Di sekolah, guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu, malah berperanan sebagai contoh teladan kepada murid-murid.
Di sekolah, guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu, malah berperanan sebagai contoh teladan kepada murid-murid.

Pemakaian guru bukan sekadar soal gaya

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Jun 2025 03:04pm

Setiap organisasi, sama ada sektor awam mahupun swasta, mempunyai garis panduan tersendiri berkenaan etika pemakaian.

Ada yang menyediakan pakaian seragam, mewajibkan pakaian formal dan ada juga yang membenarkan pakaian kasual selagi tidak menjejaskan imej syarikat.

Namun bagi golongan pendidik, isu pemakaian bukan sekadar soal gaya, tetapi turut melibatkan nilai profesionalisme, wibawa dan sensitiviti masyarakat.

Di sekolah, guru bukan sahaja bertindak sebagai penyampai ilmu, malah berperanan sebagai contoh teladan kepada murid-murid.

Maka, cara pemakaian mereka sering diperhatikan, dinilai dan dijadikan rujukan oleh pelajar dan masyarakat.

Oleh sebab itu, etika pemakaian guru sentiasa berada dalam radar perbincangan umum. Baru-baru ini, isu pemakaian guru wanita mencetuskan pelbagai reaksi.

Tular beberapa gambar dan video menunjukkan segelintir guru berpakaian yang dikatakan tidak sopan atau terlalu seksi hingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa serta komuniti pendidikan.

Walaupun jumlahnya kecil, situasi ini cukup untuk mencetuskan perdebatan hangat.
Susulan daripada isu tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil mengeluarkan surat peringatan rasmi bertarikh 30 Mei 2025 yang menekankan aspek etika berpakaian dan penggunaan media sosial dalam kalangan guru.

Artikel Berkaitan:

Peringatan ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi merupakan penegasan kepada peraturan sedia ada menuntut guru berpakaian kemas, sopan dan bersesuaian dengan profesion perguruan.

Kementerian juga memaklumkan guru dilarang memakai pakaian yang mencolok mata seperti pakaian yang ketat, terdedah dan jarang sehingga menampakkan bentuk badan serta pakaian dalam yang boleh mendorong perspektif negatif terhadap imej diri dan profesion perguruan.

Dalam konteks ini, penulis melihat ketetapan etika berpakaian oleh KPM sebagai satu langkah yang wajar dan tepat pada masanya. Ini kerana guru bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah turut bertindak sebagai role model kepada pelajar dari segi sahsiah, adab dan penampilan diri.

Seterusnya, penggunaan media sosial menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat moden termasuk dalam kalangan pendidik. Hampir setiap hari, pelbagai hantaran dimuat naik oleh mereka menerusi pelbagai saluran seperti Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan X.

Tidak salah untuk berkongsi, tetapi harus berpada-pada dan menjaga batas.

Menurut KPM, guru-guru perlu menggunakan media sosial secara profesional dengan penuh tanggungjawab dan beretika.

Mereka dilarang memuat naik sebarang hantaran, gambar atau video yang bersifat tidak sopan atau boleh menimbulkan perspektif negatif serta menjejaskan imej diri, institusi pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM.

Dalam masa sama, pendidik dilarang menggunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan bersifat provokatif, palsu, perkaraperkara sensitif berkaitan institusi diraja, agama dan kaum (3R), politik serta hal dalaman organisasi atau apa-apa kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan.

Melihatkan kepada pekeliling terbaru yang dikeluarkan, penulis melihat bahawa pihak kementerian kali ini benar-benar menunjukkan ketegasan. Ia bukan sekadar peringatan biasa, tetapi satu pendirian jelas bahawa profesion perguruan perlu terus dipelihara daripada elemen yang boleh mencemarkan imej dan kredibilitinya di mata masyarakat.

KPM nampaknya betul-betul serius mahu memelihara maruah profesion guru agar terus dihormati, diyakini dan dikagumi oleh semua pihak. Walaupun kelihatan kementerian itu sahaja yang mengeluarkan garis panduan khusus untuk guru, penulis ingin ingatkan bahawa orang ramai juga perlu menjaga penampilan diri.

Pemakaian yang sopan bukan hanya tanggungjawab guru, tetapi juga tanggungjawab semua sebagai anggota masyarakat yang beradab dan menghormati norma budaya kita.

Begitu juga di media sosial, semua orang perlu bijak menulis dan berfikir sebelum berkongsi.

Elakkan memuat naik perkara yang boleh mengundang salah faham, kebencian atau menjatuhkan maruah orang lain. Ingat, walaupun kita bukan guru, kita tetap menjadi contoh kepada anak-anak dan generasi muda yang sentiasa memerhati.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp