Malaysia menjadi salah satu negara utama hab halal di dunia. Gambar kecil: Siti Nur Aisha.
Malaysia menjadi salah satu negara utama hab halal di dunia. Gambar kecil: Siti Nur Aisha.

Industri halal pemangkin ekonomi negara

SITI NUR AISHA HUSSIN DAN JAHARUDIN PADLI
26 Jan 2024 08:30am
A
A
A

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu berkaitan produk halal semakin banyak diutarakan di akhbar-akhbar tempatan, berita mahupun media massa seperti Facebook, Instagram dan pelbagai lagi saluran lain.

Industri halal berkenaan bukan sahaja tertumpu ke atas produk makanan semata-mata malah turut memberi perhatian terhadap barangan kosmetik, sektor perkhidmatan dan juga perubatan.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam dengan majoriti bilangan penduduk beragama Islam sebanyak 63.5 peratus berbanding agama lain seperti 18.7 peratus (agama Buddha), 9.1 peratus (agama Kristian) dan 6.1 peratus (agama Hindu).

Manakala sebanyak 0.9 peratus bagi lain-lain agama mengikut statistik yang diperoleh tahun 2020.

Sudah menjadi lumrah dan kewajipan bagi penganut agama Islam mematuhi ajaran agama dengan memilih produk makanan atau barangan halal.

Selain itu, Malaysia juga menjadi contoh kepada negara-negara luar tentang kepentingan industri halal bukan sahaja kepada negara Barat malah negara-negara Timur Tengah yang lain serta menjadi salah satu negara utama hab halal di dunia.

Apa itu halal?

Halal merupakan perkataan pinjaman yang berasal daripada perkataan Arab iaitu halla, yahillu, hillan atau wahalalan yang boleh ditakrifkan sebagai dibenarkan atau dibolehkan.

Artikel Berkaitan:

Istilah halal ini bukan sahaja ditujukan untuk makanan semata-mata malah melibatkan seluruh aspek kehidupan termasuklah barangan dan produk contohnya produk kecantikan dan pemakaian.

Menurut portal rasmi Halal Malaysia, konsep halal ini turut digunakan ke atas setiap barangan atau produk yang bebas atau terhindar dari najis serta dari mana-mana bahagian haiwan yang haram dimakan sama ada disebabkan oleh zat aslinya mahupun proses penyediaan yang tidak menepati syarak ditetapkan.

Bagi konsep Halal Food, aspek halal bagi industri makanan ini turut membawa kepada kaedah pemprosesan, penyediaan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian, pengangkutan dan pelbagai jenis bahan yang digunakan sewaktu penyediaan makanan.

Begitu juga dengan produk kecantikan, sesuatu produk itu dikatakan dapat diiktiraf halal sekiranya tidak mengandungi atau bebas daripada bahan-bahan terlarang seperti alkohol mahupun sumber haram yang lain.

Konsep halal ini mula diketengahkan di Malaysia pada 1974 yang mana pengesahan telah dibuat Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut sama terlibat dalam memberi pengesahan status halal kepada sesuatu produk.

Pada awalnya, mana-mana produk yang memohon untuk mendapatkan pengesahan halal dan telah memenuhi syarak akan diberikan surat pengesahan sahaja, menandakan produk tersebut selamat digunakan oleh orang Islam.

Namun bermula 1994, berlaku penambahbaikan di mana surat pengesahan yang pada awalnya digunakan sebagai bukti sesuatu produk itu halal, telah ditukarkan kepada sijil halal berserta logo halal.

Sejak 1998 sehingga 2008 pula, berlaku beberapa kali pindahan tugasan berkaitan pengurusan pensijilan halal ini namun akhirnya pada Julai 2009, mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan bahagian pengurusan pensijilan halal Malaysia sama ada dalam mahupun luar negara ini dikendalikan oleh pihak Jakim.

Menurut Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pihak kerajaan telah mencadangkan mengenai pengeluaran sijil halal yang selari antara negara asing yang menjadi tumpuan penganut agama Islam untuk berkunjung terutama dalam pelbagai produk termasuklah produk makanan, kosmetik, farmaseutikal, peranti perubatan, barang gunaan, perkhidmatan logitstik dan pengilangan kontrak.

Hal ini demikian kerana, cadangan ini diusulkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam logo halal yang dipamerkan setiap negara.

Usul ini boleh dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) bersama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kerana terdapat pengkhususan dan sinergi dengan industri tempatan.

Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 menjangkakan industri halal Malaysia akan meningkat kepada US$113.2 bilion (RM500.4 bilion) pada 2030 dan menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK menjelang 2025.

HIMP 2030 ini telah dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

23 inisiatif

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, untuk mengukuhkan tujuh teras strategik dan memanfaatkan peluang dan juga menangani cabaran, sebanyak 23 inisiatif telah dikenal pasti berdasarkan HIMP 2030 yang bertemakan Ke Arah Halal Malaysia yang Menyerlah di Peringkat Global.

Antara tujuh strategik yang dinyatakan termasuklah mewujudkan kumpulan pakar dan profesional dalam industri halal yang lebih besar bagi memenuhi keperluan global serta mempertingkatkan pembangunan infrastruktur yang berkualiti dan juga berintegrasi; menambah baik polisi serta perundangan yang lebih mesra industri halal; mewujudkan ruang pasaran yang baharu dan lebih luas untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia.

Manakala tiga teras lain pula adalah dengan memupuk pemikiran kepimpinan; melahirkan lebih ramai juara halal dalam kalangan peserta industri tempatan dan juga menggalakkan penyertaan bumiputera yang lebih berdaya saing dalam industri halal.

Pengiktirafan kepada yang layak

HDC menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia (WHEA) 2022 bagi mengiktiraf sumbangan organisasi dan individu dalam pertumbuhan industri halal di Malaysia.

Ia bertujuan memotivasikan pelbagai industri halal untuk sama-sama berjuang dalam mempromosikan produk halal.

Ahmad Zahid telah menyampaikan anugerah ini dengan dihadiri Tengku Zafrul.

Sebanyak 20 organisasi dan seorang personaliti telah menerima pengiktirafan daripada HDC.

Antara syarikat yang menerima Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Antarabangsa) ialah Syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai McDonalds Malaysia. Anugerah ini diberikan atas kecemerlangan dan konsistensi kreatif syarikat dalam menggalakkan penerimaan antarabangsa serta mendukung integriti halal.

Selain itu, Pengerusi dan Presiden Kumpulan IsDB, Dr Muhammad Sulaiman Al Jasse menerima Anugerah Kecemerlangan Kepemimpinan Halal 2022, yang mana sebagai penghargaan ke atas kepemimpinannya menjalankan kajian analisis terhadap jurang ekosistem halal strategik di Malaysia serta beberapa kawasan lain.

Syarikat Duopharma bagi produk Flavettes menerima Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal Terkemuka (Tempatan) kerana menjadi antara produk farmaseutikal pertama memperoleh pensijilan halal Malaysia.

Penganugerahan ke atas syarikat Duopharma ini telah membuka mata banyak pihak bahawa produk farmaseutikal juga perlu memperoleh sijil halal agar sebarang kekeliruan terhadap sesuatu produk dapat dielakkan.

Syarikat Quanterm Logistics Sdn Bhd turut memperoleh Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal (SME) hasil usaha syarikat itu memacu penambahbaikan dalam persekitaran industri serta intergriti halal di samping memajukan kecekapan dalam perniagaan.

Menurut pengarah syarikatnya, John Tay, anugerah yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu syarikat itu untuk terus mewakili negara terutama dalam sektor logistik yang semakin berkembang pada masa kini.

Industri halal ini seharusnya diberi perhatian yang lebih memandangkan ia menjadi satu kepentingan buat masyarakat dunia.

Oleh itu, pelbagai pihak bukan sahaja pihak kerajaan perlu sama-sama berganding bahu bagi memastikan dunia memandang industri halal ini merupakan satu industri yang penting.

Anwar menyeru supaya industri halal ini turut diberi peluang dan ruang kepada industri tempatan atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berhasrat menubuhkan sebuah jawatankuasa kabinet yang akan dipengerusikan Ahmad Zahid bagi menyelaraskan isu berkaitan industri halal negara.

Dengan adanya penubuhan jawatankuasa kabinet ini, isu halal diharapkan akan lebih berkembang dan hasil yang diperoleh dapatlah dinikmati semua masyarakat di Malaysia termasuklah para pelancong yang berkunjung ke negara ini.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Tiga, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Nur Aisha Hussin

2) Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok