Isu PATI di Malaysia perlu penyelesaian
Malaysia telah sekian lama menjadi destinasi pilihan bagi pendatang asing, terutamanya dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Filipina.
Kedudukan geografi yang strategik, di tengah-tengah Asia Tenggara serta kemudahan pengangkutan yang baik, menjadikan Malaysia sebagai pintu gerbang utama bagi mobiliti tenaga kerja di rantau ini.
Ditambah dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, Malaysia menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor-sektor yang berkembang pesat seperti pembinaan, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.
Faktor-faktor ini menjadikan Malaysia tarikan utama bagi golongan pekerja asing yang datang mencari kehidupan yang lebih baik serta peluang pekerjaan yang lebih banyak berbanding negara asal mereka.
Namun, kehadiran pendatang asing ini membawa bersama cabaran yang tidak boleh diabaikan.
Walaupun Malaysia menikmati faedah daripada sumbangan tenaga kerja asing dalam sektor- sektor kritikal, kebanjiran pendatang asing, terutama sekali yang tidak memiliki dokumen sah, telah menimbulkan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan keselamatan.
Ini termasuk isu ketidakpatuhan terhadap undang-undang imigresen, eksploitasi pekerja serta ketegangan sosial antara pendatang asing dan rakyat tempatan.
Oleh itu, isu pendatang asing di Malaysia memerlukan perhatian yang serius dan penyelesaian yang holistik untuk memastikan keseimbangan antara keperluan ekonomi negara dan kebajikan masyarakat tempatan dapat dicapai dengan lebih efektif.
Keperluan terhadap tenaga kerja asing
Antara faktor utama yang mendorong kehadiran pendatang asing di Malaysia adalah keperluan terhadap tenaga kerja dalam sektor tertentu, terutama yang tidak diminati oleh pekerja tempatan.
Sektor pembinaan, perladangan, pembuatan dan perkhidmatan adalah antara sektor kritikal yang sangat bergantung kepada tenaga kerja asing.
Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia terdapat lebih daripada 1.7 juta pekerja asing yang sah di Malaysia.
Namun, dianggarkan terdapat antara 2 hingga 4 juta pendatang tanpa izin (PATI) yang masih beroperasi di dalam negara ini.
PATI sering kali memasuki negara tanpa melalui prosedur yang sah, menjadikan mereka golongan yang terdedah kepada eksploitasi oleh sindiket penyeludupan manusia dan risiko-risiko lain.
Kebanyakan mereka datang dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Filipina untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
Kebanjiran pendatang tanpa izin dan cabaran sosial
Kehadiran PATI di Malaysia membawa cabaran utama dari sudut keselamatan dan sosial.
Pendatang tanpa izin kerap kali memasuki negara melalui laluan haram, menjadikan mereka sukar untuk dijejaki oleh pihak berkuasa.
Menurut laporan Polis Diraja Malaysia, pada tahun 2023 berlaku peningkatan dalam kes penyeludupan dan pemerdagangan manusia, di mana pendatang asing menjadi mangsa utama.
Kebanyakan mereka diambil bekerja sebagai buruh paksa atau terlibat dalam kegiatan haram akibat terperangkap dalam hutang sindiket yang membawa mereka masuk ke negara ini.
Dari sudut sosial, kehadiran PATI turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Mereka dikaitkan dengan peningkatan kadar jenayah serta penyebaran penyakit berjangkit, walaupun tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka secara langsung.
Persepsi negatif ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat tempatan yang merasakan bahawa pendatang tanpa izin menjadi beban kepada ekonomi dan keselamatan negara.
Persaingan pekerjaan dan ekonomi
Kebergantungan terhadap tenaga kerja asing turut menimbulkan persoalan tentang kesannya kepada peluang pekerjaan rakyat tempatan.
Terdapat pandangan bahawa kehadiran pekerja asing, terutamanya dalam sektor berkemahiran rendah, memberi tekanan kepada pasaran pekerjaan.
Data dari Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa kehadiran pekerja asing di sektor tertentu menyebabkan kadar upah tempatan menurun, terutamanya dalam bidang yang memerlukan kerja fizikal seperti pembinaan dan perladangan.
Namun, walaupun terdapat kebimbangan tentang persaingan pekerjaan, terdapat juga pandangan bahawa pekerja asing memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sektor-sektor kritikal.
Majikan sering kali berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerja tempatan bagi menjalankan tugas-tugas yang dianggap berisiko tinggi dan memerlukan tenaga fizikal.
Oleh itu, pekerja asing menjadi pilihan utama bagi majikan untuk mengisi kekosongan dalam sektor-sektor ini.
Langkah-langkah kerajaan menangani isu pendatang asing
Kerajaan Malaysia sedar akan cabaran besar yang dibawa oleh kebanjiran pendatang asing, terutama sekali PATI dan telah mengambil pelbagai langkah untuk menanganinya.
Antara langkah utama ialah program pemutihan dan pengampunan yang dilancarkan pada tahun 2023, bertujuan memberi peluang kepada pendatang tanpa izin untuk mendaftar dan mendapatkan permit kerja yang sah.
Program ini diharapkan dapat mengurangkan jumlah PATI di Malaysia, di samping membantu pihak berkuasa mengawal keberadaan mereka dengan lebih baik.
Selain itu, operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi-agensi lain terus dipergiatkan.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai operasi besar-besaran telah dijalankan untuk menangkap dan menghantar pulang PATI yang tidak mematuhi undang- undang negara.
Operasi ini melibatkan pemeriksaan di tapak pembinaan, kilang dan kawasan perladangan yang diketahui sebagai lokasi utama pekerja asing tanpa izin.
Pengurusan yang lebih baik untuk masa hadapan
Bagi memperbaiki pengurusan tenaga kerja asing, kerajaan Malaysia sedang merancang untuk memperkenalkan sistem e-kerja yang lebih komprehensif.
Sistem ini akan membolehkan majikan mendaftarkan pekerja asing mereka secara lebih telus, serta memastikan proses pengambilan pekerja asing dilakukan mengikut saluran yang betul.
Langkah ini diharapkan dapat mengurangkan amalan eksploitasi serta memerangi sindiket pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem sedia ada.
Selain itu, kerjasama serantau dan antarabangsa perlu diperkukuhkan bagi menangani isu penyeludupan manusia serta eksploitasi pekerja asing.
Malaysia tidak boleh bertindak sendirian dalam menangani isu ini, kerana sindiket penyeludupan sering kali beroperasi di pelbagai negara.
Oleh itu, hubungan yang lebih erat dengan negara asal pendatang dan organisasi antarabangsa perlu dijalin untuk memperkukuh sistem migrasi yang lebih selamat dan teratur.
Kesimpulan
Isu pendatang asing di Malaysia adalah isu yang kompleks dan memerlukan pendekatan menyeluruh dari pelbagai sudut.
Walaupun pekerja asing memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, kebanjiran pendatang tanpa izin menimbulkan cabaran besar dari segi sosial, ekonomi dan keselamatan.
Oleh itu, kerjasama antara kerajaan, majikan dan masyarakat perlu diperkukuh bagi mencari keseimbangan antara keperluan ekonomi dan kebajikan rakyat tempatan.
Langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan, termasuk program pemutihan, operasi penguatkuasaan dan pengenalan sistem pengurusan pekerja asing yang lebih baik, adalah permulaan yang baik.
Namun, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia terus maju dalam suasana yang lebih selamat, stabil dan harmoni.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Regina Batrisya Rosnisainoor
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my