Kebebasan untuk mencari ilmu tidak terikat oleh faktor usia, sebaliknya ia merupakan hak asasi setiap insan.
Kebebasan untuk mencari ilmu tidak terikat oleh faktor usia, sebaliknya ia merupakan hak asasi setiap insan.

Ilmu tidak mengenal usia: Pintu menuju kesejahteraan semua generasi

22 Dec 2023 09:25am

Ilmu harus dituntut oleh setiap manusia yang hidup, tanpa mengira darjat dan usia.

Keutamaan ilmu tidak seharusnya hanya terbatas kepada golongan tertentu, sebaliknya ia perlu merangkumi seluruh lapisan masyarakat.

Dalam konteks ini, adalah penting untuk merenung isu berkaitan dengan bagaimana ilmu tidak mengenal usia dan sejauh mana implikasinya dalam pembangunan individu dan masyarakat.

Ilmu tidak mengenal usia bermaksud bahawa tiada halangan atau rintangan yang dapat menghalang seseorang daripada terlibat dalam proses pembelajaran pada mana-mana fasa kehidupan.

Definisi ini menegaskan konsep inklusiviti, di mana setiap individu, tanpa mengira usia, diberi peluang yang sama untuk memperoleh pengetahuan.

Kebebasan untuk mencari ilmu tidak terikat oleh faktor usia, sebaliknya ia merupakan hak asasi setiap insan yang mahu untuk terus belajar dan memperluaskan pemahaman mereka terhadap dunia.

Dengan kata lain, ilmu pengetahuan adalah suatu pencarian yang terbuka kepada semua, sebagai bentuk pembaharuan diri untuk terus berkembang dan menyumbang kepada perkembangan masyarakat secara holistik.

Dek kerana kemajuan teknologi yang pesat, kita mungkin menghadapi masalah ketidakseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan, dari sekolah hingga kerja.

Artikel Berkaitan:

Orang muda mungkin lebih senang menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, berbanding dengan orang lebih tua yang mungkin kurang arif tentang kemajuan ini.

Tetapi, kita harus cakna bahawa golongan ini walaupun mungkin tak seterampil orang muda dalam teknologi, tetapi mereka mempunyai pengalaman dan kecekapan yang tinggi dalam kerjaya masing-masing.

Maka, kita perlu faham bahawa ilmu dan kepakaran bukan hanya milik golongan muda. Ia adalah satu harta yang patut dihayati bersama oleh semua orang, tidak kira umur.

Setiap generasi membawa sumbangan yang unik dan penting dalam kehidupan kita.

Oleh itu, kita harus menghargai dan menggalakkan perkongsian ilmu antara generasi untuk memastikan kemajuan yang seimbang dan positif dalam masyarakat kita.

Amalan mempelajari ilmu hendaklah dijadikan budaya masyarakat setempat dengan memahami bahawa impaknya membawa kepada sebuah masyarakat yang lebih berpengetahuan dan terlatih secara menyeluruh.

Keberkesanan pemahaman ini melibatkan beberapa aspek positif seperti peningkatan daya saing dalam arena global, penambahbaikan kepelbagaian pengalaman dan pemeliharaan serta peningkatan ilmu pengetahuan yang telah ada.

Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting untuk mengambil langkah-langkah proaktif termasuk pembaharuan kurikulum pendidikan yang mengakomodasi keperluan zaman, peningkatan kemudahan pembelajaran dalam talian bagi kebolehcapaian yang lebih luas dan pelaksanaan kempen kesedaran untuk mendorong pembelajaran sepanjang hayat di kalangan masyarakat.

Dengan cara ini, kita dapat membina sebuah masyarakat yang dinamik, inovatif dan berdaya saing tinggi yang memanfaatkan kepelbagaian ilmu pengetahuan untuk pertumbuhan dan keharmonian bersama.

Akhir kata, prinsip "ilmu tidak mengenal usia" adalah satu nilai yang seharusnya dipegang teguh oleh seluruh masyarakat.

Melalui usaha bersama untuk mengatasi ketidakseimbangan akses terhadap ilmu di kalangan berbagai peringkat umur, kita memiliki peluang untuk membentuk sebuah masyarakat yang bijak, terlatih dan sentiasa berkembang.

Ilmu pengetahuan dianggap sebagai harta yang abadi dan usia seharusnya tidak menjadi penghalang untuk mengejarnya.

Dengan memupuk budaya mempelajari ilmu sepanjang hayat, kita tidak hanya menciptakan individu yang berdaya saing tinggi tetapi juga masyarakat yang dinamik dan progresif.

Usia sepatutnya dianggap sebagai satu perjalanan ke arah pengetahuan yang lebih mendalam, bukan sebagai batasan.

Oleh itu, membudayakan ilmu pengetahuan sepanjang hayat bukan sekadar amalan, tetapi suatu komitmen terhadap perkembangan diri dan kemajuan bersama.

Dengan cara ini, kita memastikan warisan ilmu pengetahuan terus berkembang, memberikan manfaat kepada generasi kini dan yang akan datang.

Ilmu pengetahuan yang terus dihayati dan diamalkan sepanjang hayat adalah kunci untuk mencipta masyarakat yang dinamik, berdaya saing dan lebih sejahtera.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka, Siti Fatimah Ahmad dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp