No Image Caption

Peranan Jabatan Penjara Malaysia semakin mencabar

05 Oct 2024 09:30am
A
A
A

Seramai 267 Kadet Siskor Jabatan Penjara Malaysia dari universiti awam menyertai Perbarisan Tamat Latihan di Padang Kawad, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada 62 siswa dan 205 siswi dari lima universiti awam iaitu UUM, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Berucap pada majlis itu, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Seri Nordin Muhamad berkata, peranan yang dimainkan oleh Jabatan Penjara Malaysia semakin hari berdepan cabaran demi cabaran.

Menurutnya, dalam meningkatkan lagi kualiti dan kecekapan Sistem Penyampaian Koreksional, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa memberi keutamaan dalam mengurangkan tahanan di penjara.

Katanya, seramai 82,000 orang ditahan di penjara, manakala 5,000 orang berada dalam masyarakat bagi menjalankan hukuman khidmat komuniti. “Daripada kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penjara Malaysia mendapati 70 peratus pemulihan dalam komuniti lebih berkesan berbanding hukuman dalam penjara.

“Jabatan Penjara Malaysia telah mengorak langkah untuk terus memperkasakan program pemulihan dalam komuniti yang menunjukkan hasil positif.

“Kita berharap pada masa depan hanya 48,000 orang tahanan sahaja berbanding tahanan sedia ada,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, siswazah akan dimantapkan lagi ilmu koreksional dengan lebih mendalam supaya mereka bersedia melaksanakan tugas apabila mereka berkhidmat nanti.

“Koreksional lebih kepada memulihkan tahanan manakala korektif bukan sahaja tahanan dipulihkan tetapi melihat apa punca-punca yang menyebabkan mereka masuk penjara misalnya membuat kajian tentang masalah keluarga yang akhirnya mengheret mereka ke penjara.

“Justeru, saya berharap siswazah dapat memainkan peranan dalam membantu masyarakat walaupun penjara dan universiti ada perbezaan namun tujuan kita sama, penjara membaiki individu yang bersalah agar menjadi baik manakala universiti menyampaikan ilmu agar menjadi orang yang baik dan berjaya,” katanya.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak institusi pengajian tinggi (IPT) di atas jaringan kolaborasi yang dijalinkan sekali gus mengembangkan aspek kesukarelawanan di peringkat IPT serta Bahagian Pembangunan Profesionalisme Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Pejabat Pengarah Penjara Negeri serta Institusi-Institusi Penjara Mentor.

Objektif penubuhan siskor adalah untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang tanggungjawab sosial di samping menambah pengetahuan dan membuka minda bahawa penjara bukan sahaja tempat penahanan, bahkan penjara juga sebagai tempat pemulihan melalui program yang disediakan.

No Image Caption

Sepanjang berkursus, kadet telah didedahkan dengan pelbagai ilmu kepenjaraan untuk menyesuaikan diri dengan komuniti penjara selaras matlamat universiti sebagai universiti komuniti.

Pada majlis sama, turut menyaksikan pemakaian pangkat kehormat kepada pegawai kehormat universiti.

Mendahului pemakaian pangkat, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan menyandang Pangkat Penolong Komisioner Penjara (Kehormat) diikuti pemakaian pangkat kepada 24 pegawai unversiti awam yang ditauliahkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok