan.

GLC beroperasi dalam sektor-sektor ekonomi utama dan mempunyai dua peranan utama iaitu sebagai entiti komersial yang menjana keuntungan dan sebagai alat kerajaan untuk melaksanakan dasar- dasar pembangunan negara.

GLC mempunyai beberapa ciri utama yang membezakannya daripada syarikat milik swasta.

Antaranya adalah kepemilikan kerajaan yang lebih besar iaitu di mana kerajaan memiliki sekurang-kurangnya 50% saham syarikat atau lebih dan pengurusan yang berorientasikan keuntungan tetapi juga bertanggungjawab untuk menyokong agenda sosial dan ekonomi negara.

GLC juga cenderung mempunyai akses kepada sumber kewangan yang lebih besar berbanding syarikat swasta kerana sokongan kerajaan yang kukuh yang membolehkan mereka memainkan peranan strategik dalam ekonomi negara.

GLC memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan ekonomi negara Malaysia.

Antara peranan utama GLC adalah mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Syarikat-syarikat besar seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan Sime Darby Plantation telah menawarkan ribuan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi dan perladangan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh GLC ini bukan sahaja membantu mengurangkan kadar pengangguran tetapi juga meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Malaysia.

Pekerjaan yang disediakan oleh GLC ini juga dapat memberi kesan berganda kepada ekonomi negara.

Hal ini dikatakan demikian kerana pekerja yang menerima pendapatan atau gaji akan menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang pada gilirannya merangsang sektor-sektor lain dalam ekonomi.

Sebagai contoh, pendapatan tambahan daripada sektor-sektor strategik seperti tenaga dan telekomunikasi telah digunakan untuk membiayai projek pengangkutan awam dan perumahan mampu milik yang secara langsung memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

Peningkatan pendapatan isi rumah akibat peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh GLC ini telah memberi kesan langsung kepada hasil cukai kerajaan.

Ini merangkumi cukai pendapatan individu dan cukai tidak langsung seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Hasil cukai yang lebih tinggi memberikan kerajaan kemampuan untuk melabur dalam projek-projek pembangunan infrastruktur dan program kebajikan masyarakat.

Selain memberi peluang pekerjaan kepada tenaga kerja penuh masa, GLC turut memberi sumbangan besar dalam pembangunan modal insan melalui program latihan industri.

Program latihan industri yang disediakan oleh GLC menawarkan pengalaman kerja praktikal yang sangat berharga kepada pelajar universiti.

Ia dapat memberikan pendedahan kepada situasi sebenar di tempat kerja seperti memahami struktur organisasi, pengurusan projek dan pelaksanaan strategi perniagaan.

Program ini membolehkan pelajar mengembangkan kemahiran teknikal dan insaniah seperti penyelesaian masalah, komunikasi dan kerja berpasukan yang semuanya amat diperlukan dalam pasaran kerja yang kompetitif.

Sebagai contoh, PETRONAS menawarkan program latihan industri yang memberikan pelajar akses kepada teknologi terkini dan proses kerja dalam industri tenaga yang membolehkan mereka mempelajari amalan terbaik dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran profesional.

No Image Caption

Pengambilan pelajar praktikal secara besar-besaran di bawah GLC perlu dilaksanakan bagi memudahkan sesebuah organisasi atau syarikat untuk mengakses bakat-bakat muda yang berpotensi tinggi untuk diserap masuk ke dalam organisasi sebagai pekerja tetap selepas tamat pengajian.

Malah ia turut membantu GLC dalam mengurangkan kos pengambilan pekerja kerana pelajar yang pernah menjalani latihan sudah memahami budaya kerja dan proses dalam organisasi.

Dengan adanya tenaga kerja berkemahiran tinggi ini, ia dapat menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

Hal ini kerana syarikat antarabangsa sering mencari lokasi dengan tenaga kerja berkualiti tinggi.

Seiring dengan perubahan pesat dalam teknologi dan transformasi digital, GLC juga akan memastikan bakat muda dilatih untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Dalam era digital ini, banyak pekerjaan yang memerlukan kemahiran dalam bidang teknologi, data analitik, kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Oleh itu, GLC perlu memastikan mereka menyediakan latihan dan peluang untuk bakat muda menguasai teknologi terkini dan mempersiapkan mereka untuk masa depan pekerjaan yang semakin bergantung kepada inovasi dan kemahiran digital.

Sebagai contoh, TM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memupuk bakat muda dalam bidang teknologi seperti melalui penyediaan latihan dalam bidang digital, pengkomputeran awan dan analitik data.

Latihan ini bukan sahaja membantu pelajar menguasai kemahiran teknikal tetapi juga menggalakkan mereka untuk berinovasi dan menyelesaikan masalah dalam cara yang kreatif.

GLC seperti TM turut bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk memastikan kurikulum yang ditawarkan relevan dengan keperluan industri semasa.

Bukan itu sahaja, GLC juga menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia, terutamanya melalui penglibatan mereka dalam sektor-sektor strategik.

Syarikat- syarikat seperti Petronas yang terlibat dalam industri minyak dan gas telah menyumbang secara langsung kepada pendapatan negara melalui hasil eksport dan pembayaran dividen kepada kerajaan.

Begitu juga dengan syarikat-syarikat seperti Malaysia Airlines dan Maybank yang menyediakan perkhidmatan utama dalam sektor pengangkutan dan perbankan.

Kekuatan sektor-sektor yang dikuasai oleh GLC ini tidak hanya memberikan keuntungan yang besar kepada negara tetapi juga memperkukuh kestabilan ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa serta menarik lebih banyak pelaburan asing yang bermanfaat untuk negara.

Salah satu usaha terbaru kerajaan untuk meningkatkan ekonomi melalui GLC adalah melalui pengauditan 2,000 syarikat GLC.

Ini merupakan langkah penting yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat ini beroperasi dengan cekap dan menggunakan sumber yang ada dengan sebaik mungkin.

No Image Caption

Dalam satu laporan audit terkini, kerajaan telah memutuskan untuk mengaudit lebih daripada 2,000 syarikat GLC bermula pada 2025 bagi meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat-syarikat ini.

Audit ini bertujuan untuk memastikan bahawa dana yang dibelanjakan oleh GLC digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyokong pembangunan ekonomi negara serta mengurangkan penyelewengan dan pembaziran.

Dengan meningkatkan tadbir urus dalam GLC, kerajaan berharap dapat memaksimumkan sumbangan mereka terhadap ekonomi negara terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Kesimpulannya, pengambilan pelajar praktikal oleh GLC bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negara dan syarikat tersebut, malah ia turut memudahkan pelajar melaksanakan praktikal di kawasan itu sekaligus menyerap masuk dalam pekerjaan tersebut bagi tidak mewujudkan pengangguran di kalangan belia.

Penglibatan GLC dalam sektor-sektor strategik dan penyediaan peluang latihan yang relevan dengan keperluan industri di Malaysia sangat penting kerana ia dapat menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti dan berkemahiran tinggi yang akan menarik lebih banyak pelaburan asing serta dapat memperkukuh kestabilan ekonomi negara.

Melalui ini, GLC dapat menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan dan aspirasi negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

GLC berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membantu mewujudkan persekitaran ekonomi yang stabil dan mampan.

Oleh itu, peranan GLC dalam membentuk ekonomi dan modal insan di Malaysia adalah amat penting untuk menghadapi cabaran masa depan yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Nurul Fasihah Zakaria

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp