Obesiti bukan sahaja menjejaskan penampilan seseorang tetapi juga memberi kesan serius kepada kesihatan. Gambar kecil: Nur Afina Auni.
Obesiti bukan sahaja menjejaskan penampilan seseorang tetapi juga memberi kesan serius kepada kesihatan. Gambar kecil: Nur Afina Auni.

Hindari obesiti sebelum terlambat

14 Feb 2024 08:15am

Obesiti, keadaan di mana seseorang mempunyai berat badan berlebihan dan melebihi had normal. Keadaan ini biasanya disebabkan pengambilan makanan berlebihan dan kurang aktiviti fizikal.

Obesiti bukan sahaja menjejaskan penampilan seseorang tetapi juga memberi kesan serius kepada kesihatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan penyakit obesiti berlaku apabila mereka mempunyai indeks jisim badan BMI 25 atau lebih tinggi akan dianggap berat badan berlebihan.

Menurut data terkini World Obesity Atlas 2023, Malaysia dijangka menghadapi peningkatan tahunan sangat tinggi dalam kadar obesiti untuk orang dewasa dan kanak-kanak pada tahun akan datang.

Laporan itu meramalkan obesiti dewasa akan meningkat sebanyak 4.7 peratus setahun dari 2020 hingga 2035 manakala kadar obesiti kanak-kanak akan meningkat sebanyak 5.3 peratus setahun dalam tempoh sama.

Antara punca utama obesiti adalah tabiat gaya hidup yang tidak sihat. Makan makanan tinggi lemak dan terlalu manis boleh menyebabkan masalah obesiti.

Kaedah memasak seperti menggoreng juga boleh menyumbang kepada pengumpulan lemak dalam badan.

Lama kelamaan, pengumpulan lemak menyebabkan penambahan berat badan dan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi, strok dan kanser.

Artikel Berkaitan:

Di antara semua masalah kesihatan, penyakit jantung koronari adalah salah satu masalah kesihatan paling biasa dan berlaku akibat terjadinya gangguan dalam bekalan oksigen pada otot-otot.

Ini kerana, kerosakan pada dinding saluran darah yang berlaku atau pengumpulan kolesterol di dinding saluran darah menyebabkan saluran darah sempit dan tersumbat seterusnya berlaku tekanan darah tinggi.

Kurang beriadah

Pada masa kini, masyarakat kebanyakan kurang melakukan aktiviti beriadah disebabkan kekangan masa.

Hal ini kerana, faktor gaya hidup seseorang yang terlalu sibuk dengan pekerjaan, tanggungjawab keluarga dan komitmen lain.

Kekurangan aktiviti beriadah dapat memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang termasuk risiko obesiti dan penyakit-penyakit kronik lain.

Dengan ini, penting untuk mencari keseimbangan antara kehidupan, kerja dan gaya hidup sihat termasuk meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal.

Selain itu, disebabkan kemajuan teknologi, rata-rata masyarakat lebih cenderung bekerja sendiri samaada di pejabat atau di rumah.

Pada masa lapang, mereka cenderung menghabiskan masa pada peranti teknologi daripada berseronok bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sesetengah orang mungkin tidak menyedari sepenuhnya kepentingan aktiviti fizikal untuk kesihatan jangka panjang. Kesedaran ini selalunya boleh ditingkatkan melalui pendidikan dan promosi gaya hidup sihat di laman sosial.

Pendidikan tentang faedah kesihatan aktiviti fizikal juga boleh membantu meningkatkan penyertaan dalam aktiviti rekreasi.

Oleh itu, adalah penting mencari penyelesaian yang boleh menggalakkan orang ramai menjadi lebih aktif secara fizikal, termasuk melalui program kerajaan, kempen kesedaran dan perubahan dalam struktur sosial serta alam sekitar.

Kesedaran mengenai masalah obesiti tidak menjadi sesuatu keutamaan dalam masyarakat kita berbanding rawatan kecantikan yang kian mendapat sambutan khalayak ramai.

Disebabkan faktor saiz badan setiap individu berbeza menyebabkan mereka tidak mempunyai minat mengetahui penyakit obesiti.

Sehubungan dengan itu, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan sering dipandang rendah masyarakat dan dianggap kurang mengambil berat terhadap kesihatan sendiri.

Sikap negatif masyarakat terhadap golongan obesiti ini boleh disebabkan pelbagai faktor dan faktor yang boleh mempengaruhi pandangan masyarakat ialah standard kecantikan.

Masyarakat kini lebih memandang rupa dan bentuk badan daripada perilaku seseorang kerana mereka lebih banyak memandang keburukan berbanding kebaikan.

Orang ramai selalu beranggapan lemak adalah hasil gaya hidup tidak sihat. Walaupun perkara ini benar, tidak semestinya semua orang berlebihan berat badan mempunyai masalah Kesihatan serius.

Dalam pada itu, orang berlebihan berat badan sering mengalami stereotaip negatif yang mana mereka dianggap malas, tidak berguna atau tidak berjaya.

Stereotaip ini memberi kesan kepada cara layanan dalam kehidupan seperti tempat kerja dan kehidupan sosial.

Oleh itu, penting untuk mengatasi masalah stereotaip negative bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi terhadap individu obesity agar tidak mengganggu kesihatan mental mereka.

Lapan langkah

Untuk mengatasi masalah obesiti, terdapat beberapa langkah pencegahan terbaik

1) Mengamalkan pemakanan seimbang dengan mengurangkan pengambilan gula, mengelakkan makanan diproses serta meningkatkan pengambilan buah dan sayur-sayuran.

2) Melakukan senaman secara teratur dan menggalakkan aktiviti bersenam atau bersukan.

3) Mengehadkan penggunaan gajet dan menggalakkan aktiviti lain yang lebih bermanfaat.

4) Minum air secukupnya sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

5) Mengelakkan mengambil makanan berat sebelum tidur pada waktu lewat malam.

6) Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengesan obesity peringkat awal.

7) Menghindari produk pelangsingan badan yang tidak terbukti keberkesanannya.

8) Melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas dan undang-undang ketat untuk mengawal produk makanan ringan dan pelangsingan badan yang tidak terjamin keselamatannya.

Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan ini, kita dapat mengurangkan risiko obesiti dan penyakit-penyakit kronik yang berkaitan.

Sikap individu

Secara keseluruhannya, masalah obesiti merupakan masalah yang menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat Malaysia disebabkan sikap individu itu sendiri.

Pengambilan makanan sihat merupakan perkara paling penting dalam kehidupan.

Ia merupakan tanggungjawab ibu bapa, ahli keluarga dan guru bagi memperkenalkan dan memberitahu tentang kebaikan pemakanan sihat dan memberi pendedahan tentang makanan tidak sihat.

Terdapat satu pernyataan di mana apa yang kita makan menjadi tunjang bagi status kesihatan badan.

Gaya hidup sihat memberi kesan positif terhadap tubuh badan, emosi, kerohanian, daya fikir dan kehidupan sosial individu.

Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mengamalkan diet sihat dan rutin senaman dengan menonjolkan nilai serta contoh baik kepada mereka.

Apabila generasi muda mengamalkan gaya hidup sihat, ia boleh mendorong kepada tubuh bertenaga dan otak cerdas.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Afina Auni Shaiful Azrim

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp