Kemiskinan bandar: Cabaran ekonomi Malaysia
Isu kemiskinan bandar di Malaysia semakin membimbangkan seiring dengan urbanisasi pesat dan penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar.
Ramai individu berhijrah ke bandar dengan harapan memperbaiki taraf hidup dan memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik.
Namun realitinya, golongan ini sering berdepan dengan cabaran besar menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran kemiskinan yang sukar diatasi.
Isu ini bukan hanya menjejaskan individu yang terlibat tetapi turut memberi kesan kepada struktur ekonomi bandar-bandar utama di negara ini.
Keadaan ini memberi kesan kepada ekonomi bandar hingga menjadikan isu kemiskinan bandar satu cabaran besar bagi negara.
Oleh itu, langkah komprehensif dari pihak berkuasa dan masyarakat amatlah diperlukan untuk menanganinya demi memastikan keseimbangan pembangunan dan kesejahteraan di bandar-bandar utama.
Kos sara hidup: Beban utama penduduk bandar
Kos sara hidup di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang adalah jauh lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.
Harga barangan makanan, kos pengangkutan, perkhidmatan asas dan sewa rumah telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Meskipun terdapat lebih banyak peluang pekerjaan di bandar, gaji yang ditawarkan sering tidak mencukupi untuk menampung kos hidup yang tinggi.
Ramai yang terpaksa bekerja lebih lama atau mengambil pekerjaan sampingan untuk menyara keluarga.
Kenaikan harga perumahan
Masalah perumahan adalah isu yang membebankan golongan miskin bandar.
Kadar sewa rumah yang tinggi memaksa ramai penduduk untuk tinggal di kawasan rumah pangsa atau pangsapuri kos rendah yang seringkali mempunyai kemudahan asas yang terhad.
Mereka yang ingin memiliki rumah sendiri pula berdepan dengan harga hartanah yang semakin meningkat, menjadikan impian memiliki rumah jauh dari jangkauan.
Di kawasan bandar, peluang ekonomi biasanya lebih banyak untuk mereka yang berpendidikan tinggi atau memiliki kemahiran profesional.
Namun, bagi golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya tidak mempunyai pendidikan tinggi, pilihan pekerjaan adalah terhad.
Mereka sering terpaksa bekerja dalam sektor tidak formal seperti peniaga kecil, pembantu kedai atau pekerja am dengan pendapatan rendah dan tiada jaminan pekerjaan.
Ini menyebabkan ramai penduduk miskin bandar terperangkap dalam pekerjaan yang tidak memberi peluang peningkatan ekonomi.
Di samping itu, anak-anak daripada keluarga miskin bandar kurang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, kerana keluarga tidak mampu untuk menanggung kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum.
Ini menyukarkan generasi seterusnya untuk keluar daripada lingkaran kemiskinan.
Langkah penyelesaian mengurangkan kemiskinan bandar
Untuk mengatasi isu kemiskinan bandar yang semakin membelenggu ini, langkah-langkah yang efektif perlu diambil oleh pihak kerajaan dan sektor swasta.
1) Perumahan mampu milik dan bantuan sewa
Kerajaan perlu memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di kawasan bandar bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.
Skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) perlu diperluas dan diberi penekanan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di bandar-bandar utama.
Selain itu, bantuan sewa boleh diberikan kepada golongan berpendapatan rendah untuk meringankan beban sewa bulanan mereka.
2) Latihan kemahiran dan pendidikan
Pendidikan dan latihan kemahiran sangat penting untuk membantu golongan miskin bandar meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.
Program latihan kemahiran seperti kejuruteraan, perniagaan kecil, dan teknologi digital boleh ditawarkan secara percuma atau pada kos yang rendah kepada golongan miskin bandar.
Langkah ini dapat meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik atau menjalankan perniagaan sendiri.
3) Galakan pekerjaan jarak jauh dan ekonomi digital
Dalam era digital ini, banyak pekerjaan boleh dilakukan secara jarak jauh.
Kerajaan boleh memberikan insentif kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan jarak jauh kepada pekerja bandar, terutamanya dalam sektor perkhidmatan seperti pemasaran digital dan perkhidmatan pelanggan.
Ini memberi peluang kepada golongan miskin bandar untuk meningkatkan pendapatan tanpa perlu menanggung kos pengangkutan yang tinggi.
Akhir sekali, isu kemiskinan bandar memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif untuk diatasi.
Usaha-usaha ini bukan sahaja akan membantu mengurangkan kemiskinan bandar tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.
Maklumat Penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian dan Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Nabilah Saufe
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my