Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga satu kesempatan istimewa untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Gambar kecil, Hani Salwah
Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga satu kesempatan istimewa untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Gambar kecil, Hani Salwah

Warisan Hari Raya Aidilfitri & Gen Z dalam era digital - Pandangan pakar akademik UPM

31 Mar 2025 03:05pm

Kemeriahan meraikan sambutan hari raya semakin berbeza dalam perubahan waktu dan zaman. Sebelum era digital, hari raya disambut begitu meriah dengan kepulangan ke kampung halaman, membeli pelbagai juadah, persiapan pakaian mahupun menghias rumah.

Antara keunikan sambutan pada zaman pradigital sebagai contoh, rumah dihias dengan kad ucapan hari raya yang diterima oleh tuan rumah. Kad raya ditampal pada dinding, pokok hiasan malah dijadikan ketupat hiasan.

Zaman bergulir (masa terus berjalan atau berlalu) dan kad raya antara salah satu yang bukan menjadi memori Aidilftri. Hal ini juga memberi kesan bagaimana Generasi Z (Gen Z) menyambut sambutan hari raya.

Ditambah lagi dengan perkembangan era digital baik dalam bentuk pekakasan, aplikasi dan sebagainya.

Bagi Gen Z, cara menyimpan dan mengenang memori hari raya telah berubah seiring dengan perkembangan digital.

Jika sebelum ini, album foto dijadikan arkib keluarga menyimpan segala kenangan lebaran. Setiap foto yang dirakam akan diproses, dicetak kemudian disusun dalam album foto keluarga.

No Image Caption

Malah, album ini dijadikan hiasan dan tatapan tetamu setiap kali bertandang ke rumah. Namun kini, Gen Z lebih cenderung berkongsi pengalaman mereka dalam bentuk Instagram Stories, TikTok dan Vlog YouTube.

Artikel Berkaitan:

Platform media sosial bukan sahaja menjadi ruang penceritaan visual, tetapi juga alat pembentukan identiti tradisi.

Gen Z mendokumentasikan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 melalui filter menarik, cabaran video dan trend digital, menjadikan perayaan lebih interaktif serta bersifat global.

Budaya ini dikatakan lebih interaktif, menyediakan arkib kenangan yang lebih kekal lama dan boleh diulang tonton berkali-kali.

Namun, benarkah kandungan yang disediakan sebagai memori budaya atau sekadar menyediakan kandungan semata-mata untuk pengikut mereka di media sosial?

Kesan daripada hal ini tidak memberikan kedekatan (keadaan atau sifat dekat) emosi menerusi kandungan yang dihasilkan dan jauh lebih parah, kandungan itu kemudiannya tidak menjadi memori budaya Gen Z terhadap sambutan hari raya.

Kad ucapan raya

Selain kandungan media sosial, dilihat kurangnya penghayatan akan konsep dan manfaat ucapan raya.

Kad itu menjadi tali pengikat silaturahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat pada suatu zaman dahulu.Menerusi kad ucapan tersebut, segala kemaafan, perasaan, kesyukuran dikongsi dan disalurkan kepada yang berkenaan.

Jarak dihubungkan dengan ucapan dan penghargaan kepada keluarga serta sahabat handai. Malangnya, ucapan hari raya kini hanya tinggal ucapan tetapi tidak membawa sebarang makna baik daripada pemberi mahupun penerima.

Tambahan pula apabila ucapan ini dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Mesej ucapan lebih ringkas melalui WhatsApp, mesej Instagram atau kad digital dengan GIF dan emoji.

Lebih mengharukan apabila ucapan dipendekkan sehingga sukar difahami maksud selain merosakkan penggunaan bahasa yang betul.

Sebagai contoh, SHRMZB yang membawa makna ‘Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin’; ‘Mat Ri Ye’ yang bermaksud ‘Selamat Hari Raya’.

No Image Caption

Pemberian duit raya

Perubahan budaya hari raya dalam kalangan Gen Z kini juga dapat dilihat menerusi pemberian duit raya.

Nostalgia menerima duit raya dalam sampul pelbagai warna dan corak digantikan menerusi pemberian e-duit raya.

Ramai ibu bapa memilih untuk memberi e-duit raya melalui aplikasi seperti e-wallet atau perbankan dalam talian.

Walaupun lebih mudah, namun ia telah menghilangkan keterujaan dan sentimentaliti Hari Raya Aidilfitri sekali gus tiada lagi timbulnya kesan kedekatan hubungan di antara penerima dan pemberi.

Sikap dan gaya hidup Gen Z

Perubahan teknologi bukan sekadar mempengaruhi cara menyambut hari raya, tetapi juga membentuk sikap dan gaya hidup Gen Z.

Kehadiran media sosial menjadikan perayaan ini lebih terbuka dan global tetapi dalam masa yang sama, ia juga boleh mengubah nilai sosial.

Contohnya, budaya post first, enjoy later semakin ketara, di mana ramai yang lebih fokus mengambil gambar makanan atau video Outfit-Of-The-Day (OOTD) sebelum benar-benar menikmati suasana raya.

Selain itu, tumpuan kepada likes dan views kadangkala mengalihkan perhatian daripada momen sebenar bersama keluarga.

Namun, tidak semuanya negatif. Gen Z juga lebih kreatif dalam menghidupkan semangat raya melalui kandungan digital seperti tutorial memasak juadah tradisional, kisah-kisah nostalgia yang dikongsi dalam bentuk video dan kempen kebajikan yang lebih mudah disebarkan melalui media sosial.

No Image Caption

Teknologi bukan sahaja mengubah cara kita menyambut Hari Raya Aidilfitri malah memberi kesan terhadap bagaimana kita mengenang dan mewariskan tradisi.

Bagi Gen Z, nostalgia lebaran datang daripada video throwback di TikTok, filter khas Hari Raya Aidilfitri di Instagram dan trend lagu-lagu raya yang viral.

Malah, lagu raya klasik yang pernah dimainkan di radio kini kembali popular di Spotify dan TikTok melalui cabaran tarian dan remix moden.

Ini membuktikan bahawa teknologi boleh menghubungkan tradisi lama dengan cara baharu yang lebih relevan bagi Gen Z.

Tradisi hari raya

Kepelbagaian kandungan di media sosial menjadi cabaran dalam menerapkan tradisi dan memori budaya Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan Gen Z.

Di sini, keseimbangan terhadap penggunaan teknologi dan sosialisasi dengan masyarakat amat penting.

Tradisi hari raya bukan semata-mata berbaju indah yang dibeli di media sosial mahupun membuat konten menari dan menyanyi lagu raya serta mengikut cabaran (challenge trend) tertentu.

Penghayatan, kesedaran mengenai nilai dan kenikmatan meraikan hari kemenangan perlulah seiring.

Gen Z perlu lebih proaktif sekurang-kurangnya untuk tahu mengenai warisan budaya hari raya tradisional.

Selain itu, Gen Z juga perlu menimbangkan semula kemampuan trend video TikTok menggantikan kenangan berbual panjang bersama keluarga. Mampukah digitalisasi membantu Gen Z menyimpan kenangan dengan cara yang lebih moden?

No Image Caption

Pada akhirnya, warisan tradisi hari raya bukan hanya tentang jumlah likes atau views di media sosial, tetapi tentang pengalaman yang dikongsi bersama orang tersayang.

Sama ada dalam bentuk vlog moden atau gambar Polaroid, yang paling penting ialah bagaimana kita bersama untuk terus mengekalkan nilai dan makna perayaan ini demi generasi masa depan.

Maklumat Penulis:

Penyelidik, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Hani Salwah Yaakup

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp