Tujuan menabung adalah untuk membina simpanan atau dana kecemasan yang boleh digunakan bagi tujuan keperluan mendesak, pelaburan atau persaraan. Gambar kecil: Farah Iman Nuraina.
Tujuan menabung adalah untuk membina simpanan atau dana kecemasan yang boleh digunakan bagi tujuan keperluan mendesak, pelaburan atau persaraan. Gambar kecil: Farah Iman Nuraina.

Istiqamah dalam pengurusan kewangan

FARAH IMAN NURAINA BAHARI DAN SITI DALEELA MOHD WAHID
11 Jan 2024 06:17pm
A
A
A

Dari dulu lagi, sikap suka menyimpan duit secara teratur bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi kehidupan dan harga barangan sekarang semakin mahal.

Kos sara hidup tinggi dengan pendapatan yang tidak seiring perubahan semasa sangat mempengaruhi kemampuan individu untuk menyimpan wang.

Perkara ini boleh membawa impak negatif dalam jangka masa panjang terutamanya ketika menjalani kehidupan di hari tua.

Adalah penting untuk setiap individu berusaha mencari cara menguruskan kewangan dengan bijak.

Dalam erti kata lain, pendidikan kewangan perlu didalami dan difahami supaya dapat membantu mengawal selia pendapatan dan perbelanjaan.

Mereka yang cakna dengan perancangan kewangan akan membantu meningkatkan kefahaman dengan mengenal pasti hutang sedia ada, merancang bajet dan mencari ruang serta peluang menambah pendapatan sampingan.

Simpan duit

Simpan duit merujuk kepada amalan menyimpan sejumlah wang daripada pendapatan atau dana yang diterima seterusnya memindahkan wang tersebut ke dalam akaun simpanan atau tempat lain yang lebih selamat.

Artikel Berkaitan:

Tujuan simpan duit untuk membina simpanan atau dana kecemasan yang boleh digunakan bagi tujuan keperluan mendesak, pelaburan atau persaraan.

Ia merupakan aspek penting dalam pengurusan kewangan peribadi dan membantu menjaga keseimbangan kewangan masing-masing.

Dunia kini sangat mahal termasuklah kos sara hidup yang tidak masuk akal dan sangat membebankan, misalnya kos perumahan, pendidikan, kesihatan dan makanan.

Selain itu, ramai individu muda berdepan dengan hutang yang besar semasa dalam tempoh pengajian. Secara tidak langsung, perkara ini boleh mempengaruhi keupayaan generasi muda memulakan kehidupan selepas belajar dek bebanan hutang sedia ada.

Pekerjaan yang tidak stabil dan kurangnya jaminan pekerjaan juga boleh mengakibatkan tekanan kewangan.

Kos perubatan tinggi dan ketidakpastian berkaitan insurans kesihatan boleh menjadi punca masalah kewangan yang besar.

Di samping itu, krisis ekonomi seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19 menyebabkan ramai individu terkesan dengan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Pandangan golongan profesional yang menekankan simpan duit adalah aspek penting dalam mencapai kestabilan kewangan, mencapai matlamat jangka pendek dan jangka panjang perlu diberi perhatian.

Langkah buat simpanan

Di sini, saya ingin berkongsi beberapa langkah agar bijak membuat simpanan.

Pertama sekali, anda boleh menyimpan duit baki. Apabila membeli makanan atau barangan, kebiasaannya akan mendapat baki. Jadi, baki itu hendaklah dimasukkan ke dalam tabung setiap hari sekali gus anda telah membuat simpanan duit tanpa dirancang.

Kedua, meminta majikan untuk memotong sebahagian daripada gaji dan menyimpannya secara automatik ke dalam akaun simpanan masing-masing.

Seterusnya, anda harus berusaha meningkatkan pendapatan sampingan melalui peluang lain seperti bekerja sambilan, berniaga kecil-kecilan yang boleh memberi pendapatan tambahan untuk disimpan.

Walaupun ini cara-cara yang tidak langsung, penting untuk tetap berusaha merancang dan menguruskan kewangan dengan bijak bagi mencapai matlamat simpanan lebih besar di masa depan.

Akhir kalam, beristiqamah dan tanam dalam diri sentiasa bersemangat menyimpan duit demi kepentingan masa hadapan.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Farah Iman Nuraina Bahari dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok