
Jiwa merdeka: Bebas jerat hutang
Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68, kita bukan sekadar diingatkan tentang detik bersejarah pembebasan tanah air daripada cengkaman penjajah, malah dituntut untuk menghayati makna kemerdekaan yang lebih luas, bersifat fizikal, mental dan spiritual.
Dalam konteks Malaysia Madani, rakyat khususnya generasi muda perlu membina Jiwa Merdeka yang sejati iaitu satu semangat kental yang membebaskan diri daripada belenggu penjajahan moden.
Hari ini, bentuk penjajahan bukan lagi melalui senjata tetapi melalui minda, gaya hidup, ekonomi dan budaya yang melalaikan.
Maka, kemerdekaan hakiki tidak akan tercapai jika rakyat masih terpenjara dalam sikap, tabiat dan sistem yang menjerut kemampuan untuk berdikari dan berkembang.
Salah satu bentuk 'penjajahan moden' yang kian membarah dalam masyarakat hari ini ialah beban hutang yang semakin meningkat.
Isu ini tidak hanya menggugat kesejahteraan individu dan keluarga, tetapi juga memberi kesan jangka panjang kepada kestabilan ekonomi negara.
Menurut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2024, kadar hutang isi rumah Malaysia kini berada pada tahap 82.4 peratus daripada KDNK antara yang tertinggi di Asia.
Ini bermakna sebahagian besar rakyat Malaysia masih bergelut dengan komitmen kewangan yang besar sekaligus membantutkan kemampuan untuk menyimpan, melabur dan membina masa depan yang kukuh.
Ironinya, situasi ini berlaku dalam kalangan generasi muda yang baru mula menjejak alam pekerjaan.
Fenomena ini didorong oleh pelbagai faktor.
Antara penyebab utama adalah tekanan kos sara hidup yang semakin mendesak. Harga barang keperluan asas, perumahan dan pendidikan semakin meningkat.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengguna (CPI) naik sebanyak 3.2 peratus pada suku pertama 2025 menunjukkan bahawa wujud tekanan inflasi yang berterusan.
Selain itu, budaya konsumerisme dan Fear of Missing Out (FOMO) semakin menular dalam kalangan masyarakat Malaysia dan kesan itu didorong oleh trend semasa seperti keinginan memiliki gajet terkini dan gaya hidup mewah tanpa mengambil kira kemampuan sebenar menjadi antara punca hutang berlebihan dalam kalangan belia.
Fenomena Buy Now Pay Later (BNPL) dilihat mesra pengguna, namun ramai tidak menyedari implikasi jangka panjang.
Kajian oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menunjukkan penggunaan BNPL meningkat sebanyak 65 peratus sejak 2023 dengan sebahagian besar penggunanya terdiri daripada golongan muda.
Laporan menunjukkan bahawa sebahagian belia memiliki tahap literasi kewangan yang rendah.
Ramai yang tidak memahami asas pengurusan kewangan seperti bajet, simpanan, dan pengurusan hutang.
Menurut Financial Education Network (FEN), hanya 36 peratus rakyat Malaysia mempunyai tahap celik kewangan yang memadai.
Kemerdekaan pada hari ini bukan sekadar bebas daripada belenggu penjajahan fizikal, tetapi lebih dalam maknanya melangkaui kebebasan jiwa dan fikiran.
Merdeka bererti melepaskan diri daripada rantai minda yang membunuh pemikiran kritis dan daya saing.
Merdeka juga menuntut masyarakat bebas daripada jerat hutang yang merampas impian masa depan, pemikiran yang sempit dan perpecahan yang akhirnya mengikis semangat berdikari bangsa.
Hakikat merdeka adalah apabila setiap insan mampu berfikir dengan waras, membuat keputusan dengan ilmu dan nilai serta melangkah dengan penuh tanggungjawab demi diri, keluarga dan tanah air tercinta.
Kerajaan melalui gagasan Malaysia Madani berusaha membentuk masyarakat yang sejahtera, berdaya saing dan beretika.
Namun usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kesedaran kolektif rakyat untuk membebaskan diri daripada segala bentuk penjajahan yang halus tetapi merosakkan.
Jiwa Merdeka adalah asas kepada masyarakat madani yang progresif.
Ia menuntut rakyat yang berilmu, berintegriti, bebas daripada ketakutan ekonomi dan psikologi serta bersedia mengangkat nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam bidang ekonomi, teknologi, pendidikan dan perpaduan sosial.
Sempena negara bakal menyambut kemerdekaan kali ke-68, marilah kita menilai semula erti kemerdekaan dalam konteks masa kini.
Bebaskan diri daripada perangkap hutang dan pemikiran sempit dan semaikan nilai-nilai Jiwa Merdeka dalam diri, keluarga dan komuniti.
Merdeka bukan hanya bebas daripada penjajah, tetapi bebas untuk memilih masa depan yang lebih bermakna!
Maklumat penulis:
Ketua Program Sarjana Muda Kewangan/Pensyarah (Tadbir Urus Korporat, Kewangan Islam), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Siti Nurain Muhmad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my