Pengurusan masa teratur dapat menghasilkan kerja yang berkualiti. Gambar kecil: Muhammad Ibrahim
Pengurusan masa teratur dapat menghasilkan kerja yang berkualiti. Gambar kecil: Muhammad Ibrahim

Kepentingan pengurusan masa mahasiswa

11 Jan 2024 03:30pm

Masa merupakan aspek yang penting dalam kehidupan seharian. Sama ada berada dalam keadaan sedar ataupun tidak, masa beransur-ansur berlalu pergi meninggalkan kita.

Tempoh masa yang berlalu tidak akan kembali sebaliknya hanya akan menunggu masa-masa yang mendatang lebih-lebih lagi kita yang berada di akhir zaman ini berasa masa berlalu dengan begitu pantas sekali.

Kita sebagai mahasiswa universiti perlu menguruskan masa dengan baik bagi mengelakkan sebarang isu yang tidak diingini.

Kebanyakan penuntut di era moden ini banyak menghabiskan masa dengan melayari media sosial, bermain permainan video dan sebagainya sehinggakan masa yang diperuntukkan untuk belajar, menyiapkan tugasan dan masa tidur terabai.

Hasil dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 memperlihatkan, peratusan peningkatan penggunaan gajet kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 17 tahun meningkat iaitu 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus (2020).

Malaysia ditahap ketagihan gajet yang serius di mana berlaku pembaziran masa yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, impak akibat lebihan bermain gajet ada dua faktor.

Pertama, penggunaan media sosial berlebihan menyebabkan kurangnya fokus dan kecekapan dalam pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, golongan mahasiswa sering kali melayari media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook untuk melihat perkembangan terkini hingga menyebabkan masa yang sepatutnya dihabiskan membaca dan memahami topik pengajian berkurangan sekali gus mengakibatkan penurunan prestasi akademik.

Kedua, permainan video yang menghiburkan juga boleh menjadi sumber pembaziran masa yang besar. Hal ini kerana, penuntut menjadi lalai dan ketagih bermain permainan video hingga lupa tanggungjawab menyiapkan tugasan dan menguruskan waktu dengan bijak.

Pertubuhan IKRAM Malaysia menyatakan, pengurusan masa bermaksud suatu tindakan merancang dan mengawal jumlah masa yang diluangkan untuk sesuatu tugas dan aktiviti tanpa menjejaskan keseimbangan antara kerja dan kehidupan seharian.

Katanya lagi, pengurusan masa yang baik dapat menghasilkan kerja berkualiti kerana dapat menyiapkan tugasan dalam tempoh di tetapkan.

ALLAH SWT berfiman dalam surah Al-Asr ayat 1 sampai 3 yang bermaksud “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Menerusi firman ini, ALLAH menegaskan tentang betapa penting dan bernilainya masa kepada manusia untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

Antara kebaikan pengurusan masa yang baik adalah prestasi akademik mahasiswa dapat dipertingkatkan.

Hal ini kerana, mereka dapat memberikan perhatian secukupnya semasa sesi pembelajaran dan tugasan diberikan pensyarah dapat diselesaikan dengan baik mengikut tempoh ditetapkan.

Kesimpulannya, dalam kehidupan seharian, kesedaran terhadap pengurusan masa kunci kejayaan dan keseimbangan dalam kehidupan.

Prestasi akademik yang lebih baik dan keseimbangan dalam kehidupan dapat dicapai melalui cadangan seperti menyusun jadual waktu dan menguruskan masa sebaiknya.

Oleh itu, kesedaran dan tindakan untuk mengurus masa dengan bijak adalah langkah positif yang perlu diambil golongan penuntut untuk mencapai kejayaan dan keseimbangan hidup yang diimpikan.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, Muhammad Ibrahim Faridon dan Siti Daleela Mohd Wahid

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp