
Kenaikan harga getah: Isu cuaca, ekonomi global & geopolitik
Pasaran getah di Kuala Lumpur mencatatkan kenaikan ketara pada 14 Oktober 2024, mencerminkan pelbagai faktor yang mempengaruhi industri komoditi ini.
Salah satu pemacu utama adalah kekurangan bekalan getah di Asia Tenggara akibat cuaca buruk.
Thailand, sebagai salah satu pengeluar utama, berdepan cabaran besar dengan hujan lebat dan banjir kilat yang menjejaskan operasi ladang getah.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaan negara pengeluar memenuhi permintaan global sekali gus mendorong peningkatan harga.
Selain isu bekalan, permintaan terhadap getah kekal stabil meskipun terdapat tanda-tanda kelembapan ekonomi global.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan peningkatan harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) sebanyak 16.5 sen kepada 870 sen sekilogram manakala harga lateks pukal meningkat tiga sen kepada 752 sen sekilogram.
Permintaan yang tinggi ini didorong oleh sektor perkilangan dan automotif terutamanya dari China yang merupakan pengguna utama komoditi ini.

Bagaimanapun, data ekonomi terbaru menunjukkan Indeks Harga Pengguna (IHP) China meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu sebanyak 0.4 peratus pada September berbanding 0.6 peratus bulan sebelumnya.
Ini menandakan kemungkinan kelembapan dalam proses pemulihan ekonomi negara itu.
Memandangkan sektor perkilangan dan automotif China merupakan pengguna utama getah, sebarang kelembapan dalam sektor ini boleh memberi kesan langsung kepada pasaran global.
Industri automotif adalah antara sektor terbesar yang menggunakan getah asli terutamanya untuk pembuatan tayar dan komponen kenderaan.
Namun, pertumbuhan industri ini turut bergantung kepada kestabilan ekonomi di China, Eropah dan Amerika Syarikat.
Walaupun begitu, permintaan domestik terhadap produk getah perubatan seperti sarung tangan lateks kekal tinggi, didorong oleh keperluan sektor kesihatan pasca-pandemik.
Namun, pasaran getah di Kuala Lumpur masih berdepan cabaran besar akibat faktor global lain seperti penurunan harga minyak mentah yang menekan harga getah sintetik.
Minyak mentah yang lebih murah mengurangkan kos pembuatan getah sintetik, menjadikannya lebih kompetitif berbanding getah asli.

Selain itu, ketidaktentuan terhadap dasar rangsangan ekonomi China turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.
Ketegangan geopolitik di Asia Barat juga memberi kesan kepada pasaran komoditi termasuk getah.
Walaupun Asia Barat bukan pengeluar utama getah, ketidakstabilan di rantau ini boleh mempengaruhi aliran perdagangan global, meningkatkan kos pengangkutan dan risiko gangguan rantaian bekalan.
Walaupun berdepan cabaran, pasaran getah tetap menunjukkan daya tahan.
Peningkatan harga SMR 20 kepada 870 sen sekilogram sebelum turun sedikit kepada 864 sen pada penutupan pasaran mencerminkan keyakinan pelabur terhadap komoditi ini.
Begitu juga dengan kenaikan harga lateks pukal kepada 753.5 sen sekilogram, yang menunjukkan permintaan stabil.
Bekalan global mencukupi
Negara pengeluar utama seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan global mencukupi.
Malaysia, sebagai salah satu pengeksport utama, terus berusaha menstabilkan harga dengan mengurus bekalan secara strategik, walaupun cuaca buruk memberi kesan terhadap pengeluaran.

Sektor getah perubatan terutamanya sarung tangan lateks, kekal sebagai penyumbang utama kepada industri ini.
Cabaran terbesar industri getah dalam jangka panjang ialah perubahan iklim, yang boleh menjejaskan produktiviti ladang getah.
Peningkatan suhu global dan perubahan corak cuaca boleh memberi impak besar kepada hasil getah, menjadikannya penting bagi negara pengeluar untuk melabur dalam teknologi pertanian lestari.
Selain itu, usaha untuk mempelbagaikan kegunaan getah dalam sektor teknologi hijau dan bahan binaan boleh membuka peluang baharu bagi industri ini.
Di Malaysia, sokongan kerajaan terhadap industri getah melalui insentif dan dasar proaktif turut memainkan peranan penting.
LGM serta agensi berkaitan perlu memastikan pengeluar tempatan mendapat akses kepada pasaran global yang kompetitif.
Pada masa yang sama, peningkatan kecekapan rantaian bekalan dan pengurangan kos pengeluaran perlu menjadi keutamaan.

Latihan dan pembangunan pekebun kecil juga wajar diperluaskan bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran terkini dalam pengurusan ladang getah sekali gus meningkatkan daya tahan industri terhadap perubahan global yang semakin pantas.
Secara keseluruhan, pasaran getah masih menunjukkan daya tahan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Dengan strategi pengurusan yang lebih mampan serta inovasi dalam penggunaan getah, industri ini berpotensi berkembang lebih jauh pada masa hadapan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Muhammad Farhan Ahmad Khair
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my